Produk Salutan Permukaan Buah EONature

Industri buah-buahan tempatan terutama jenis tropika banyak menggunakan salutan permukaan yang diimport dari luar negara bagi me­ngawal penyakit lepas tuai.

Ketiadaan formulasi dihasilkan penyelidik tempatan menyebabkan ramai pengusaha terpaksa bergantung sepenuhnya kepada produk salutan permukaan buah import.

Namun, salutan permukaan yang diimport dikatakan mengandungi kadar racun kulat yang tinggi.

Racun kulat seperti carbendazim dan thiabendazole dicampur dalam formulasi salutan permukaan bagi mengawal pe­nyakit lepas tuai terbabit.

Penggunaan bahan kimia separa telap terhadap gas untuk menyaluti permukaan buah-buahan boleh membantu membaiki ciri-ciri kosmetik dan mengurangkan proses transpirasi.

Bahan berkenaan turut mengawal kadar kemasukan oksigen dalam tisu sehingga boleh menurunkan kadar pengeluaran.

Salutan permukaan biasanya berasakan lipids, polisakarida dan protein.

Lipids mengandungi bahan wax (lilin), minyak dan asid sterik, polisakarida jenis selulosa, kanji, chitosan, dan protein casein serta corn zein.

Di luar negara pula, proses pelilinan buah digunakan secara meluas sejak beberapa lama pada buah limau dan epal bagi mencantikkan buah.

Pengguna­an formulasi racun kulat sebagai rawatan lepas tuai bagi keba­nyakan negara membang­kitkan kesedaran dalam kala­ngan pengguna.

Situasi itu meningkat­kan permintaan buah-­buahan tanpa rawatan kimia, malah penggunaan jenis racun kulat selepas tuai tidak dibenarkan di Eropah dan Amerika Syarikat terutama mem­babit­kan buah naga.

Memburukkan keadaan, ada negara menolak buah-buahan dari negara lain yang mempunyai sisa racun kulat pada buah bagi memasuki pasaran negara mereka.­

Atas kesedaran itu, pe­nyelidik MARDI menghasil­kan produk salutan permukaan buah EONature tanpa racun kulat.


Produk bernilai RM40,000 itu dibangunkan Pegawai Penyelidik Program Pengendalian Lepas Tuai Pusat Hortikultur MARDI Sintok, Nor Hanis Aifaa Yusoff.

Projek itu mendapat beberapa anugerah, antaranya pingat emas sempena Pameran Sains dan Teknologi MARDI (MSTE) 2012, Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2013 (ITEX 13) (perak) dan British Invention Show (BIS) di London (emas) Oktober lalu.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Hortikultur Universiti Pertanian Malaysia (UPM) itu berkata, buah-buahan adalah hasil tanaman yang cepat rosak selepas dituai.

“Buah mangga mempu­nyai jangka hayat pe­nyimpanan kira-kira tiga ming­gu pada suhu rendah 13 darjah Celsius,” katanya.

Justeru, pelbagai kaedah dan rawatan dilakukan bagi memanjang­kan tempoh simpanan buah-buahan, antaranya melalui salutan permukaan.

“Penggunaan bahan kimia separa telap terhadap gas untuk me­nyaluti permukaan buah-buahan membantu membaiki ciri-ciri kosmetik dan mengurangkan proses transpirasi.

“Bahan-bahan berkenaan turut mengawal kadar kemasukan oksigen dalam tisu,” katanya.

Menyentuh mengenai produk inovasi itu, Nor Hanis berkata, EONature adalah salutan permukaan dihasilkan daripada kombinasi minyak kelapa sawit serta minyak pati tumbuhan.

Produk itu berkesan sebagai agen antikulat bagi mengurangkan pe­nyakit lepas tuai, mengekalkan kesegaran serta memanjangkan jangka hayat pe­nyimpanan.

“Ujian dilakukan ke atas buah mangga mendapati jangka hayat mampu bertahan sehingga lima minggu pada suhu 13 darjah Celsius.

“Bagi buah naga, ia mampu bertahan sehing­ga empat minggu pada suhu 10 darjah Celsius,” kata­nya.

Selain bebas racun kulat dan dijamin selamat untuk pengguna, buah yang dirawat lebih segar dan berkilat.

Kadar kehilangan lepas tuai biasanya bermula di ladang sebelum buah berkenaan melalui proses pengumpulan, penyucian, rawatan sehinggalah proses membungkus.

“Itu proses biasa dilakukan di ladang dan buah akan direndam dalam larutan antikulat untuk mengawal penyakit dan selepas itu dibungkus untuk dieksport.

“Berbeza dengan produk kami. Selepas tuai, buah dibasuh dengan air dan disalut dengan EONature (kaedah semburan dan rendaman) dan dibung­kus,” katanya.

Produk itu sudah dipatenkan dan mempunyai formula Rahsia Perdaga­ngan, selain memberi kelebihan kepada pengedar serta pengeksport mendapatkan salutan permukaan buah lebih murah.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::