Propeller Perkasa Prima Enterprise |
Tatkala melangkah ke kilang 'kecil' yang terletak di Kampung Dato' Abu Bakar Baginda, Dengkil, Selangor, kelihatan susuk tubuh lelaki bernama Mujib Ahmad Abd. Rashid, 50, begitu tekun melicinkan permukaan papan propeller yang cukup sinonim dengan pencinta sukan udara. Propeller merupakan sejenis kipas yang berfungsi menghantar kuasa tujahan dengan menukar gerakan putaran pada bahagian enjin untuk terbang.
Beliau yang lengkap memakai gogal, topeng muka dan kasut keselamatan cuba disapa berkali-kali namun tidak disahut kerana tenggelam dengan bunyi mesin perata. Siapa sangka kilang yang menjadi rumah keduanya itu bagi menghasilkan propeller atau bilah kipas berjaya menembusi pasaran luar negara.
Antara pelanggan setianya ialah Majlis Perbandaran Klang, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, universiti tempatan dan orang persendirian. Beliau merupakan Pengarah Perkasa Prima Enterprise.
Cukup membanggakan apabila produk anak desa itu mula mendapat tempahan dari cawangan sekolah penerbangan England di India. Kegigihan lelaki yang mesra disapa Mujib itu cukup mengagumkan sesiapa yang mengenali dirinya.
Tiada rotan, akar pun berguna menjadi prinsip hidup yang dipegang Mujib. Beberapa mesin utama yang terdapat di kilangnya dilakar, direka dan dicipta sendiri menggunakan bahan terbuang.
Minat
Antara mesin tersebut ialah mesin pembelah dan pemotong kayu, pemampat gam, pembuat propeller, alat pengimbang serta ketuhar atau pengering cat alas. Mesin-mesin berkenaan rekaannya sendiri kerana beliau menghadapi kekangan bajet untuk membeli mesin sebenar yang harganya sangat mahal.
Menurut Mujib, beliau tidak pernah mengikuti kelas formal dalam bidang penerbangan mahupun pembuatan propeller namun semuanya bertitik tolak daripada minat yang mendalam.
“Cabaran utama adalah untuk menghasilkan propeller yang benar-benar seimbang di sayap kanan dan kiri supaya mesin atau enjin pada paramotor atau bot udara tidak bergegar yang seterusnya boleh mengakibatkan kemalangan.
“Propeller ini diperbuat daripada kayu atas faktor keselamatan. Ini kerana, sifat propeller kayu yang lebih rendah risiko kemalangan membuatkan ia lebih baik digunakan berbanding propeller besi,” jelasnya.
Sebagai contoh, propeller kayu mungkin akan patah sekiranya ia menghentam permukaan tanah ketika proses pendaratan. Penggunaan propeller besi pula tidak diamalkan oleh juruterbang paramotor kerana ia lebih bahaya ekoran sifatnya yang tidak mudah dilentur atau kemungkinan besar juruterbang melantun sekiranya propeller terkena objek keras.
Jenis kayu yang digunakan Mujib untuk menghasilkan propeller ialah nyatoh, rengas dan kembang semangkuk. Bekalan kayu tempatan diperoleh daripada beberapa pembekal kayu di sekitar Bangi, Selangor manakala kayu import seperti mahogani dan birch dibeli di Kuala Lumpur.
Seunit propeller menggunakan beberapa lapisan kayu yang berbeza bagi memastikan ia ringan namun pada masa sama cukup kuat untuk memberikan daya tujahan yang sempurna kepada mesin.
Proses awal adalah membelah kayu dengan ukuran seragam dan mencantumkan papan tersebut menggunakan gam kayu sebelum dimampatkan selama beberapa jam.
Lapisan kayu yang telah dimampatkan akan dipotong bagi menghasilkan bilah kipas yang berbentuk aerofoil di bahagian atas dan permukaan rata di bahagian bawah. Selepas bentuk kasar propeller dihasilkan, keseimbangannya diukur menggunakan alat pengimbang.
“Propeller yang seimbang akan berada dalam keadaan melintang dan tidak bergerak langsung. Benda asing walaupun ringan seperti kertas yang diletakkan pada salah satu bilah kipas boleh menganggu keseimbangannya.
“Kebiasaannya, saya buat ujian keseimbangan pada waktu pagi kerana tiada gangguan angin,” ujarnya yang telah memiliki 20 jenis templat propeller berlainan saiz dan bentuk.
Selain itu, sudut pada permukaan propeller di sayap kiri dan kanan diseragamkan menggunakan jangka sudut agar ia 100 peratus seimbang. Seterusnya, propeller diratakan menggunakan kertas pasir, disembur cat alas dan dimasukkan ke dalam ketuhar bersuhu sekitar 40 Celsius selama setengah jam untuk mengeringkannya.
Diakui
Kualiti buatan Mujib yang setanding produk antarabangsa diakui Timbalan Presiden Paramotor Persekutuan Sukan Udara Malaysia, Rohaizi Md. Hussin yang kini menjadi pelanggan tetapnya.
“Sebelum ini, saya terpaksa import propeller dari luar negara kerana tidak terdapat propeller tempatan. Harga pada ketika itu sekitar RM1,400 hingga RM1,600 seunit.
“Pada tahun 2006, Mujib yang merupakan kenalan lama saya berjaya menghasilkan propeller sendiri yang dijual pada harga jauh lebih rendah. Ia cuma sekitar RM300 hingga RM700 seunit bergantung kepada saiz dan jenis,” katanya ketika ditemui di ruang pameran pengakap udara di Festival Belia Putrajaya baru-baru ini.
Setakat ini, Rohaizi sudah memiliki enam propeller buatan Mujib tidak termasuk satu yang diimport dari luar negara. Dia turut memiliki tiga mesin paramotor yang bernilai sekitar RM23,000 setiap satu.
Rohaizi yang mula aktif dalam arena sukan udara pada tahun 1998 memilih paramotor sebagai mod penerbangan yang paling digemarinya. Menurutnya, paramotor tidak begitu popular suatu masa dahulu kerana ia lebih kepada aktiviti rekreasi.
Kini, selepas banyak pendedahan mengenainya di internet dan media, semakin ramai yang berminat untuk mencuba sukan tersebut.
Kos bagi sekali sesi penerbangan ialah RM120 hingga RM150 bagi tempoh 15 minit.
Sumber: Kosmo! Online