Filet Ikan Snapper Food

Sebut sahaja ikan air tawar seperti tilapia pasti ramai yang terbayangkan bau hanyir yang sukar untuk dihilangkan.

Situasi itu menyebabkan hanya sesetengah orang yang berselera untuk menikmatinya.

Tetapi berbeza pula bagi syarikat pengeluar produk sejuk beku Snapper Food Sdn. Bhd. yang melihat potensi besar untuk mengembangkan menu berasaskan ikan tilapia seperti sandwic dan burger.

Jika kebiasaannya sandwic menggunakan inti seperti ayam, daging atau telur, syarikat bumiputera ini sebaliknya menampilkan sandwic ikan tilapia.

Menurut Pengurus Besarnya, Mohd. Syafiq Ali Bajunid Omar, sandwic menggunakan filet ikan tilapia itu ada ditawarkan di kafe Snapper Food yang beroperasi di Taman Putra Kajang, Kajang, Selangor.

Menu

“Menu ini memberi nilai tambah kepada produk utama keluaran syarikat kami iaitu filet ikan tilapia.

“Kami menyediakan menu sarapan hingga ke makan malam yang kesemuanya menggunakan produk ikan tilapia.

“Lingkungan harga bagi menu di kafe ini bermula dari RM3.50 hingga RM8.50,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya turut menawarkan produk lain seperti nuget, jejari ikan dan isi ikan tilapia.

Sebenarnya, ikan tilapia telah menjadi makanan kegemaran masyarakat dunia selepas ikan salmon. Malah, fillet ikan tilapia berada pada nombor tiga di Amerika Syarikat dalam kategori makanan import berasaskan ikan.

“Tetapi di Malaysia, tidak ramai orang yang tahu khasiat ikan ini. Oleh sebab itulah kami mahu mempopularkan produk ini.

“Ikan ini memberi banyak manfaat kesihatan. Ia kaya protein tetapi rendah kalori,” ujarnya sambil memberitahu, pihaknya aktif menyertai pameran yang dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Katanya, idea untuk memberi tumpuan kepada produk filet ikan itu diperoleh selepas melihat potensi besar penternakan ikan tersebut menggunakan teknologi dari Norway yang dijalankan di Tasik Temenggor, Gerik, Perak.

“Melalui teknologi itu, ikan ini boleh dimakan secara sihat. Tiada bahan pengawet atau rawatan lain digunakan ketika proses pembiakan.

“Kami mahu mewujudkan menu baharu ikan tilapia sekali gus menjadikan produk ini semakin unik. Malah, pengguna dapat merasai sendiri kesegaran filet ikan yang dihidangkan,” beritahu beliau.

Ujarnya, selain itu, pihaknya juga mahu menggalakkan masyarakat menjadikan ikan sebagai hidangan utama di rumah.

Filet

Kelebihan lain filet ikan tilapia ini ialah ia mudah disediakan dan sesuai dimasak apa juga jenis masakan seperti asam pedas dan gulai.

“Ini sangat praktikal bagi mereka yang bekerja kerana tidak perlu melakukan proses menyiang ikan di rumah,” jelasnya yang dibantu seramai 13 orang kakitangan.

Filet ikan tilapia Snapper Food boleh didapati dalam dua saiz manakala harga ditentukan mengikut timbangan berat yang diinginkan pelanggan.

“Produk filet ini didatangkan dalam dua saiz iaitu pek original yang digunakan oleh pengusaha restoran dan pek untuk isi rumah serta pasar raya.

“Harga bagi kedua-dua kategori ini bermula dari RM8 hingga RM145,” katanya.

Tambahnya, pihaknya menyasarkan untuk memasuki pasar raya besar di sekitar Lembah Klang dalam tempoh terdekat.

“Produk ini mendapat sambutan yang menggalakkan sejak diperkenalkan pada tahun 2011, malah produk kami juga telah menjadi hidangan di beberapa buah hotel dan restoran bagi produk sejuk beku seperti nuget, burger, jejari ikan dan isi ikan.

“Produk kami turut mendapat permintaan daripada negara seperti Jerman, Thailand, Brazil dan Afrika Selatan,” beritahu beliau.

Jelasnya, setakat ini, Snapper Food mempunyai 50 ejen yang memasarkan produk keluarannya.

Kami berharap dapat mewujudkan seramai 200 ejen dan 100 stokis serta 17 pengedar pada masa akan datang,” katanya.

Difahamkan, Snapper Food juga bakal memiliki bangunan kilangnya di Sungai Petani, Kedah menjelang tahun 2015.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::