Fotografi Dalam Air

Seawal pukul 9 pagi pelakon merangkap model terkenal Zahnita Dorothy Hussein Wilson sudah mula mengoles wajah menggunakan alat solek asas untuk menambah seri wajahnya.

Biar bukan kebanyakannya daripada jenama mahal, kata Zahnita, 28, ia cukup untuk memberikan bentuk muka dan tidak menjadi terlalu polos apabila berendam dalam air nanti.

"Keselesaan dan ketenangan itu penting apabila berada dalam air. Solekan, rambut dan pakaian adalah ciri-ciri penting untuk memudahkan pergerakan model.

"Sebagai seorang model juga saya perlu mengambil berat banyak aspek. Saya perlu menjaga ekspresi muka, mengelakkan rambut menutup wajah, mengawal pergerakan, membentuk postur dan menahan nafas panjang.

"Paling penting saya perlu bertenang apabila berada dalam air. Ini kerana banyak kemungkinan boleh berlaku sekiranya saya panik," kata Zahnita yang tidak lepas mengucapkan kalimah syahadah setiap kali beraksi di dalam air.

Cerita Zahnita, melalui pengalaman sebelum ini beraksi di dalam air, insiden paling mencemaskan yang pernah dialami ibu kepada dua cahaya mata itu ialah apabila dia hampir lemas ketika menjalani penggambaran untuk sebuah majalah tempatan di Pusat Akuatik Darul Ehsan, Shah Alam, Selangor suatu ketika dulu.

"Ketika itu semuanya menjadi gelap, saya sudah berada di luar kawalan, badan saya menggigil dan air sudah memasuki rongga badan. Saya hanya fikirkan mati!" kongsi Zahnita yang akhirnya diselamatkan oleh penyelia keselamatan.

Zahnita mampu bertahan selama 30 minit di dalam air dengan bantuan alat pernafasan. Berdepan detik cemas hampir lemas tidak mematahkan semangatnya untuk terus aktif sebagai model teknik fotografi yang kian bercambah itu.

Prospek

Bidang fotografi dalam air tidak dinafikan semakin berkembang pesat, namun kekangan daripada segi ilmu selaman skuba, kewangan, teknik, kelengkapan dan permintaan menjadi halangan utama untuk berkembang.

"Manusia dalam air tanpa bantuan alat pernafasan itu sendiri sudah pelik! Belum lagi ditambah elemen seni lain dan permainan kontras yang pelbagai. Itu dinamakan nilai kejutan dalam fotografi.

"Untuk merakamkan fotografi dalam air, semua pihak perlu bekerja sebagai satu pasukan. Tidak boleh lebih atau terkurang.

"Senario terburuk pernah berlaku apabila model itu terlalu mencuba, menolak diri melebihi batas keupayaan dan akhirnya lemas," kata Pengarah Kreatif Aqualight & Motion, Bahaman Hashim.

Berpengalaman 25 tahun dalam bidang fotografi dan selaman skuba, Konsultan Imej Dalam Air lulusan Institut Seni Chicago, Amerika Syarikat itu tidak menolak faktor teknikal akibat peralatan selaman atau kamera boleh menjejaskan proses fotografi.

Tambah Bahaman, Malaysia kekurangan jurufoto yang benar-benar terlatih untuk merakamkan gambar di dalam air, selain kurang berminat dan berdepan masalah mengeluarkan modal yang tinggi untuk membeli peralatan kamera kalis air.

Fotografi dalam air, kata Bahaman memerlukan kelengkapan asas bernilai RM20,000 yang terdiri daripada kamera refleks lensa tunggal (DSLR), kelongsong kamera kalis air, lampu strob, peralatan skuba, pencahayaan sokongan dan beberapa lagi aksesori penggambaran tambahan.

Malah, kos menyewa set kamera lengkap kalis air biasanya boleh mencecah RM1,200 sehari tidak termasuk bayaran lokasi dan latihan sebelum menyelam.

Teknik

Ujarnya, gangguan yang terjadi sepanjang sesi fotografi dalam air biasanya melibatkan faktor kesihatan jurufoto atau model, persekitaran termasuk air yang kotor dan masalah komunikasi antara pasukan.

"Berbeza dengan darat, fotografi dalam air memerlukan detik terbaik yang biasanya hanya diperoleh dalam 15 saat iaitu 3 saat untuk turun dalam air, 3 saat jurufoto ambil posisi, 3 saat model bergaya, 3 saat untuk shot dan 3 saat lagi untuk masa tambahan.

"Detik terbaik itu merangkumi kesempurnaan dari segi pencahayaan, postur badan, mimik muka dan personaliti," katanya yang akan melatih model asas pernafasan yang dinamakan hyper ventilation sebelum memulakan sesi fotografi.

Bagaimanapun, jelas Bahaman, semua subjek akan membesar lebih 25 peratus daripada saiz asal apabila berada di dalam air.

"Rupa tidak penting, tapi seseorang model yang mahu beraksi di dalam air harus pandai mengawal pernafasan dan pergerakan.

"Tidak semestinya khusus untuk model, artis sama ada pelakon atau penyanyi dan mungkin juga orang biasa tiada halangan untuk beraksi luar biasa di dalam air.

"Genre ini ada keindahan tersendiri dan ia sedang berkembang seiring dengan cara hidup masa kini. Tidak salah saya katakan fotografi dalam air menuntut keberanian," jelasnya.

Bayaran

Sementara itu, kata Zahnita yang sering terbabit dengan sukan renang sejak kecil, dia mengambil inspirasi daripada seorang model antarabangsa, Hannah Mermaid yang sering terbabit dengan fotografi dalam air.

"Jika ditanya bayaran yang dikenakan untuk menjadi model dalam air, tidak banyak bezanya dengan model biasa cuma apa yang saya peroleh adalah pengalaman.

"Biasanya bayaran lebih diutamakan kepada pasukan teknikal dan bergantung pada pelanggan produk yang mahu saya gayakan.

"Sebenarnya, saya mahu berikan lebih pendedahan tentang fotografi dalam air kepada golongan muda kerana di Malaysia pun sudah ada banyak kemudahan tersedia untuk diterokai.

"Fotografi dalam air ibarat mengembara ke satu dunia asing yang tiada orang lain di sana, lebih tenang dan menyeronokkan," simpulnya.

Kaji pakaian

Bercakap tentang pakaian yang sesuai untuk sesi penggambaran, fabrik, potongan dan pemilihan warna yang sesuai antara ciri penting menghasilkan potret menarik di dalam air.

Fesyen kini telah melangkah setapak dalam memberikan dimensi baharu dunia seni.

Hal itu diakui oleh pereka fesyen muda, Kashfi Zulkufli yang mengambil peluang dan risiko melihat hasil ciptaannya 'berenang' di dasar kolam.

"Perspektif yang saya lihat adalah daripada aspek rekaan, potongan, berat dan kesesuaian pergerakan, saya tidak mahu model tersekat dan mengelakkan risiko tinggi.

"Pemilihan warna dan jenis kain yang digunakan juga penting supaya hasil dalam gambar nampak eksklusif sekali gus memantulkan cahaya. Oleh kerana itu kebanyakannya saya gunakan fabrik labuci, sifon dan kain jaring," kata Kashfi.

Pakaian yang disarung oleh Zahnita pada sesi fotografi baru-baru ini, kata Kashfi dihasilkan seberat 500 gram, bagaimanapun apabila ditambah berat air yang meresap ke dalam fabrik, jisim baju dianggarkan mencapai lima kilogram.

Kashfi yang dibantu adiknya, Malique, tidak khuatir akan risiko pakaian yang dihasilkan rosak apabila masuk ke dalam air, sebaliknya lebih menitik beratkan aspek kelasakan fabrik memandangkan model perlu banyak bergerak.

"Pasukan saya mengambil masa lebih seminggu untuk mengkaji reka bentuk yang sesuai tapi masih nampak cantik untuk digayakan di dalam air.

"Antara rujukan utama kami adalah pergerakan ikan duyung dan ciri-ciri utama yang menjadikan haiwan legenda itu unik, pemilihan labuci juga sesuai untuk menampakkan kilauan seumpama sisik ikan," ujarnya mengenai busana emas yang akan menjadi sebahagian koleksi terbaharunya, Meraki.

Sumber: Kosmo!

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::