Wafer Emas Kartunis Ujang

Apabila menyelak semula halaman majalah lawak Ujang, pasti kita akan tercuit dengan gelagat karakter Usop Sontorian yang menggambarkan secara terus kehidupan masyarakat desa di negara ini.

Lukisan aktiviti remaja kampung itu turut diadaptasi menjadi animasi malah menawan sebanyak 27 negara.

Karakter majalah itu dilihat kekal relevan dan masih mendapat tempat di hati generasi muda.

Bagi menghargai peminat, kartunis watak tersebut, Ujang atau pemilik nama sebenar Ibrahim Anon, 50, tampil membawa buah tangan kepada penyokongnya.

Ujang telah bertapak sebagai kartunis sejak tahun 1985 menerusi karya sulung dalam majalah Gila-Gila sebelum beralih menerajui Ujang pada tahun 1994.

Sempena genap tiga dekad pembabitannya sebagai kartunis, Ujang berkolaborasi dengan syarikat perhiasan emas, Nubex Sdn. Bhd. (Nubex) dengan memperkenalkan kepingan emas yang mempunyai signatur Ujang.

Koleksi emas itu merupakan yang pertama di Malaysia dan sesuai dijadikan hadiah kepada insan istimewa.

Ketua Pegawai Eksekutif Nubex, Mohd. Faizal Mohd. Nor berkata, hasrat untuk berkolaborasi itu telah lama disimpan dan sangat berbesar hati apabila kartunis tersohor negara, Ujang menerima tawaran syarikatnya.

“Koleksi ini terdiri daripada lima edisi terhad yang hanya dikeluarkan sebanyak 1,000 keping setiap satu. Ia adalah cenderamata kepada peminat Ujang dalam mengumpul hasil karya beliau dalam bentuk yang berbeza.

“Emas 999.9 tersebut berbentuk segi empat sama, seberat 5 gram dan mempunyai ukiran signatur Ujang. Ia sangat eksklusif sesuai untuk koleksi peribadi yang amat berharga,” ujarnya yang merupakan salah seorang peminat tegar majalah bermotto Majalah Lawak Antarabangsa itu.

Sementara itu, Ujang berkata, pihaknya melihat pelawaan tersebut sebagai satu langkah untuk membawa suatu kelainan dalam industri kartunis dan menganggapnya sebagai satu pencapaian.

“Saya melihat usaha ini adalah satu kerjasama yang baik dengan peminat sendiri dan ia menjadi satu penghargaan dalam hidup sebagai seorang kartunis. Malah, bulan ini merupakan genap 30 tahun saya bergelar kartunis, ia bukan satu perjalanan yang mudah.

“Hari ini menjadi detik bersejarah apabila signatur saya diabadikan pada koleksi emas terbaharu keluaran Nubex,” ujarnya yang turut melancarkan jualan terbaharu koleksi majalah kartun Kompilasi Komik Lubuk berkisarkan kaki pancing.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan koleksi tersebut yang berharga RM124.41 sekeping.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::