Biskut Dinda Delights

Tangan lembut milik wanita bertudung kuning itu rancak menguli adunan tepung gandum, gula, mentega dan beberapa bahan lain sehingga sekata.

Usai diuli, jari-jemarinya mengambil sedikit demi sedikit bahan yang diuli untuk diterap di atas loyang sebelum dimasukkan ke dalam ketuhar dengan suhu 160 Celsius selama 20 minit.

“Bahan yang dimasukkan ke dalam adunan perlu seimbang supaya rasa dan tekstur yang terhasil terasa sedap bagai menari-nari di bawah lelangit,” terang usahawan biskut dan kek serta pemilik jenama Dinda Delights, Norliyana Harun ketika ditemui di premisnya yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Bau manis menerobos hidung ketika loyang pembakar biskut butterscotch cranberry dikeluarkan dari tempat pembakar.

Dalam suam-suam biskut disua ke mulut, ternyata ‘gosip’ pelanggan Dinda Delights tentang keenakan biskut tersebut bukan omong kosong.

Keseimbangan rasa lemak, masin dan manis serta tekstur yang lembut membuatkan sesiapapun terkesima menjamahnya.

Tidak hairanlah biskut tersebut mampu dijual sehingga 500 bekas sebulan pada hari-hari biasa.

Jelas Norliyana, biskut itu menjadi pilihan utama pelanggan-pelanggannya sama ada pada hari-hari biasa atau musim perayaan.

Menurutnya, dia mempelajari resipi membuat biskut butterscotch cranberry daripada seorang cef dalam satu kursus masakan.

Selepas itu, dia mula mengolah resipi yang dipelajari untuk disesuaikan mengikut rasa yang difikirkan sesuai untuk dijual.

“Dua tahun tempoh yang diambil untuk menghasilkan resipi biskut yang benar-benar serasi dan sesuai untuk dijual kepada para pelanggan.

“Untuk menghasilkan produk berasaskan makan, banyak percubaan perlu dilakukan supaya mendapat hasil yang terbaik.

“Cubaan-cubaan membuat biskut ada yang agak manis, terlalu lembut atau keras, namun sebagai pengusaha, saya tidak boleh mudah berputus asa,” ujarnya yang berpuas hati dengan hasil usahanya selama ini.

Menariknya mengenai Dinda Delights, perusahaan tersebut tidak bermusim malah tiga produk biskutnya sentiasa mendapat permintaan tanpa mengira waktu iaitu butterscotch cranberry, espresso dan almond oat.

Jelas isteri kepada Mohd. Yunus Ahmad Yusoff, 32, produk tersebut merupakan olahannya sendiri mengikut kesesuaian rasa dan permintaan pelanggan.

“Saya mengolah resipi dengan mengurangkan kandungan gula untuk memastikan ia sesuai dimakan oleh semua orang.

“Saya mahu menghasilkan biskut yang sihat untuk pelanggan,” katanya.

Idea

Bekas eksekutif akaun di sebuah syarikat swasta itu pada awalnya hanya memulakan perniagaan secara sambilan sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja enam tahun lalu berikutan minatnya yang mendalam terhadap bidang kek, pastri dan biskut.

Idea untuk menubuhkan premis Dinda Delights pula datang apabila seorang kenalan yang belajar membuat krim puff dengan wanita itu akhirnya membawa kepada penubuhan syarikat tersebut pada Disember 2013.

Secara kebetulan, rakan kongsinya itu, Norliza Mohd. Zain juga mengusahakan perniagaan berasaskan biskut dan kacang yang dijenamakan sebagai Lizzy’s.

Akhirnya, premis Dinda Delights ditubuhkan dengan menggabungkan dua jenama di bawah satu premis.

Graduan bidang perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu berkata, sepanjang tempoh mengusahakan perniagaan, dia sangat mementingkan kualiti produk di samping menjaga kepuasan pelanggan.

“Niat utama saya berniaga adalah untuk menghasilkan produk halal buat masyarakat Islam. Di samping halal, saya mahu produk yang dihasilkan menjadi bualan kerana keenakan rasa serta kualiti yang tinggi.

“Alhamdulillah, walaupun tidak datang secara mengejut, rezeki sentiasa ada,” katanya yang memperoleh pendapatan sehingga lima angka sebulan.

Tidak menolak persaingan daripada rakan-rakan peniaga lain, Norliyana yakin dengan mengekalkan kualiti, rasa produk dan jujur dalam perniagaan menjadi benteng untuk perniagaannya bersama rakan kongsi dapat terus bersaing dengan positif.

“Bahan-bahan yang diguna untuk menghasilkan biskut sangat penting. Hakikatnya, proses mencari bahan yang berkualiti menjadi cabaran yang terbesar berbanding proses menghasilkan biskut.

“Bahan yang berkualiti dapat menghasilkan produk yang bagus. Produk yang baik pasti respon pelanggan juga bagus,” ujarnya.

Respon

Berkongsi tentang kepuasan mengusahakan perniagaan, terang wanita kelahiran Teluk Intan, Perak itu, pada peringkat awal, dia berasa gusar tentang pendapatan dan kemampuannya untuk bersaing.

“Setahun demi setahun, walaupun ada masanya tidak konsisten saya menemui kepuasan yang sebenar apabila pelanggan memberikan respon yang baik malah mengulang tempahan.

“Menyediakan produk dengan sehabis baik dan berserta niat yang betul sudah menjanjikan kepuasan buat saya selain menerima tempahan yang semakin meningkat,” luah wanita itu.

Bermula dengan bekerja secara solo, Norliyana kini mempunyai lima orang staf yang membantunya di premis. Selain menjadi pengeluar biskut raya jenama sendiri, Dinda Delights juga turut memberi peluang kepada orang lain untuk menjadi ejen dan pengedar produk dengan pulangan keuntungan sehingga 25 peratus.

“Di samping itu, kami juga turut menjual biskut-biskut daripada vendor pada harga serendah RM10 manakala produk Dinda Delights pula berharga RM18 ke atas mengikut saiz dan kuantiti biskut,” kongsi Norliyana mengakhiri perbualan.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::