Mangga Harumanis Perlis Indera Kayangan |
Musim buah mangga harumanis telah tiba di negeri Perlis Indera Kayangan.
Sepanjang daerah Padang Besar, Arau dan Kangar, ratusan penjual membina gerai kecil untuk menjual buah mempelam yang menjadi ikon negeri itu.
Suasana meriah dan tawar menawar yang berlaku setahun sekali antara penjual dan pembeli menjadi satu perkara rutin kerana harga mangga harumanis mencecah antara RM20 hingga RM35 sekilogram.
Mengapa mempelam harumanis yang tidak semahal mangga Miyazaki di Jepun yang mencecah harga ribuan ringgit sekilogram ini cukup eksklusif?
Jawapannya, anda harus menikmatinya sendiri baru boleh menilainya.
Teksturnya, rasa buah yang manis dan berbau harum pasti membuatkan anda kecur liur. Jadi RM20 sekilogram merupakan satu pelaburan yang berbaloi.
Namun, di sisi lain, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis yang terletak di Arau membuka dimensi baharu dengan menjual buah mempelam harumanis.
Menurut Rektornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Redzuan Abd. Rahman, kira-kira 500 daripada 1,000 pokok harumanis yang ditanam di ladang seluas empat hektar di kampus universiti itu dijangka menghasilkan 12 tan metrik buah yang bernilai RM180,000.
“Hasil ini menambah nilai RM20,000 berbanding RM160,000 pada tahun lepas,” katanya.
Tambah Ahmad Redzuan, universiti itu akan memanfaatkan sepenuhnya keseluruhan pokok mangga harumanis merangkumi batang pokok, ranting, daun dan buah yang busuk.
Baja kompos
“Sebelum ini mempelam harumanis hanya dikenali dengan buahnya semata-mata.
“Sebagai contoh, buah mempelam harumanis yang busuk sepenuhnya, ranting dan daun yang gugur akan diproses semula menjadi baja kompos.
“Selain itu, kami juga akan mengurangkan penggunaan racun serangga untuk mendapatkan kualiti buah mempelam harumanis yang lebih baik,” katanya ketika ditemui kru Jurnal baru-baru ini.
Kata Ahmad Redzuan, pihaknya akan memperkasa promosi buah mangga harumanis universiti itu dengan memperkenalkan pembalut jenama sendiri selain cuba memanjangkan lagi hayat ranum buah sehingga tiga minggu.
“Pembalut buah itu sendiri akan memudahkan kami menilai tempoh matang buah mempelam harumanis sebelum dikutip selain merekod kuantiti buah secara keseluruhan,” katanya.
Tambah Ahmad Redzuan, masalah penjual buah mempelam harumanis kini ialah untuk memanjangkan tempoh hayat buah itu.
“Buah yang terlalu ranum tidak sedap dan mudah busuk. Ini boleh menjejaskan kualitinya dan menyebabkan pelanggan tidak berpuas hati.
“Jadi memanjangkan tempoh hayat buah amat penting terutama bagi pasaran di luar Perlis,” katanya lagi.
Buah mangga harumanis yang telah ranum hanya boleh bertahan seminggu dalam persekitaran luar sementara jika disimpan dalam peti sejuk hanya dua minggu.
Sekiranya melebihi tempoh tersebut, buah itu akan menjadi busuk dan tidak sedap dimakan.
Sementara itu, bagi seorang peraih mangga harumanis di Perlis, Mohd. Mustaqim Abdullah, sambutan tinggi terhadap buah mangga itu memberi situasi baharu kepadanya.
“Kira-kira 20 tahun dahulu, harga buah mempelam harumanis hanya RM4 sekilogram.
“Saya dan ayah perlu mempromosikan buah itu di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.
“Namun, kini sambutan yang diterima cukup baik, malah stok kira-kira 50,000 kilogram setahun hanya cukup untuk pasaran Perlis sahaja.
“Rumah keluarga saya di Jalan Santan, Kangar akan dikunjungi pelanggan bagaikan kenduri kahwin tidak kira siang atau malam,” ceritanya tersenyum.
Curi buah
Menurut Mohd. Mustaqim, bisnes Perniagaan Abdullah Sekeluarga telah beroperasi lebih 30 tahun.
“Selain menjual mempelam harumanis, kami membantu peladang buah itu dengan membelinya pada harga berpatutan selain terlibat dalam kerja-kerja memproses, menggred dan membungkus,” katanya.
Tambahnya, ada pelanggan yang membeli buah mempelam harumanis untuk dihantar kepada anak mereka yang melanjutkan pelajaran di Rusia, Ireland, Emiriyah Arab Bersatu dan Arab Saudi.
“Selain itu, buah mempelam harumanis hasil jualan saya pernah dinikmati pemimpin negara seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” dedahnya.
Seorang peladang mangga harumanis Annuar Md. Noh memberitahu, penanaman pokok mempelam itu di Kampung Paya Kelubi, Kangar seluas 0.5 hektar telah memberi pendapatan sampingan kepada dia sekeluarga sejak lima tahun lalu.
“Terdapat 150 pokok mempelam harumanis yang ditanam dan pendapatan kasar yang diperoleh sekitar RM50,000 setahun. Musim harumanis hanya setahun sekali, jadi selepas itu, saya dapat menumpukan masa di bendang pula,” katanya.
Namun, Annuar menegaskan, proses penjagaan mangga harumanis bukan satu perkara yang mudah.
“Harga sekilogram mangga yang boleh mencecah sehingga RM35 menyebabkan ada segelintir rakyat negeri ini bertindak mencuri buah mempelam harumanis yang telah ranum.
“Selain itu, ada yang bertindak mencuri anak pokok mempelam harumanis kerana harga sepokok boleh mencecah RM40 bagi pokok yang berumur lebih enam bulan,” jelasnya.
Justeru, tidak hairan bagi pengusaha mangga harumanis di Perlis yang berskala besar memasang pagar elektrik selain mengupah pengawal bagi memantau keselamatan ladang mereka daripada berlakunya kes kecurian.
Kelainan produk
Hakikatnya, bagi rakyat negeri itu, harga mempelam harumanis ibarat barang mahal, malah ada yang mengibaratkan nilainya seperti emas.
Dalam pada itu, musim mangga harumanis di negeri yang mendapat jolokan Indera Kayangan itu menampilkan kelainan dengan pengenalan 14 jenis produk makanan berasaskan buah berkenaan.
Sebelum ini, pelanggan sekadar menikmati jus dan buahnya sahaja tetapi kini keenakan Raja Mempelam itu boleh dirasai dalam bentuk lain.
Pengarah Pertanian Perlis, Zulkepli Amin Jusoh berkata, buat julung-julung kalinya, jabatan itu menganjurkan Festival Harumanis 2015 di Pusat Kecemerlangan Harumanis, Sungai Batu Pahat, Kangar yang bermula sejak 1 Mei lalu.
“Jika sebelum ini, pengunjung hanya sekadar menikmati buah, jus dan pulut harumanis semata-mata, namun kali ini mereka boleh menikmati 14 jenis produk berasaskan buah itu seperti lolipop, aiskrim goreng, roti keju, harumanis crepe, float dan smoothie.
“Harga yang dijual berpatutan bermula serendah RM1. Selain itu, kami menyediakan perkhidmatan kereta api khas yang membawa pengunjung ke ladang mempelam harumanis dengan kadar bayaran RM3 (dewasa) dan RM1 untuk pelajar sekolah,” katanya.
Tambah Zulkepli, pengunjung yang menaiki kereta api khas itu dapat meninjau dan melihat proses harumanis ditanam, dipetik selain mendengar taklimat penjagaan pokok itu.
“Mereka juga boleh bergambar di ladang tersebut selain boleh merasai sendiri buah yang segar sebelum membelinya.
“Harga mempelam harumanis RM23 sekilogram tidak termasuk kotak yang berharga RM4,” katanya.
Sumber: Kosmo! Online