Pasar Lorong Kulit - Part 2 of 2 |
Part 1 of 2 | Part 2 of 2
Menurut Presiden Persatuan Kebajikan Pembangunan Peniaga Kecil Lorong Kulit, Mohamed Fauzil Mohd. Kadersah, walaupun telah lama berpindah tetapi nama Rope Walk masih kekal sehingga hari ini.
"Kini bilangan peniaga yang terdiri daripada pelbagai kaum sudah meningkat dengan kira-kira 523 tapak berniaga. Masing-masing menjual pelbagai koleksi antik dan terpakai termasuk pakaian dan aksesori diri.
"Semuanya boleh diperoleh pada harga serendah 50 sen sehingga mencecah ribuan ringgit bergantung kepada jenis dan usia sesuatu barangan.
"Kini, jenis perniagaan turut dipelbagaikan sesuai dengan kehendak orang ramai seperti gerai menjual buah-buahan, makanan dan minuman pada harga berpatutan," katanya kepada Kosmo!.
Beliau yang juga peniaga barangan antik berkata, hampir 70 peratus peniaga di Rope Walk telah berniaga di situ sejak lebih dua dekad.
Secara peribadi, Mohamed Fauzil memberitahu, berniaga di situ menjanjikan kepuasan kerana dapat bertemu pelbagai lapisan pelanggan.
Jelas anak jati Pulau Mutiara ini, kehadiran pengunjung setiap hujung minggu tidak pernah surut termasuk cuti umum.
"Kalau hendak dikira untung atau rugi pula, tidak semua orang gemar menyimpan atau mengumpul barangan antik. Tetapi, dengan minat yang mendalam terhadap koleksi lama ini saya mampu bertahan sehingga ke hari ini.
"Yang penting, orang ramai berpeluang menemui barangan antik yang usianya mencecah 100 tahun," katanya.
Antaranya termasuklah teropong, kamera, papan iklan, peralatan muzik antik dan kereta sorong bayi pada zaman sebelum merdeka.
Selain terus hidup sebagai pasar lambak popular di negeri ini, Rope Walk juga merupakan lokasi pertemuan sahabat lama kerana ia mudah dikunjungi selain menggamit nostalgia masing-masing. Menurut seorang peniaga barangan terpakai, Abdullah Hassan, 61, ada kalangan rakan-rakannya yang telah berhijrah ke ibu kota atau negeri-negeri lain tetap singgah ke Rope Walk jika pulang bercuti.
"Di sinilah lokasi penyatuan hubungan persahabatan mahupun persaudaraan sambil menghabiskan masa cuti hujung minggu atau cuti perayaan.
"Ramai yang gemar ke sini kerana mereka akan terserempak dengan rakan-rakan lama dan biasanya pertemuan di Rope Walk akan berakhir di kedai kopi berdekatan," selorohnya.
Ditanya mengenai survival peniaga di situ, Abdullah memberitahu, biarpun keuntungan tidak dapat diperoleh seperti yang dijangka tetapi dia tetap berpuas hati dengan sambutan daripada para pelanggan.
"Lebih 15 tahun saya berniaga di sini. Saya boleh bertahan dkerana lokasinya yang menarik bagi pengunjung yang mahu mencari barangan yang sukar diperoleh," katanya.
Sementara itu, peniaga basikal, Lee Seng An, 54, menyatakan tujuannya membuka perniagaan menjual basikal lama berusia 10 tahun lalu termasuk yang terkini bagi memperlihatkan identiti sebenar Rope Walk di mata pengunjung.
Dia yang berniaga sejak dua dekad lalu berkata, lokasi tersebut menjadi satu tarikan budaya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum menerusi barangan lama yang dipasarkan.
"Sebab itulah saya masih berada di sini. Saya hanya memikirkan kepuasan dan kehendak hati pelanggan daripada keuntungan yang diperoleh," jelasnya.
Sumber: Kosmo! Online