Teknologi Plant-e Menjana Tenaga Elektrik Bersih

Saintis Belanda telah mencipta satu sistem bertaraf revolusi yang boleh membantu kampung-kampung terpencil di seluruh dunia untuk menjana tenaga elektrik secara berterusan daripada tumbuh-tumbuhan yang menakung air seperti padi di sawah.

“Ia berdasarkan prinsip bahawa tumbuh-tumbuhan menghasilkan lebih banyak tenaga daripada berbanding yang diperlukan.

“Kelebihan sistem ini berbanding sistem angin atau solar adalah ia juga boleh digunakan pada waktu malam dan apabila tiada angin,” kata pengasas bersama Plant-e, Marjolein Helder, yang menghasilkan produk tuaian tenaga daripada tumbuh-tumbuhan hidup.

Ditubuhkan pada tahun 2009, Plant-e melengkapkan sistem yang pada asalnya hanyalah sebuah mimpi ketika di Wageningen University dan ia telah dipatenkan pada tahun 2007.

Apa yang sistem ini perlukan untuk menghasilkan tenaga elektrik ialah tumbuhan yang tumbuh di dalam air, sama ada paya bakau, sawah padi, tanah berlumpur atau hanya dalam pasu mahupun taman anda.

“Ia hanyalah satu permulaan dan masih banyak perkara yang perlu ditambah baik, tetapi potensinya sangat besar.

“Jika sistem ini menjadi cukup baik, ia boleh membekalkan tenaga elektrik bagi kawasan terpencil atau dipasang di bandar-bandar dan kawasan luar bandar untuk menghasilkan tenaga elektrik yang bersih,” kata profesor inovasi dari Universiti Utrecht, Jacqueline Cramer, yang juga bekas Menteri Alam Sekitar Belanda.

Teknologi ini memanfaatkan bahan organik lebihan yang dihasilkan oleh tumbuhan semasa fotosintesis, dan dikeluarkan melalui akar tumbuh-tumbuhan serta digunakan oleh mikroorganisma.

Elektron

Penggunaan tersebut membebaskan elektron, yang kemudiannya boleh dituai dengan meletakkan elektrod karbon berdekatan dengan akar untuk menjana tenaga elektrik.

“Sebenarnya, mendapatkan tenaga daripada tumbuh-tumbuhan bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi dalam hal ini, kita tidak perlu merosakkan tumbuhan, ia adalah satu sistem yang tidak invasif,” kata Helder.

“Tenaga elektrik yang dihasilkan dengan cara ini akan berhenti jika air menyejat atau membeku, tetapi anda hanya perlu menambah air atau menunggu ais mencair,” kata beliau lagi.

Bagaimanapun, di kebanyakan tempat di dunia, mereka tidak mempunyai masalah ini.

Sementara itu, Plant-e, yang berpangkalan di Wageningen di timur Belanda, kini menjual satu sistem yang terdiri daripada 50 sentimeter persegi plat plastik yang mengandungi teknologi dan boleh ‘memegang’ tumbuh-tumbuhan bersama.

Sistem ini direka untuk taman-taman atau kawasan berbumbung, namun ia didatangkan dengan harga yang tinngi, iaitu kira-kira AS$66,000 (RM246,000) untuk menampung 100 meter persegi.

Pada masa sama, produk utama merupakan tiub yang boleh tenggelam dengan cepat dan mudah bagi membolehkan tenaga elektrik dijana di kawasan berair sedang giat dibangunkan.

Potensi sistem ini amat besar dan ia sangat sesuai digunakan di kawasan Asia Tenggara dengan adanya sawah-sawah padi, kawasan paya bakau dan tanah lembap lain yang sering keputusan bekalan elektrik.

Menurut laporan Bank Dunia, kurang daripada satu pertiga daripada penduduk Kemboja mempunyai akses kepada bekalan elektrik dan kurang daripada separuh di Myanmar. Di Bangladesh, 55 peratus daripada penduduk mempunyai bekalan elektrik dan Laos 66 peratus.

Pada masa ini, 100 meter persegi sistem boleh menyediakan elektrik yang cukup untuk mengecas telefon mudah alih, membekalkan kuasa untuk beberapa lampu LED atau pusat akses internet tanpa wayar.

Tetapi dalam beberapa tahun akan datang, Plant-e berharap sistem yang bersaiz sama akan mampu menyediakan 2,800 kilowatt/jam, atau kira-kira 80 peratus daripada keperluan elektrik sebuah keluarga Belanda berpurata 2.2 orang.

Dua sistem berskala besar telah dipasang di Belanda pada jalan berjambatan dan permulaan kampus berteknologi tinggi pada kos sebanyak AS$32,000 (RM119,000), dengan sokongan pihak berkuasa perbandaran.

“Kami mahu membantu membangunkan teknik ini yang mempunyai potensi yang besar,” kata Bas Boeker, yang menguruskan harta milik negara termasuk kampus permulaan.

Keputusan awal adalah begitu memberangsangkan, kata para pemaju, dan masalah yang timbul tidak semestinya apa yang anda jangkakan seperti lampu LED pada projek jalan berjambatan telah dimusnahkan oleh vandalisme.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::