Teknologi Pencetakan Pindahan Air

Memiliki sebuah motosikal berkuasa tinggi memerlukan penjagaan yang rapi agar prestasi jentera tersebut sentiasa berada dalam keadaan terbaik apabila ditunggang.

Selain enjin, bentuk luaran juga perlu dipelihara supaya ia kelihatan menarik dan gah seiring dengan kuasa tujahan motosikal itu.

Membersih dan mencuci kenderaan beroda dua itu merupakan rutin yang perlu dilakukan setiap pemilik bagi memastikan ia kelihatan seperti baharu.

Menukar warna atau mengecat semula merupakan antara pilihan pemilik kenderaan itu bagi mengekalkan kemegahan rupa dan reka bentuknya.

Seorang pemilik motosikal berkuasa tinggi, Kamaruzaman Yacob, 42, berkata, dia sangat menitikberatkan penampilan jentera itu supaya ia sentiasa bersih dan mampu bertahan lebih lama.

“Memiliki motosikal berkuasa tinggi merupakan satu kepuasan bagi seseorang peminat pemotoran.

“Bukan sahaja prestasi yang mengagumkan berbanding motosikal biasa tetapi rekaan juga menarik dan tampak gah apabila menunggangnya.

“Penjagaan rapi daripada segi luaran dan dalaman sangat perlu bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik. Menukar cat adalah salah satu aspek penting dalam penjagaan tersebut.

Laman sosial

“Saya memilih untuk menggunakan kaedah pencetakan pindahan air dalam menukar warna cat pada motosikal kerana ia adalah teknologi baharu yang lebih baik,” katanya yang memiliki dua buah motosikal berkuasa tinggi buatan Jerman iaitu BMW.

Kamaruzaman yang lebih mesra dengan panggilan Kamal berkata, dia mengetahui mengenai teknologi tersebut melalui laman sosial, YouTube dan kenalan rapat yang berkongsi minat sama dengannya.

Dia berpuas hati dengan kualiti pencetakan yang juga dikenali sebagai hydrografik itu kerana ia tidak hanya cepat tetapi hasilnya lebih baik berbanding mengecat menggunakan kaedah konvensional.

“Hasil cat yang dihasilkan daripada kaedah pencetakan pindahan air ini sangat cantik dan kemas kerana warna lebih berkualiti serta tahan lama berbanding semburan cat biasa,” ujar ahli perniagaan yang berasal dari Bentong, Pahang itu.

Pencetakan pindahan air ialah kaedah melekatkan sekeping kertas atau filem khas yang mempunyai pelbagai warna serta corak pada sesuatu permukaan dengan menggunakan air sebagai komponen utama.

Kamal memberitahu, pelbagai corak boleh dipilih berbanding cat biasa yang hanya mampu menghasilkan satu warna.

Selain itu, pengguna boleh memilih untuk mempunyai corak atau paten yang berbeza.

“Jika menggunakan kaedah mengecat yang biasa, sudah tentu saya tidak dapat mewarnakan motosikal saya dengan warna yang mempunyai corak tertentu seperti salutan gentian karbon sebenar kerana harganya sangat mahal.

“Berbeza dengan teknik airbrush, mengecat menggunakan kaedah pencetakan pindahan air ini lebih menjimatkan masa dan kos,” tuturnya.

Sementara itu, pemilik bengkel mengecat kenderaan, Platinum Hydrographic Art Work Specialist Sdn. Bhd., Lee Chun Kit berkata, terdapat kira-kira 50 corak dan paten berbeza yang boleh dipilih di kedainya apabila menggunakan teknologi berkenaan.

Menurut Chun Kit, teknologi dari Jepun yang wujud lebih kurang 35 tahun lalu itu bukan sahaja sesuai digunakan pada motosikal atau aksesori kenderaan tetapi meliputi pelbagai objek termasuk alat pemadam kebakaran, jam tangan dan botol plastik.

“Orang ramai masih tidak mengetahui mengenai kaedah ini kerana ia baharu dua tahun diperkenalkan di Malaysia. Namun, teknik ini sudah wujud di Jepun sejak 35 tahun lalu.

“Cara penggunaannya tidak seperti cat biasa yang perlu disapu atau disembur ke permukaan tertentu. Ia hanya perlu dilekatkan atau dengan kata lain dicetak menggunakan air.

“Tidak seperti cat biasa, ia juga tidak melekat pada tangan dan mudah ditanggalkan dengan hanya dicuci menggunakan air bukan larutan pencair (thinner) kerana teksturnya seperti dakwat pen yang pekat apabila sudah dicairkan,” jelasnya yang sudah dua tahun menjalankan perniagaan tersebut.

Material kertas atau filem khas yang digunakan dalam teknik tersebut diimport dari Jepun dan diperbuat daripada polivinil alkohol (PVA) iaitu sejenis polimer sintetik larut air sebagai bahan utama.

Penghantaran

Selain PVA, teknik tersebut turut memerlukan beberapa bahan kimia khas bagi menukar filem daripada bentuk kertas atau plastik kepada cecair, sekali gus memudahkan ia untuk dicetak pada permukaan barangan tertentu.

Dia yang sebelum ini mengusahakan kedai mencuci kereta berkata, pelanggan boleh menempah corak daripada 5,000 reka bentuk filem PVA yang tidak terdapat di kedainya dan penghantaran dari kilang di Jepun hanya mengambil masa tiga hari.

“Teknologi ini dapat menjimatkan masa kerana tidak perlu melukis terlebih dahulu corak-corak yang diingini pelanggan sebaliknya hanya melekatkan filem PVA ke aksesori tertentu. Ibarat kita ingin mencetak sesuatu lukisan menggunakan mesin pencetak di rumah.

“Selain pelbagai pilihan corak dan warna menarik yang boleh dipilih, teknologi ini juga mampu menghasilkan kemasan sama ada berkilat atau pusam (matte) untuk semua barangan bergantung kepada permintaan serta cita rasa masing-masing.

“Teknologi ini sangat menjimatkan kos. Bagi pelanggan yang ingin mendapatkan corak seperti salutan gentian karbon, mereka hanya perlu mengeluarkan belanja lebih kurang RM400 berbanding RM2,600 untuk gentian karbon sebenar,” terangnya yang turut dikenali sebagai Ray dalam kalangan pelanggannya.

Sementara itu, Chun Kit turut menyediakan kit mencetak sendiri (DIY) untuk kegunaan pelanggan yang ingin melakukan teknik tersebut di rumah. Ia boleh diaplikasikan terhadap apa sahaja barangan yang bersaiz kecil dan mudah dikendalikan dengan harga yang jauh lebih murah berbanding di kedai.

Kit DIY yang dihasilkan sendiri itu terdiri daripada segulung filem PVA, kertas pasir, pita pelekat, sarung tangan getah, penutup mulut, tiga cecair semburan lapisan asas, lapisan kemasan dan satu bahan kimia khas untuk menukar PVA ke bentuk cecair.

“Kit DIY yang terdapat di kedai ini merupakan inisiatif kami sendiri. Idea tercetus apabila terdapat permintaan daripada pelanggan yang ingin melakukan kerja-kerja mengecat barangan mereka menggunakan kaedah pencetakan pindahan air.

“Set lengkap DIY yang dijual di sini berharga RM180 dan pelanggan boleh memilih sendiri filem PVA berdasarkan corak yang mereka minat. Kami lakukan sendiri kerja-kerja pembungkusan termasuk cecair semburan lapisan asas, kemasan akhir dan bahan kimia khas untuk filem PVA,” katanya yang menjalankan operasi kedai pada hari Isnin hingga Sabtu dari pukul 9 pagi hingga 7 malam.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::