Video Album - Mari Menyanyi Bersama Ummi

Percubaan berani penyanyi Nora Ariffin dan suaminya komposer Johan Nawawi menerbitkan program Ummi...Ceritalah Pada Kami yang dimulakan pada 2010 membuahkan hasil positif.

Mereka kini tersenyum bangga apabila program terbitan Hud Hud Media Sdn Bhd (HHMSB) ini diterima penonton terutama golongan kanak-kanak.

Program ini disiarkan menerusi TV3 bermula 2012 sepanjang Ramadan lalu dan mereka berjaya menghasilkan 12 muzik video nyanyian bersama.

Berikutan kejayaan itu, mereka melangkah setapak lagi apabila melancarkan produk terbaru video album Mari Menyanyi Bersama Ummi yang dilancarkan di Shah Alam Convention Centre (SACC) bersempena acara Malaysian Islamic Children Fair (MICF) pada 23 November lalu.

Menurut Nora, produk ini menampilkan kesinambungan daripada animasi popular terbitan sulungnya mereka, Ummi...Ceritalah Pada Kami yang menerima sambutan memberangsangkan daripada masyarakat.

“Ini satu lagi detik bersejarah buat HHMSB. Video album dalam format DVD ini menampilkan video muzik menarik yang dipetik daripada siri animasi ini bukan semata-mata untuk hiburan malah mengandungi sesi pengajaran dan pembelajaran untuk golongan sasaran iaitu ibu bapa dan kanak-kanak.

Masyarakat Malaysia dan antarabangsa dapat menerima konsep yang kami tonjolkan, iaitu belajar sambil berhibur. Perjuangan kami tidak akan berhenti di sini saja kerana kami akan terus menerbitkan isi kandungan yang lebih menarik dan bermanfaat serta lagu yang lebih menghiburkan,” katanya.

Selain watak Ummi, karakter lain yang ditampilkan dalam program ini, Aliff, Ustaz Syakir, Putri, Uncle Maideen, Atan, Hana, Aiman dan watak kucing bernama Jojo. Ia turut menampilkan tiga anak mereka iaitu Mohd Syakir Iman, Mohd Syakir Alif dan Putri Nur Dahlia yang menyumbangkan suara untuk watak Ustaz Syakir, Alidd dan Putri.

Johan pula yang baru pulang daripada menghadiri acara Mycontent di Dubai International Convention and Exhibition Centre pada 18 November berkata, penghasilan video album ini amat penting untuk meneruskan legasi Ummi...Ceritalah Pada Kami.

Kami percaya konsep belajar sambil berhibur paling mudah untuk kanak-kanak mendekati topik pembelajaran dan kami yakin video ini akan mendapat sambutan memberangsangkan sebagaimana produksi kami sebelum ini.

“Selain daripada strategi promosi, video album ini juga diterbitkan kerana mendapat permintaan yang tinggi daripada peminat khususnya kanak-kanak dan seisi keluarga yang menjadi peminat setia kepada siri ini dan juga peminat kumpulan Voices Of Ummi (VOU).

“Syukur Ummi...Ceritalah Pada Kami juga baru dilancarkan di Dubai dalam acara Mycontent dan akan dipasarkan di negara itu selepas ini,” katanya.

Johan ternyata gembira kerana usaha mereka memperkenalkan siri animasi berkonsep Islamik di pasaran antarabangsa membuahkan hasil apabila 25 negara antaranya dari Asia Barat dan Indonesia berminat membeli program ini. Mereka berterima kasih kepada Multimedia Development Corp (MDeC) kerana banyak membantu memperkenalkan siri Ummi kepada dunia luar ketika menghadiri Mycontent di Dubai.

Mereka juga akan membuat proses alih bahasa kepada bahasa Inggeris dan apabila siap sepenuhnya, barulah dipasarkan kepada negara luar. Malah, mereka juga merancang menerbitkan siri ini mengikut versi bahasa negara penyiar yang berminat.

Pelancaran video album Mari Menyanyi Bersama Ummi disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar. Turut memeriahkan acara ialah penampilan khas kumpulan Voices Of Ummi selama 20 minit selepas video ini dilancarkan.

Album video Mari Menyanyi Bersama Ummi mula dipasarkan di kedai muzik dan CD mulai Disember 2013 pada harga RM29.90. Buat masa ini, album video ini boleh dibeli melalui Hud Hud Shop.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::