Spa Muslimah D’Elegan Spa

Kesukaran untuk mendapatkan rawatan dan perkhidmatan mengenai penjagaan rambut khusus buat golongan Muslimah berasa serba tak kena terutama buat kebanyakan wanita Islam termasuk Nor Azura Che Soh.

Wanita berusia 26 tahun itu berkata, seboleh-bolehnya dia mahu menjaga aurat dengan berkunjung ke salon rambut yang benar-benar mesra Muslimah.

“Menutup aurat adalah menjadi kewajipan bagi setiap Muslim. Jadi, semua orang wajib menjaga auratnya.

“Begitupun, kekangan dan ketiadaan tempat khusus untuk Muslimah mendapatkan perkhidmatan tersebut membuatkan kami terpaksa memotong rambut di salon yang mempunyai pekerja lelaki.

“Kewujudan spa Muslimah seperti D’Elegan Spa, menjadi solusi buat kami yang dibelenggu masalah tersebut,” jelas eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta di Bandar Baru Bangi, Selangor itu.

Bagi sesiapa yang pernah berkunjung ke D’Elegan Spa yang terletak di Jalan Deluxe, Dengkil, Selangor, mata mereka pasti akan tertancap pada memo yang memberitahu bahawa spa tersebut khas untuk golongan wanita.

Memo tersebut secara jelas menunjukkan bahawa perkhidmatan yang disediakan seperti lulur badan, mandi bunga, urutan, penjagaan muka, rawatan kaki dan salon rambut khusus untuk golongan Hawa.

Berkonsep Muslimah kontemporari, D’Elegan Spa menyediakan perkhidmatan terbaik pada harga berpatutan dalam suasana dan ruang yang kondusif.

Diiringi alunan muzik Bali dan wangian yang sederhana baunya selain elemen warna alam yang menghiasi spa tersebut pasti memikat hati sesiapa sahaja yang bertandang untuk mendapatkan rawatan rambut, wajah dan penjagaan badan.

Diusahakan oleh seorang doktor gigi, Dr. Norshabila Dahari, 32, pada Januari lalu, spa tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat dan kawasan sekitar seperti Putrajaya serta Kuala Lumpur.

Penglibatan awal

Menurut wanita tersebut, dia pernah mendapat panggilan daripada beberapa orang lelaki yang memohon supaya perkhidmatan spa itu turut dibuka kepada golongan tersebut.

Katanya, mungkin cerita daripada mulut ke mulut tentang perkhidmatan terbaik yang disediakan oleh D’Elegan Spa membuatkan ramai dalam kalangan pelanggan melekat hingga sekarang selepas kunjungan kali pertama.

Bercerita tentang penglibatan awalnya dalam bidang penjagaan kesihatan dan kecantikan tersebut, ibu kepada dua orang anak itu memberitahu, idea pembukaan D’Elegan Spa bermula selepas dia mengalami beberapa masalah ketika mahu mendapatkan perkhidmatan di beberapa salon sebelum ini.

Cerita wanita kelahiran Kuala Lumpur tersebut, beberapa tahun lalu dia terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan giliran memotong rambut semata-mata tidak mahu bertembung dengan pelanggan lelaki di salon.

Katanya, walaupun ada yang mengasingkan bilik rawatan antara lelaki dan wanita atau sesi khas untuk Muslimah, dia masih berasa janggal dan tiada privasi.

“Pengalaman yang dilalui untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan dan penjagaan rambut itu menyebabkan saya sedar tentang satu hakikat. Hakikat dan tanggungjawab sebagai Muslimah untuk Muslimah yang lain.

“Selain dapat menyelesaikan masalah sendiri dan sebagai pendapatan sampingan, saya juga boleh membuka jalan kepada Muslimah lain untuk mendapatkan perkhidmatan eksklusif untuk Muslimah.

“Jadi, spa ini menjadi wadah terbaik untuk masalah sebelum ini,” jelasnya yang turut mempunyai klinik pergigian di lot yang sama dengan spa tersebut.

Bercerita tentang konsep spa yang dimilikinya, Norshabila berkata, Muslimah kontemporari menjadi pilihan kerana mahu mengubah persepsi masyarakat tentang golongan itu.

Norshabila memberitahu, sebut sahaja Muslimah, pasti ramai individu membayangkan sesuatu yang konservatif walhal ia adalah tanggapan tidak betul.

Tegasnya, Muslimah juga boleh bergerak seiring dengan modenisasi termasuk dalam aspek kerjaya dan penampilan diri. Muslimah boleh tampil dengan wajah yang cantik, tidak kusam dan bertenaga serta mempunyai aura tersendiri apabila berhadapan dengan khalayak.

Tambahnya, selain tampil dengan yakin, Muslimah bekerjaya pada hari ini mempunyai bebanan yang lebih berbanding wanita terdahulu. Oleh itu, mereka memerlukan ruang untuk diri sendiri.

Harga

“Spa ini boleh menjadi tempat kaum Hawa memanjakan diri selepas seharian menguruskan keluarga dan kerjaya.

“Selain berkonsepkan mesra Muslimah dan mendamaikan, spa ini juga mesra pengguna daripada segi harga yang ditawarkan untuk setiap perkhidmatan. Jadi, para wanita di luar sana tidak perlu gusar tentang harga,” kata Norshabila.

Pada harga RM230 ke bawah, para pelanggan boleh mendapatkan rawatan seperti mandian susu dan bunga; lulur badan; urutan badan dan muka; penjagaan wajah dan rambut; refleksologi; rawatan kuku, tangan serta kaki.

Terang Norshabila, harga yang dikenakan berbeza mengikut jenis perkhidmatan.

“Berdasarkan suasana dan perkhidmatan mewah yang disediakan, harga yang ditawarkan adalah sangat berpatutan.

“Kakitangan spa juga terdiri daripada golongan yang terlatih. Jadi, pelanggan tidak perlu bimbang tentang kualiti perkhidmatan yang disediakan.

Kongsinya, bagi pelanggan yang menjadi ahli kelab spa, tawaran dan promosi istimewa turut disediakan sebagai menghargai kesetiaan mereka kepada D’Elegan Spa.

“Diskaun semakin bertambah setiap kali mereka datang ke spa untuk mendapatkan rawatan. Bagi rawatan kali pertama, diskaun sebanyak 5 peratus diberikan manakala diskaun 10 peratus diperoleh bagi rawatan kali kedua dan 15 peratus untuk kali ketiga.

“Pelanggan juga diberikan ganjaran sempena hari lahir mereka dengan diskaun sehingga 20 peratus selain tawaran istimewa turut disediakan kepada bakal pengantin dengan pengenalan pakej perkahwinan khusus buat Muslimah,” kongsi wanita manis tersebut.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::