Projek Markisa Tukiman Salam |
Keputusan mengubah ladang sawit kepada projek penanaman buah markisa di belakang rumah nyata mendatangkan pulangan lumayan kepada bekas pembantu makmal kanan Sekolah Menengah Dato’ Bentara Luar (SMKDBL), Batu Pahat, Johor.
Berkeluasan 0.5 hektar, ladang markisa yang diusahakan Tukiman Salam, 58, kini mampu mengeluarkan hasil kira-kira 200 kilogram (kg) seminggu.
Terletak di Kampung Padang Sari Jalan Simpang Lima, Parit Sulong, ladang berkenaan menjadi mata pencarian tambahan kepada Tukiman selepas bersara.
Dia juga beruntung kerana Kelab Yok Ngomong Jowo! yang disertai menerusi laman sosial Facebook dapat memasarkan bahan mentah berkhasiat itu kepada pelanggan.
Kandungan buah markisa yang kaya pelbagai khasiat termasuk vitamin C, selain dapat menyejukkan badan dan melangsingkan tubuh diterima baik pengguna tempatan.
Kesannya terhadap kesihatan membolehkan pasaran buah berkenaan sentiasa ada, sekali gus meningkatkan harganya untuk dijual dalam bentuk biji atau isi.
Mengulas mengenai pembabitannya dalam sektor pertanian, Tukiman mengakui minat mendalam dalam dunia pertanian mendorong dirinya mengusahakan tanaman markisa.
“Kebetulan saya dilahirkan dalam keluarga petani dan jiwa itu masih kekal hingga kini.
“Pantang ada kawasan tanah terbiar atau ada masa lapang, saya pasti mencari jalan untuk mengusahakan pelbagai projek pertanian,” katanya.
Pendapatannya yang sekadar mampu menampung keperluan keluarga ketika itu turut mempengaruhi dirinya mengusahakan projek pertanian.
“Masa yang terluang banyak dihabiskan di ladang. Taraf hidup yang semakin meningkat, selain terpaksa menampung kos pembelajaran anak ketika itu memaksa saya mencari pendapatan lebih.
“Mahu ataupun tidak, saya perlu mencari rezeki lebih untuk membesarkan anak dan menampung pembelajaran mereka dengan bekerja sambilan pada malam hari,” katanya yang mempunyai enam anak.
Sepanjang 35 tahun berkhidmat sebagai kakitangan awam, Tukiman berhasil menyekolahkan semua anaknya ke menara gading hingga berjaya mendapat pekerjaan baik.
Hasil pelbagai projek pertanian termasuk sayuran dan mengusahakan ladang sawit, tiga anaknya kini bergelar doktor, seorang jurutera dan seorang lagi pensyarah.
Pada mulanya benih markisa diperoleh daripada adik ipar yang menetap di FELDA Lok Heng, Kota Tinggi.
“Kini, saya mampu menghasilkan anak pokok menggunakan kemahiran yang ada,” katanya.
Menurutnya, buah markisa mempunyai potensi besar untuk dipasarkan.
“Bayangkan selepas setahun diusahakan, buah berkenaan dapat dipasarkan dengan baik.
“Saya menggunakan teknik pengairan secara fertigasi untuk memastikan markisa berbuah dengan baik,” katanya.
Dia kini mengupah pekerja tempatan untuk membantunya di ladang.
“Penjagaan pokok ini sangat mudah, namun pengusahanya perlu ada ilmu.
“Apa yang penting teknik cantas perlu dilakukan kepada dahan tidak diperlukan supaya hasilnya bertambah berkali ganda,” katanya.
Selain pengairan baik, tanaman ini juga memerlukan pembajaan sempurna dan semburan baja, manakala cabang tunggal diperlukan untuk ia menjalar pada junjung.
Sumber: myMetro