Minuman Cincau Fitrah Food

Fitrah Food Sdn Bhd dengan produk minuman cincaunya semakin menempa nama dan diterima pengguna. Namun, tidak ramai yang mengetahui cerita pada awal penubuhan syarikat Bumiputera itu.


Ia bermula dengan usaha dua beradik, Hasim dan Abdullah Mohd yang ingin memiliki perniagaan sendiri dengan bermodalkan RM100,000.

Hasim berpengalaman lebih 30 tahun dalam perusahaan minuman di sebuah syarikat terkemuka.

Pada peringkat permulaan mereka berdua berjimat sehinggalah syarikat itu didaftarkan pada Oktober 1999 dengan operasinya bertapak di Taman Industri Subang, Subang Jaya, Selangor.

Kini perniagaan itu memasuki fasa yang semakin maju dengan pengurusannya juga berpindah tangan kepada generasi kedua kerana kedua-dua pengasas produk berkenaan kembali ke rahmatullah beberapa tahun lalu.

Penerajunya kini adalah Zulqadri Akhrin Abdullah dan Rabiatul Adawiyah Hasim, selaku Pengarah Fitrah Food Manufacturing Sdn Bhd.

Di sebalik nama Fitrah terselit keinginan Allahyarham Hasim ketika itu yang mahu menjadikan pemprosesan cincau sebagai fardu kifayah. Niatnya mahu mengeluarkan produk halal untuk kegunaan umat Islam di negara ini, apatah lagi proses pembuatannya memenuhi syariat.

Zulqadri Akhirin berkata, Fitrah yang ditubuhkan 12 tahun lalu mengeluarkan minuman herba cincau me­nyihatkan. “Pernah berkhidmat dalam bidang perusahaan minuman menarik minat Allahyarham Hasim me­ngusahakan perniagaan berasaskan cincau.

“Seperti kita ketahui, cincau adalah minuman berkhasiat dibawa masuk pekerja lombong dari China untuk menyejukkan badan,” katanya. Cincau atau nama saintifiknya Mesona chinensis (cincau hitam) sejenis tumbuhan daripada tumbuhan keluarga mint.

“Pokok cincau (grass jelly) adalah sejenis tumbuhan renek yang hidup seperti pokok teh.

“Tumbuhan herba ini popular di tanam di kawasan sejuk di Guangzhou, China,” katanya.

Justeru, katanya, syarikat mendapatkan bahan mentah kering yang diimport dari negara berkenaan membabitkan 120 kotak sebulan.

“Memandangkan tumbuhan ini banyak terdapat di China dan kualitinya lebih baik, maka syarikat mendapatkan bekalan bahan mentah ini terus daripada pembekal tetap.

“Seluruh bahagian herba ini boleh dibuat minuman teh dan direbus untuk mendapatkan pati bagi menghasilkan minuman dan beku,” katanya.

Katanya, selain me­nyejukkan badan untuk individu deman panas, mi­numan herba berkenaan juga mempunyai kandungan antioksidan katanya, agensi kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti MARDI dan FAMA banyak membantu syarikat itu.

“Sebagai usahawan bimbingan MARDI sudah pasti banyak khidmat nasihat diperoleh, selain pembangunan produk, pembungkusan dan teknologi terkini.

“MARDI juga memberikan teknologi berkaitan ketahanan produk dan kursus berkaitan industri perusahaan minuman,” katanya.

FAMA juga banyak membantu dalam memasarkan produk itu kepada pengguna, selain turut memberi ruang pameran di seluruh negara manakala Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan geran pemadanan.

Syarikat itu kini me­ngeluarkan tiga jenis produk membabitkan cincau segar, rumpai laut dengan lemon dan cincau manis di bawah jenama Fitrah. Produk diedarkan di zon utara, selatan dan tengah itu bukan saja minuman herba tidak mengandungi bahan pengawet, tetapi juga bebas pewarna dan perasa tiruan.

Sebagai sebuah syarikat Bumiputera, syarikat sudah mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain dalam proses mendapatkan Amalan Pengilangan Baik (GMP). Semua kakitangan juga kalangan Muslim, sekali gus mengurangkan perasaan was-was dalam kalangan pengguna Islam.

Kini, syarikat itu mengeluarkan 16,000 botol sehari untuk botol bersaiz 500 liter dan 3,000 botol bagi bersaiz 1.5 liter. Dalam tempoh setahun setengah lagi, syarikat itu dijangka memulakan operasi di bangunan baru yang kini dalam proses pembinaan di Nilai, Negeri Sembilan.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::