Acuan Tembaga Kuih Tradisional Tok Wan |
Lebih lima dekad lalu, di tangannya hanya ada sebilah gunting, playar dan kepingan tin sebagai peralatan untuk memproses acuan pelbagai jenis biskut raya, kuih-muih atau makanan tradisional.
Selain kekurangan peralatan, dia juga tidak mempunyai bengkel sendiri. Sebaliknya ruang tamu rumah papan di Kampung Pinang, Kamunting, Perak dengan keluasan sebesar lif itu dijadikan bengkel bagi menjalankan kerja-kerjanya.
Ibarat alah bisa tegal biasa, acuan pertama kuih bangkitnya tetap diukir dengan penuh kesabaran sebelum cuba dipasarkan kepada khalayak.
Kesukaran hidup tidak pernah mengekang lelaki itu untuk mencari rezeki. Mohamad Yusof Abas, 73, atau lebih mesra dengan panggilan Tok Wan sentiasa berdepan cabaran getir semata-mata mahu mencari rezeki membesarkan anak-anaknya.
“Zaman dahulu memang hidup dalam serba kekurangan, banyak benda yang tidak ada tetapi saya tidak merasakan itu sebagai penghalang untuk terus melakukan kerja-kerja kraftangan.
“Biarpun tiada mesin, saya masih boleh menggunakan kudrat atau kerja-kerja tangan untuk menyiapkan segala acuan kuih yang diinginkan,” ujar Tok Wan ringkas mengatur susun kata sambil tangan sibuk memeriksa acuan buatannya.
Akuinya, segala kemudahan yang ada tidak mencukupi, namun dia masih mampu menyiapkan segala tempahan atau barang-barang untuk dijual.
“Sehubungan itu, saya jual mengikut kadar pengeluaran yang diperoleh,” ujarnya ketika ditemui di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Selepas menyiapkan acuan pertamanya itu, dia menggagahkan diri untuk menjual produk tersebut di bazar-bazar sekitar pekan Taiping, Lenggong, Grik dan Batu Kurau di Perak.
Keluhnya, bukan mudah untuk menjual produk tersebut kerana masyarakat dahulu juga tidak berkemampuan selain sukar mendapat kepercayaan.
“Kemudiannya, saya cuba mencari pembaharuan dalam penghasilan produk sehinggalah mendapati kepingan tembaga juga boleh dibentuk menjadi acuan,” katanya.
Tembaga
Berkongsi pengalaman sepanjang 53 tahun bergiat aktif dalam seni reka kraf, pada peringkat awal dia hanya berbekalkan modal RM3.80 untuk memulakan perniagaan acuan kuih berasaskan tembaga.
Idea penggunaan tembaga tercetus selepas mendapati material itu berkualiti dan tahan lama.
“Selepas itu, saya menggantikan tin dengan tembaga dan ternyata bahan itu mudah dibentuk malah hasilnya sangat cantik.
“Tembaga ini tidak mudah karat dan ia menjadikan acuan itu seperti tidak dimakan usia biarpun sudah lama digunakan,” jelas Tok Wan yang kini menetap di Kampung Pinang, Taiping, Perak.
Mengulas lanjut mengenai penglibatannya, dia menjelaskan, bakatnya itu tidak diwarisi daripada sesiapa sebaliknya keinginan untuk membantu keluarga sehingga terfikir menjalankan perniagaan berskala kecil.
Biarpun zaman kanak-kanaknya dihabiskan dengan kerja-kerja kraf, dia tetap tidak melatah dengan sindiran rakan-rakan seangkatannya.
Selepas pulang dari sekolah, bengkel yang sekangkang kera itu terus menjadi lokasinya melakukan kerja-kerja kraf namun, tetap tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar sekolah.
“Alhamdulillah, biarpun sibuk saya tetap menamatkan zaman persekolahan pada usia 17 tahun dan selepas itu terus nekad membantu keluarga.
“Sebaik tamat persekolahan, saya cuba mencari pelanggan sehinggalah acuan biskut bangkit ini mendapat perhatian selepas hampir dua tahun mencuba,” ujar bapa kepada 10 orang anak itu.
Sekitar tahun 1962, dia terus aktif dan cuba membawa acuan itu ke pasaran lebih besar.
Biarpun sukar untuk mempromosi setiap acuannya, dia tetap berusaha keras untuk memastikan impiannya berjaya direalisasikan.
“Alhamdulillah, pada mulanya saya dapat menjual 10 jenis acuan biskut bangkit yang setiap satunya dijual 20 sen.
“Bertitik-tolak dari situ, saya cuba meningkatkan pengeluaran apabila menerima respon baik daripada pembeli,” katanya.
Pada mulanya, kuantiti acuan yang dihasilkan boleh dikira kerana jumlahnya tidak melebihi 10 biji.
Ini berikutan dia baru berusia 16 tahun dan pengetahuan yang dimiliki tidak banyak.
Akuinya, untuk memahirkan diri dalam menghasilkan satu acuan bersaiz kecil juga mengambil masa agak lama disebabkan faktor ketelitian.
“Saya akan bangun seawal subuh dan selepas menunaikan solat akan terus ke bengkel mencari idea reka bentuk acuan.
“Maka dengan itu, saya nekad mempelbagaikan jenis acuan supaya dapat menarik lebih ramai pelanggan,” jelasnya.
Meningkat
Selepas berhempas-pulas, orang kampung dan luar mula memandang produk ciptaannya sehingga graf jualannya sekitar empat dekad lalu menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.
Justeru, keinginan untuk terus mencari pendapatan lebih mula membuak sehinggalah produk jualannya menjadi pilihan kaum kerabat.
“Selepas itu, barulah saya mula yakin bahawa produk kraf mempunyai potensi baik untuk diketengahkan malah memberikan pulangan yang membanggakan.
“Hasil keuntungan, saya mula menambah peralatan terutamanya mesin bagi mengeluarkan acuan yang banyak serta mencari idea baharu dalam mempelbagaikan acuan,” jelasnya.
Biarpun bengkelnya serba lengkap, lelaki cekal itu tetap menggunakan tangannya membentuk acuan bagi membangkitkan kepuasan.
Sehingga ke hari ini, situasi tersebut masih berterusan malah, dia mengakui tiada sedikit kecederaan biarpun sudah dimamah usia.
“Bagi saya, kepuasan timbul apabila barang itu dihasilkan dengan sentuhan sendiri.
“Biarpun kini dibantu cucu, saya akan tetap ke bengkel menghasilkan acuan menggunakan parang, playar atau gunting dengan kudrat sendiri,” katanya.
Berkat kesabarannya, suami kepada Siti Ehsah Ahmad itu dianugerahkan Anugerah Tukang Ulung sempena Hari Kraf Kebangsaan 2015 lalu.
Beliau menerima plak penghargaan dan wang bernilai RM10,000.
Potensi
Menurut Tok Wan, kemenangan itu didedikasikan kepada Siti Ehsah yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira empat tahun lalu kerana sakit tua.
Biarpun perniagaannya mula berkembang baik, anak-anak Tok Wan tidak mewarisi legasinya dan diambil alih cucu, Mohamad Amsyar Ridhwan Jamaluddin, 23, sejak lima tahun lalu.
Biarpun ramai golongan muda sepertinya memilih kerja pejabat, namun dorongan, galakan dan kejayaan Tok Wan menjadi inspirasi untuk meneruskan empayar yang sudah terbina berdekad lamanya.
“Mula-mula saya tidak berminat sebab merasakan perniagaan seperti ini tidak boleh pergi jauh terutamanya pada zaman moden ini.
“Bagi saya, kemudahan sudah ada dan orang ramai sudah pasti memilih barang yang cepat dan terkini berbanding produk-produk kraf yang dianggap tidak relevan lagi,” katanya.
Cucu sulung Tok Wan itu bagaimanapun seperti diseru setelah melihat kesusahan datuknya sehingga berjaya membina landasan kukuh biarpun hanya menjual barang kraf.
Akuinya, dia cuba pelbagai bidang namun, tidak menjadi sehinggalah dia mengikut Tok Wan ke bengkel dan mendapati produk datuk kesayangannya itu berpotensi besar menjadi barang dagangan bernilai tinggi.
“Selepas itu, saya meminta Tok Wan mengajar dan akhirnya selepas hampir setahun, minat itu terus semarak dan tertarik dengan produk kraf.
“Lagipun, tiada orang yang menghasilkan produk ini dan sebab itu bertekad mahu menjadi nadi kepada Tok Wan meneruskan perniagaannya,” jelasnya.
Kemudiannya, kepercayaan yang diberi Tok Wan menjadi penanda aras untuk menghasilkan produk terbaik dan membeli laluan kepadanya membuka pasaran lebih luas.
Biarpun tiada asas dalam perniagaan, namun cubaannya menghadirkan diri ke pameran ataupun acara Industri Kecil Sederhana (IKS) sudah mula membuka mata ramai orang.
“Berbekalkan modal RM500, dia mendaftarkan diri menyertai Hari Kraf Kebangsaan 2013 dan hasilnya sangat berbaloi apabila jualannya meningkat berlipat kali ganda.
“Melalui acara ini membuatkan saya tidak memandang lagi bidang lain dan terus menjadi orang kuat Tok Wan dalam menghasilkan produk acuan,” ujarnya.
Kini, dia sudah mempunyai pelanggan tetap, Bakery Ita Delights dan Aisyah Bakery di Selangor serta bercadang mahu melebarkan sayap ke seluruh Malaysia.
Paling menarik, produknya juga kini mendapat tempahan dari luar negara seperti London selepas ada individu yang bermurah hati memperkenalkan acuan tersebut kepada peniaga di sana.
“Pada masa sama, kami tetap menerima tempahan dari Singapura dan terus menunjukkan momentum baik setiap tahun.
“Kebiasaannya, mereka menempah antara 2,000 sehingga 3,000 keping acuan pelbagai saiz dan bentuk untuk dipasarkan ke negara seberang tambak itu,” jelasnya.
Bercerita mengenai hasil jualannya dalam tempoh sebulan, Amsyar mengakui tempahan dan belian memang banyak daripada pembeli dalam negara.
Dalam masa sehari, mereka mampu menjual 200 keping dan pembelian dibuat terus ke bengkel yang terletak bersebelahan rumahnya.
“Misi saya adalah mahu mengekalkan warisan Tok Wan selain menjadikan kesemua 50 jenis acuan keluaran Tok Wan yang popular seperti acuan biskut dahlia, semperit dan kek dapat menembusi pasaran antarabangsa.
“Saya masih muda dan sedang merancang strategi berkesan bagi memastikan hasil-hasil kraftangan yang unik ini terus menjadi buruan bukan sahaja di dalam negara tetapi antarabangsa,” jelasnya.
Sumber: Kosmo! Online