Usahawan Puyuh Jerantut |
Jamaluddin Ali, 57, dari Kampung Baharu, Jerantut, Pahang bukan nama asing dalam industri ternakan burung puyuh di daerah itu.
Bapa lima anak itu mengusahakan ternakan puyuh sejak 20 tahun lalu di tanah miliknya seluas 0.8 hektar dan kini pengeluar anak puyuh terbesar di Pahang.
Dia mengusahakan anak puyuh melalui lima reban induk puyuh yang dibina di sekeliling rumah dan mampu mengeluarkan 120,000 anak puyuh sebulan.
Katanya, jumlah itu belum mencukupi kerana permintaan terhadap anak puyuh kira-kira 300,000 sebulan.
“Saya bukan saja membekalkan anak puyuh kepada pengusaha di Pahang tetapi Johor, Melaka dan Terengganu,” katanya.
Menurutnya, ketika awal pembabitan, dia bermula secara kecil-kecilan pada 1993 apabila dipilih sebagai peserta Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) daerah Jerantut.
“Ketika itu saya mendapat bantuan 500 anak puyuh dari pejabat daerah untuk diternak sebagai puyuh pedaging selepas berkursus selama seminggu di Institut Kemajuan Ternakan Ayam (IKTA) di Johor Bahru,” katanya.
Selepas itu, ternakan puyuhnya mendapat permintaan tinggi pelanggan dan berkembang maju.
Pada 1997, dia dikeluarkan daripada peserta PPRT kerana pendapatannya yang lumayan, malah mampu membesar dan memberikan pendidikan sempurna kepada lima anaknya itu hasil ternakan puyuh.
Katanya, kesukaran mendapatkan bekalan anak puyuh menyebabkan dia mengeluarkan anak puyuh sendiri.
Dia mempelajari dari beberapa usahawan puyuh lain.
“Akhirnya pada 2001, saya membuat pinjaman bank sebanyak RM30,000 untuk membeli sebuah mesin penetas telur terpakai dan mengeluarkan 20,000 anak puyuh sebulan untuk kegunaan sendiri.
“Namun, berikutan permintaan tinggi daripada pengusaha daging puyuh, saya hanya mengeluarkan anak puyuh dan tidak lagi menternak puyuh untuk daging,” katanya.
Dia kini mengusahakan projek ternakan itu bersama anak sulungnya, Mohammad Fahmi, 30, dan menubuhkan Syarikat Jafah.
Mohammad Fahmi yang mendapat latihan di IKTA mempunyai visi mengeluarkan baka puyuh dalam kadar lebih banyak bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.
Dua beranak itu memberanikan diri membeli sebuah mesin penetas terpakai buatan Belanda berharga RM200,000 yang mampu mengeluarkan 200,000 anak puyuh sebulan.
Katanya, melalui mesin penetas baru ini kadar penetasannya lebih tinggi iaitu 80 hingga 90 peratus.
Menurutnya, sebaik menetas, anak puyuh boleh dijual dengan harga 60 sen seekor.
“Dari segi pasaran, kami tidak ada sebarang masalah kerana ramai pengusaha ternakan daging puyuh memerlukan kira-kira 300,000 anak puyuh sebulan.
“Bagaimanapun, apa yang bimbangkan adalah kami tidak dapat menampung permintaan yang semakin tinggi kerana 5,000 induk sedia ada tidak mencukupi,” katanya.
Sumber: myMetro