Koleksi Baju Melayu Kontemporari

Tiga bulan menjelang perayaan Aidilfitri, laman sosial Instagram dan Facebook dilambakkan dengan pelbagai jenis rekaan serta potongan pakaian tradisi hari raya.

Potongan baju kemeja, baju Melayu, baju kurung, kebaya dan jubah dihamparkan sebagai persiapan awal buat umat Islam yang mengikut permintaan dan perkembangan fesyen terkini.

Begitu juga dengan palet rona yang ditawarkan. Tidak ada spektrum warna yang terkecuali dalam rekaan-rekaan oleh barisan pereka senior dan muda.

Walaupun dahulu ramai pengkritik lebih suka melabelkan fesyen sebagai penggalak hedonisme, ironinya bidang fesyen pada hari ini mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam masyarakat dan menjadi salah satu sub jaringan ekonomi.

Kini, trend yang silih berganti sentiasa mendapat perhatian ramai dan menjadi ikutan terutama kepada kelompok sosialit.

Pujian dan kritikan menjadi penanda aras kejayaan trend yang dilakar oleh pereka fesyen termasuk koleksi Aidilfitri.

Rekaan koleksi baju Melayu Hipster yang hasil jahitan pereka Zery Zamry sempena edisi lebaran Festival Fashion Zalora hangat diperkatakan selepas 27 rekaan itu dipertontonkan di Hotel Pullman Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rekaan-rekaan yang ditampilkan masih mengekalkan ciri-ciri baju Melayu tradisi iaitu cekak musang dan Teluk Belanga.

Namun, selain menerima tepukan eksperimentasi, pereka generasi X itu turut menerima kritikan dengan dakwaan potongan yang dibuat adalah terlalu mengikut bentuk badan.

Menurut Zery, koleksi Hipster itu merupakan terjemahan idea baju Melayu moden yang disasarkan kepada golongan urban. Rekaan yang dihasilkan bukan sahaja sesuai digayakan untuk memenuhi jemputan rumah terbuka oleh golongan berpengaruh tetapi bagi acara-acara formal yang memerlukan penampilan kemas.

“Rekaan koleksi baju Melayu Hipster ini adalah rekaan kontemporari seperti mana baju kurung yang dimodenkan. Kontroversi koleksi ini timbul mungkin disebabkan oleh pembawaan perkataan Melayu itu sendiri.

Peredaran zaman

“Secara langsung, ia berkaitan dengan sensitiviti pemeliharaan nilai budaya masyarakat Melayu. Selain itu, penerimaan rekaan ini juga bergantung kepada interpretasi masing-masing.

“Bagaimanapun, koleksi eksklusif ini merupakan rekaan yang disesuaikan mengikut peredaran zaman. Namun, elemen-elemen baju Melayu masih dikekalkan seperti rekaan cekak musang dan Teluk Belangah.

“Potongan mengikut badan pula dibuat untuk menonjolkan kekemasan dan imej maskulin kaum Adam,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Koleksi itu menampilkan fabrik kapas SB Line, kapas sutera dan kapas Swiss yang tidak panas untuk menangani isu kesan peluh pada baju Melayu ketika mengunjungi rumah saudara-mara.

Menonjolkan lagi imej kelakian, Zery turut melakukan ciri-ciri baharu samping dan songkok dengan sentuhan kulit. Ironinya, rekaan yang hangat dibahaskan terutama di laman sosial itu menerima tempahan awal yang menggalakkan di laman Zalora dengan jumlah helaian stok ditawarkan hampir habis.

Ujarnya, setiap koleksi disediakan untuk 50 helai sahaja bagi memberikan nilai eksklusif rekaan kali ini.

Mengulas lanjut mengenai kontroversi itu, pereka tersohor negara, Salikin Sidek mengajak orang ramai mengimbau kembali rekaan-rekaan era Pop Yeh Yeh pada tahun 1970-an yang sememangnya mengamalkan potongan ikut badan atau konsep tentera dalam setiap rekaan baju untuk kekemasan.

“Bagi saya, rekaan mengikut potongan bukanlah perkara baharu. Ia telah popular sejak era 1970-an. Potongan ikut badan mengikut rekaan baju tentera dibuat untuk menampakkan kekemasan pada bahagian bahu dan dada termasuk baju Melayu pada zaman itu. Malah, era 1960-an dan 1970-an adalah zaman mempertaruhkan daya kreativiti yang disulam bersama kemahiran mencipta dan daya inovasi dengan pelbagai rekaan provokatif.

“Jadi, perkara ini bukan isu sebaliknya hanya pengembalian potongan pada era tersebut dengan suntikan idea-idea baharu menggunakan fabrik yang lebih versatil,” jelasnya.

Salikin memberitahu, hampir 90 peratus daripada pelanggannya juga gemar membuat fitting mengikut potongan badan untuk semua jenis rekaan.

Tambahnya, rekaan-rekaan baju Melayu pada hari ini juga telah mengalami transformasi mengikut permintaan. Misalnya, golongan generasi terdahulu masih menggemari baju Melayu berpoket tiga manakala golongan X pula memilih rekaan berpoket dua. Gengerasi Y meminati rekaan minimalis berpoket satu. Bagi koleksi baju Melayu labelnya, Salikin lebih gemar membuat ukuran mengikut potongan badan dan tidak berpesak.

Bagi menyuntik elemen moden, si penggaya boleh melengkapkan busana tradisi itu dengan samping tenun Pahang yang lebih santai dan selesa.

Begitupun, Salikin berkata, dia lebih selesa melampiaskan estetika rekaannya dalam koleksi yang akan dibawa ke pentas peragaan untuk menonjolkan kebolehan fabrik tradisional Nusantara seperti songket.

“Pereka perlu tahu siapa sasaran pembeli sebelum menghasilkan satu-satu rekaan. Rekaan yang provokatif mungkin lebih sesuai dibawa ke pentas peragaan kerana pengikut fesyen di sana lebih mahir dalam menilai seni estetika yang dipersembahkan,” katanya.

Berbeza aspirasi dengan pereka-pereka fesyen, label yang malar sebagai pembuat baju Melayu, Bak Tailor (Bak) masih mengekalkan gaya dan potongan tradisi untuk digayakan kaum Adam.

Kini, label itu di bawah telunjuk generasi kedua legasi tersebut iaitu Sharief Hidayatullah Muhammad Sohaimi.

Dia berkata, apabila menjelang Aidilfitri, kebanyakan pelanggan yang masuk ke butik-butiknya masih mencari baju Melayu dengan potongan klasik.

“Kami menyediakan perkhidmatan mengikut permintaan pelanggan dan sejak label ini diperkenalkan pada tahun 1975, kebanyakan potongan baju Melayu yang digemari orang ramai adalah rekaan klasik dengan potongan berpesak.

Nostalgia

“Mungkin potongan lama ini mempunyai nilai peribadi atau nostalgia kepada individu dan lebih sinonim apabila meraikan Aidilfitri. Cekak musang butang lima atau butang tiga dan Teluk Belangah jahitan tulang belut adalah jenis rekaan tradisional popular yang dilengkapkan dengan potongan poket bulat,” jelasnya.

Ujarnya, rekaan baju klasik itu juga tidak akan pupus atau lapuk dek zaman kerana nilai budayanya yang terus terpelihara dan dipandang tinggi.

Berpaksikan kepada potongan klasik, label Bak meletakkan rekaan-rekaannya setanding dengan perkembangan dunia fesyen menerusi gabungan pelbagai jenis fabrik seperti kapas, linen dan sifon serta potongan baju Melayu tidak berpesak yang lebih popular pada hari ini.

“Kami tidak terlalu fokus untuk menyediakan trend baharu bagi digayakan orang ramai tetapi menawarkan perkhidmatan menjahit berkualiti tinggi mengikut cita rasa serta rekaan yang diinginkan pelanggan,” jelasnya.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::