Rezeki Pelukis Jalanan_02 |
Mengimbas penglibatan awalnya dalam bidang lukisan, selepas menamatkan pelajaran peringkat Sijil Pelajaran Malaysia pada 1991, Amirul bekerja di Pasar Seni sebagai pelukis airbrush.
“Ketika di Pasar Seni, saya belajar melukis potret dengan memerhati pelukis-pelukis lama.
“Dari situ saya memerhati dan bertanyakan kepada mereka bagaimana teknik yang betul untuk menghasilkan lukisan potret dan kemudian saya mencuba dan lama-kelamaan saya berjaya menguasai kemahiran itu,” ujarnya.
Selain menjadi pelukis potret, Amirul juga pernah menjadi pelukis poster wayang dan pelukis mural semenjak melibatkan diri dalam bidang seni visual.
Pada 2013, Amirul juga telah dijemput oleh Balai Seni Visual Negara untuk menyertai pertandingan melukis potret sempena Portraits Of The World: Life of 60 Queens by 60 artists dan mendapat tempat kedua daripada 60 pelukis potret yang lain.
“Pada tahun 2014, saya sekali lagi menyertai pertandingan tersebut dan berjaya menjadi juara,” katanya.
Dalam pada itu, kenangan manis Amirul pula ialah dapat menjejakkan kaki ke Turki.
“Pada September 2014, Balai Seni Visual Negara telah memilih saya menyertai Minggu Budaya Malaysia di Istanbul, Turki.
“Selama sembilan hari di sana saya telah membuat demonstrasi lukisan potret jalanan sambil memperkenalkan Malaysia dalam kalangan masyarakat Turki,” ujarnya.
Selain kerjaya pelukis jalanan, dia turut menjadi pelukis mural. Hasil tangan terbaharunya ialah lukisan mural di Jonker Street di Melaka.
Jika Amirul lebih fokus kepada lukisan potret berlainan pula bagi Md. Ridhwan Mustafa, 39, yang memfokuskan lukisan karikatur.
Menurut Md. Ridhwan, dia telah melibatkan diri dalam bidang lukisan karikatur sejak 12 tahun lalu.
Dia yang pernah bekerja di sebuah bank di ibu negara namun mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi pelukis jalanan sepenuh masa.
“Pada tahun 2008, saya mengambil keputusan untuk menjadi pelukis jalanan sepenuh masa.
“Saya memilih untuk menjadikan pelukis jalanan ini sebagai satu kerjaya kerana dengan kerja ini ia memberikan kegembiraan dan ketenangan kepada saya.
“Kita buat benda yang kita suka dan ia pasti memberikan kepuasan,” ujarnya yang sebelum ini bekerja di sebuah bank hampir 15 tahun.
Tambahnya, walaupun berhenti kerja dan menumpukan perhatian sepenuh masa dia tiada masalah untuk menyara keluarganya dan tinggal di ibu kota yang serba mencabar ini.
“Sebenarnya, jika dihitung pendapatan yang saya peroleh daripada melukis di tepi jalan ini lebih besar berbanding makan gaji sebelum ini.
“Orang memandang pelukis jalanan sepenuh masa ini sukar untuk menyara kehidupan sebenarnya tanggapan itu salah kerana jika kena caranya pelukis jalanan seperti kami ini boleh juga hidup mewah,” kata anak kelahiran negeri Jelapang Padi itu.
Tambahnya, sepanjang tujuh tahun menjadi pelukis jalanan di Jalan Bukit Bintang, pelbagai ragam manusia dapat dilihatnya sama ada warga tempatan mahupun warga asing.
“Peristiwa ditipu dan hasil dikoyak oleh pelanggan semua sudah saya alami sepanjang menjadikan Jalan Bukit Bintang ini sebagai lokasi mencari rezeki.
Kawan
Baginya, apa yang menarik, dia dapat melihat telatah dan ragam orang asing yang lalu-lalang selain menjalinkan hubungan sebagai kawan bersama pelanggannya.
“Rata-rata pelanggan saya yang berasal dari seluruh dunia kini menjadi kawan saya dan kami berhubung antara satu sama lain melalui laman media sosial.
“Ada antara mereka yang datang semula ke Malaysia selepas dua atau tiga tahun dan mencari saya semula untuk melukis karikatur mereka,” kata bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.
Menurutnya, walaupun orang memandang rendah terhadap pelukis jalanan tetapi sebenarnya komuniti pelukis jalanan sepertinya adalah duta kecil kepada Malaysia apabila hasil lukisan yang dihasilkan mendapat permintaan pelancong asing.
Md. Ridhwan memberitahu, lukisan karikatur yang dihasilkannya dijual pada harga RM30 sekeping.
“Saya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menyiapkan satu lukisan karikatur dengan menggunakan pen marker.
“Kebanyakan tempahan diterima daripada pelancong Asia Barat dan Eropah,” katanya.
Lebih manis, dia pernah menerima tempahan sebanyak 26 keping lukisan karikatur daripada seorang pelancong Arab.
Katanya, dia terpaksa menyiapkan lukisan tersebut di rumah sebelum diambil oleh pelanggan tersebut pada malam esoknya.
Sumber: Kosmo! Online