Fesyen Vintaj Button My Buttons

Button My Buttons adalah antara jenama pelopor kepada fesyen vintaj tempatan yang bertapak sejak tahun 2007 lagi. Terkenal dengan elemen ‘wajib ada’ mereka, iaitu perincian butang dan reben dalam setiap koleksi yang ditampilkan, jenama tersebut kembali memeriahkan fesyen vintaj dengan gaya yang lebih menggoda, bertenaga, dan feminin.

Bertemakan Glamour Daze, koleksi kali ini mengetengahkan busana ciri tradisional yang mengambil inspirasi fesyen retro.

Elemen vintaj yang ditampilkan itu begitu menyerlah terutamanya pada potongan blaus, bahagian dada dan sekitar kolar yang turut menyelitkan renda, manik serta reben saiz besar.

Pengasasnya, Shahida Shariff berkata, dia menggunakan warna-warna eksklusif seperti hitam dan emas bagi menyerlahkan imej sofistikated yang dibawa koleksi itu.

Walaupun menekankan imej klasik, padanan yang dihasilkan juga menampakkan unsur moden untuk penampilan sempurna.

“Terdapat sentuhan Broadway untuk menampilkan gaya yang selari dengan rentak vintaj untuk menonjolkan kerapian dan potongan yang anggun.

“Gabungan bertenaga dengan elemen berbeza yang tidak mengikut gaya tertentu memenuhi setiap impian wanita yang mahukan penampilan feminin melalui penggayaan kurung mini, jubah, peplum, ataupun dres pendek bersama skirt labuh.

“Untuk koleksi ini juga, Button my Buttons menampilkan busana ibu dan anak yang sedondon yang kelihatan lebih versatil dan bergaya.

“Ini merupakan tahun kedua kami mengeluarkan koleksi kanak-kanak. Ekoran sambutan yang menggalakkan, sekali lagi kami cuba menonjolkan kembali imej kanak-kanak riang pada busana ini dan dalam masa yang sama tampak eksklusif,” katanya ketika ditemui selepas pertunjukan fesyen Button My Buttons Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Persembahan fesyen yang dijayakan oleh beberapa selebriti tempatan seperti Neelofa, Wan Sharmila, Yasmin Hani, Nad Zainal, Faezah Elai, Memey Suhaiza, Ainul Aishah, Adeline Tsen, dan Ramona Zam Zam itu, turut diadakan bersempena dengan majlis pembukaan restoran Twenty & Co.

Menggunakan fabrik yang mementingkan keselesaan, Button My Buttons menambat hati wanita dengan fabrik-fabrik seperti thule, kain kapas, sifon, krep, satin, organza, dan renda.

Sederhana dan tidak keterlaluan, Glamour Daze pastinya tidak mengecewakan peminat-peminat jenama tersebut yang sekian lama menunggu kehadiran koleksi eksklusif buat mereka.

Lebih menarik lagi, padanan ini dihasilkan khusus untuk busana hari raya tahun ini. Walaupun masih terlalu awal untuk diperkatakan, kebanyakan wanita kini sibuk mencari-cari rekaan terkini dan pastinya Glamour Daze bakal tersenarai dalam pilihan pakaian hari raya anda.

Sebanyak 20 rekaan ditampilkan untuk koleksi eksklusif ini. Maklumat lanjut boleh melayari laman sosial Instagram, @buttonmybuttons

Sumber: Utusan Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::