Simkad Rakyat 1Malaysia (SR1M)

Simkad Rakyat 1Malaysia (SR1M) optimis sasaran sejuta pengguna mampu dicapai menjelang hujung tahun ini menerusi pelbagai promosi yang akan dijalankan di seluruh negara.

Pengerusinya, Mohd. Noor Mohd. Amin berkata, walaupun baharu dilancarkan minggu lalu, SR1M telah menarik minat 2,000 pengguna yang tertarik dengan produk telekomunikasi tersebut kerana menawarkan kadar rendah dan berpatutan.

“Saya yakin sasaran sejuta pengguna SR1M ini mampu dicapai menerusi pelbagai langkah promosi yang bakal kita lakukan di seluruh negara dengan memfokuskan golongan belia di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Selain itu, SR1M bakal melancarkan pelan pasca bayar pada Mei ini berbanding tawaran perkhidmatan prabayar. Saya percaya langkah ini bakal menarik lebih ramai pengguna untuk memilih SR1M,” kata­nya dalam sidang akhbar mengenai produk SR1M, di sini hari ini.

SR1M yang dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Nege­ri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek pada minggu lalu merupakan satu lagi inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup.

Pek permulaan SR1M dijual pada harga RM5.90 dengan kredit percuma sebanyak RM5 dan 150 megabait untuk akses Internet.

Pengguna SR1M akan dicaj lapan sen bagi setiap 30 saat panggilan telefon, lapan sen untuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan lima sen bagi setiap megabait data Internet yang dimuat turun.

Pada masa sama, Mohd. Noor memberitahu, pihaknya mempelawa orang ramai yang berminat untuk menjadi pengedar SR1M de­ngan mendaftar di laman web SR1M.

Ujarnya, sehingga hari ini, terdapat 14 pembekal utama dan 400 pengedar SR1M di seluruh negara dan jumlah itu bakal bertambah apabila pihaknya telah menerima banyak permohonan untuk menjadi pengedar SR1M termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SR1M, Bakhtiar Shaari menjelaskan, SR1M merupakan hasil kerjasama antara syarikat Optic Tech Sdn. Bhd. dengan Clixster Mobile Sdn. Bhd. dan Enabling Asia yang bertindak sebagai pengurus, pembekal dan perantara dengan syarikat telekomunikasi, UMobile Sdn. Bhd. (UMobile).

Ujarnya, terdapat kekeliruan oleh satu laporan akhbar yang me­nyatakan SR1M diusahakan oleh Optic Tech dengan kerjasama UMobile tanpa menyebut nama pihak Clixster Mobile dan Enabling Asia.

Sumber: Utusan Malaysia

Nota kaki:

Kadar Panggilan = 8 sen setiap 30 saat = 16 sen setiap 60 saat (1 minit)

Kadar SMS = 8 sen setiap SMS

Data Internet (muat turun)
= 5 sen setiap megabait = RM 5 setiap 100 megabait = RM 50 setiap 1000 megabait (1GB)

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::