MyTeksi - Aplikasi Menempah Teksi |
MyTeksi atau dikenali sebagai Grabtaxi antara aplikasi telefon pintar bagi menempah teksi popular yang terbesar di Asia Tenggara.
Baru-baru ini, syarikat terbabit mengumumkan meraih dana kira-kira RM46.5 juta bagi pembiayaan dana Series B.
Ia bermakna, pembiayaan terbabit membolehkan peluasan perniagaan syarikat teknologi maklumat (IT) tempatan yang berjaya membuka mata pemodal luar negara.
Pembiayaan dana ini diketuai GGV Capital, sebuah syarikat yang berpangkalan di Silicon Valley, Amerika Syarikat.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MyTeksi, Anthony Tan berkata, syarikatnya jelas gembira berada dalam portfolio GGV Capital yang turut bersama syarikat ternama lain seperti Alibaba, Square dan Flipboard.
“Selain itu, MyTeksi masih kekal berterima kasih kepada Vertex Venture yang terus menyokong dan yakin untuk menambah pelaburan.
“Pelaburan baru ini sekali gus membolehkan MyTeksi mencapai matlamat mengubah cara 600 juta penduduk di Asia Tenggara bergerak,” katanya.
Sehingga kini, aplikasi MyTeksi sudah dipindah turun di lebih 1.2 juta peranti di 15 bandar di Asia Tenggara.
Pada bulan lalu, ia mencatatkan peningkatan 38 peratus penggunaan teksi apabila pengguna boleh memindah turun aplikasi MyTeksi dalam telefon pintar dan tablet.
Selain GGV Capital, pelaburan terbabit turut disertai Qunar dan Vertex Venture Holdings yang sebelum ini menyertai siri pelaburan pada Series A yang lalu.
Serentak itu, Pengurus Bersama GGV Capital, Jixun Foo akan menyertai lembaga pengarah MyTeksi.
Pembiayaan dana baru ini akan menyokong perkembangan pesat MyTeksi di bandar utama Asia Tenggara dan meluaskan lagi pengaruhnya dengan program kesetiaan dan pengekalan pemandu.
MyTeksi beroperasi di Malaysia, Filipina, Thailand, Vietnam dan Singapura yang membantu pemandu teksi menggunakan teknologi telefon pintar untuk menjadikan teksi kenderaan lebih selamat dinaiki dan lebih efisien.
Lebih 20,000 pemandu teksi berdaftar dengan MyTeksi dan ia menganggarkan 50 peratus pemandu teksi aktif akan menyertai sistem MyTeksi menjelang akhir 2015.
MyTeksi juga baru saja melancarkan servis premium limosin yang dikenali sebagai GrabCar di Malaysia yang memberi lebih pilihan kepada pengguna dan kemudahan menempah melalui aplikasi MyTeksi yang sama.
Sumber: myMetro