Pameran Seni Four Coners

Sesebuah lukisan itu pasti tidak menarik sekiranya tidak memasukkan elemen subjek yang ingin diketengahkan.

Subjek dalam konteks lukisan boleh terdiri daripada apa sahaja sama ada objek konkrit, haiwan dan manusia bergantung kepada kehendak pelukis.

Bagi pelukis muda, Farid Raihan Ahmad, dia memilih ahli keluarga sebagai subjek dalam empat buah karyanya sempena pameran seni Four Coners di galeri HOM Art Trans, Ampang, Selangor.

Four Coners merupakan sebuah pameran yang menggabungkan empat orang pensyarah dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Antara pelukis lain yang terlibat ialah Mohd. Farif Ab. Jalil, Mohd. Fazli Othman dan Mohd. Fuad Arif.

Dalam pameran tersebut, pelukis berusia 35 tahun itu mempertaruhkan karya Habitat Muhsin, Ipar Jadian, Terkenang Emily dan Perisa Baharu.

“Sempena pameran kali ini, saya membawa empat buah karya terbaharu yang dihasilkan sepanjang tahun ini.

“Keempat-empat karya saya ini mempamerkan subjek ahli keluarga terdekat yang dihasilkan menggunakan medium campuran dan arang,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Menariknya, setiap lukisan anak kelahiran Raub, Pahang itu mempunyai kisah-kisah tersendiri sebagai menghargai ahli keluarganya,

Jelas Farid, bagi lukisan Habitat Muhsin, dia cuba menggambarkan anaknya sedang tidur di atas sofa empuk.

Sementara itu, lukisan Perisa Baharu pula menggambarkan sebungkus coklat bar yang baru dikeluarkan daripada bungkusan.

Ujarnya, setiap kali memandu bersama keluarga, dia sering berhenti untuk mengisi minyak kereta di stesen minyak.

Sebelum membuat bayaran di kaunter, dia pasti membeli coklat bar untuk ahli keluarganya yang menunggu di dalam kereta.

“Coklat bar merupakan antara makanan ringan kegemaran kami sekeluarga terutamanya anak-anak.

“Setiap kali singgah di stesen minyak, saya pasti membelinya. Ia adalah simbol keakraban kami sekeluarga,” terangnya lagi.

Dalam pameran yang berlangsung sehingga 11 April ini, Farid turut mengetengahkan dua karya daripada medium arang iaitu Ipar Jadian dan Terkenang Emily.

Rapat

Lukisan tersebut memaparkan potret abang dan adik iparnya yang merupakan mereka yang paling rapat dengan Farid.

“Kedua-dua lukisan ini menggunakan medium arang. Walaupun arang sering digunakan ketika proses lakaran sesebuah lukisan, namun dalam dua karya ini, saya jadikannya ia sebagai kerja akhir,” ujar Farid lagi.

Bagaimanapun, dalam kesemua lukisan tersebut, pemegang Ijazah Sarjana Seni Halus dan Teknologi itu sengaja memasukkan kesan erase yang sering digunakan dalam proses suntingan imej menerusi Photoshop.

“Kita sering menggunakan erase ini untuk memperbaiki lukisan atau imej yang kita hasilkan menerusi perisian Photoshop.

“Dalam konteks lukisan ini, erase digambarkan sebagai usaha-usaha yang saya lakukan untuk memperbaiki hubungan dengan ahli keluarga,” katanya.

Mengulas mengenai harapannya sempena pameran kali ini, Farid berharap para penonton dapat menghargai semua hasil karyanya. Terangnya, jika kesemua lukisannya berjaya dijual dalam pameran tersebut, ia dianggap sebagai satu bonus.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::