Sulaman Tebuk Butik Arca Creation

Sulaman pada baju tidak akan lekang dek panas atau lapuk dek hujan. Zaman berganti namun sulaman tetap terus diminati. Seni sulaman sesungguhnya satu hasil seni yang begitu indah dan tidak ada tolok bandingnya.

Terdapat pelbagai jenis sulaman seperti sulaman tebuk, sulaman tampal, sulaman kerawang dan banyak lagi. Baju yang dijahit dengan sulaman mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana perlu dibuat dengan begitu teliti dan halus. Justeru tidak hairanlah baju yang dijahit dengan sulaman boleh dijual pada harga yang tinggi.

Sulaman biasanya dijahit pada kebaya, baju kurung, blaus dan telekung. Tidak dapat dinafikan baju yang diperindahkan dengan sulaman memang nampak cantik dan eksklusif.

Menghargai nilai seni sulaman yang diminati oleh ramai wanita, Butik Arca Creation menghasilkan pelbagai rekaan baju yang dijahit dengan sulaman.

Sulaman yang menjadi pilihan butik ini ialah sulaman tebuk dan sulaman kerawang kerana jahitannya yang cantik, bunga yang tebal dan pasti dikagumi oleh ramai wanita terutama oleh golongan yang berumur 30 tahun ke atas.

Dibuat daripada fabrik syifon, terdapat beberapa rekaan dan potongan baju seperti kebaya moden, kebaya tradisional, kaftan pendek dan blaus. Setiap helai baju dijahit dengan sulaman yang berbeza corak dengan rekaan mengikut trend terkini.

Sulaman dapat dilihat pada bahagian depan bawah kebaya, pada lidah kebaya, pada bahagian dada dan di hujung lengan. Warna benang sulaman pula dibuat sama dengan bahagian kain dan ini menonjolkan lagi keindahan sulaman tersebut.

Menurut pemilik Arca Creation, Sazlyanna Zainuddin, setiap rekaan baju bersulam ini begitu istimewa. Baju dan kain dibuat daripada warna fabrik yang berbeza kerana menyedari ramai wanita yang lebih suka gaya yang sebegini.

“Selain keindahan sulaman yang halus dan dijahit rapat, manik dijahit pada bunga sulaman supaya corak sulaman nampak lebih menonjol. Baju bersulam ini sesuai dan cantik dipakai ke majlis-majlis tertentu seperti perkahwinan, pertunangan, rasmi dan sebagainya."

“Pemilihan fabrik syifon bagi rekaan baju bersulam ini amat menepati kerana fabrik ini selesa, tidak tebal, tidak panas dan mudah dijaga. Jika dijaga dengan baik, baju ini boleh disimpan untuk dipakai oleh anak pula."

“Tidak rugi memiliki baju bersulam ini kerana memang sukar mencari baju seperti ini sekarang. Kebanyakan fesyen wanita yang terdapat pada masa ini sama sahaja contohnya dres, jubah atau baju kurung."

"Dengan memiliki baju bersulam ini anda mempunyai fesyen yang berbeza dan menarik,” kata Sazlyanna yang memperagakan sendiri fesyen daripada butik beliau.

Sumber: Utusan Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::