Gunting Rambut RM3

Seorang peneroka yang membuka kedai gunting rambut hanya mengenakan bayaran RM3 kepada pelanggan tetapi mampu memberikan perkhidmatan yang setanding dengan kedai gunting rambut lain.

Chamer Yatim, 60, peneroka dari Felda Gugusan Palong 12 di sini berkata, pelajar sekolah dan kanak-kanak pula hanya dikenakan bayaran RM2 sahaja.

“Harga ini untuk apa juga fesyen yang dikehendaki oleh pelanggan.

“Jika mahu mewarnakan rambut, pelanggan perlu tambah RM2 sahaja bergantung pada jenama pewarna rambut yang dipilih,” katanya ketika ditemui di kedainya di sini semalam.

Harga menggunting rambut bagi kebanyakan kedai adalah antara RM7 hingga RM12 seorang.

Jelas Chamer, dia memulakan perniagaan itu kira-kira 29 tahun lalu iaitu sejak berhijrah ke tanah rancangan tersebut.

“Pada sebelah pagi saya akan ke kebun dan mula membuka kedai gunting pada pukul 2 petang sehingga 3 pagi.

“Waktu perniagaan bergantung pada pelanggan, jika pada hari itu kurang pelanggan maka saya akan tutup kedai lebih awal. Biasanya pelanggan akan memberitahu lebih awal termasuk menerusi khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) sebelum datang ke kedai kerana bimbang perlu tunggu terlalu lama,” katanya.

Chamer berkata, dia tetap gembira apabila dapat menawarkan harga yang rendah kepada pelanggan.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::