Pasar Lorong Kulit - Part 1 of 2 |
Part 1 of 2 | Part 2 of 2
Hiruk-pikuk jeritan peniaga dan pelanggan bersilih ganti membingitkan suasana di Rope Walk, George Town, Pulau Pinang. Lokasi berniaga barangan terpakai dan barang antik itu sudah cukup dikenali di negeri ini.
Mata pelanggan pula terpandang ke arah pelbagai barang-barang jualan sambil berjalan perlahan-lahan dan berhimpit-himpit.
Dikenali juga dengan nama Pasar Lorong Kulit sempena nama jalan di situ, Rope Walk tidak pernah suram dengan pelanggan yang membanjirinya setiap minggu sama ada untuk mencari barangan yang diingini atau sekadar mencuci mata.
Konsep perniagaannya juga cukup ringkas. Hanya gerai-gerai yang beratap kanvas atau payung dan ada yang dilonggokkan di atas tikar. Ada juga yang melonggokkan barang-barang jajaan di atas tikar.
Selain barang-barang antik, terdapat pelbagai barang terpakai seperti kelengkapan rumah, peralatan elektrik, buku-buku, koleksi matawang, seramik, kasut dan piring hitam juga dijual.
Asas untuk membeli-belah di sini ialah anda mesti bijak tawar-menawar untuk mendapatkan harga yang benar-benar berbaloi dan sesuai.
Peniaga jalanan
Kalangan masyarakat tempatan berjenaka dengan nama Rope Walk. Kata mereka, usah risau sekiranya ada kasut yang hilang di rumah kerana dicuri. Datang sahaja ke Rope Walk, keesokan hari dan kasut tersebut ada dijual di situ.
Jenaka ini muncul ekoran suatu ketika dahulu Rope Walk menjadi lubuk penagih dadah menjual barang-barang curi terutamanya kasut.
Difahamkan, perniagaan di Rope Walk bermula sekitar awal tahun 1970-an apabila beberapa penduduk tempatan mengambil inisiatif menjalankan perniagaan menjual barangan terpakai di Lorong Pintal Tali.
Mereka berniaga secara terbuka di lorong rumput sepanjang 70 meter di belakang rumah penduduk pada setiap hujung minggu. Bermula dengan 60 peniaga Melayu, jumlah itu beransur-ansur bertambah.
Kawasan tersebut terletak berhampiran dengan Jalan Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Acheh iaitu kira-kira dua kilometer (km) dari lokasi sekarang.
Lama-kelamaan, pengunjung bertambah ramai lalu menyebabkan kawasan di situ sesak dengan orang ramai mahu berniaga di lorong belakang rumah penduduk.
Bagaimanapun keadaan menjadi bertambah sempit dengan kemasukan peniaga-peniaga yang menyebabkan mereka terpaksa berpindah.
Berdasarkan cerita peniaga lama, penduduk kawasan terbabit dikatakan marah kepada peniaga kerana membiarkan anak-anak mereka bermain di kawasan perumahan terbabit sehingga mengganggu ketenteraman penghuni.
Keadaan tersebut menyebabkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mencadangkan tiga lokasi baharu iaitu Jalan Larut, Armenian Street dan Lorong Kulit bagi menempatkan kira-kira 180 peniaga sedia ada.
Akhirnya pada tahun 1992 para peniaga Rope Walk berpindah ke Lorong Kulit manakala sebahagia peniaga yang enggan pula memilih untuk berniaga di Armenian Street.
Sumber: Kosmo! Online