Karavan Kopi Manan |
Mengimbau pembabitannya dalam dunia perniagaan, anak muda ini mempunyai pemikiran konservatif.
Dia langsung tidak peka keadaan sekeliling termasuk fungsi setiap agensi diwujudkan kerajaan.
Baginya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sebuah agensi yang membekalkan baja dan tidak mampu membantu usahawan baru sepertinya.
Firasatnya meleset kerana agensi berkenaan menjadi tulang belakang di sebalik kejayaan ramai usahawan tani.
Bukan saja berperanan memasarkan produk pertanian, malah FAMA membantu ramai usahawan mendapatkan peluang kemahiran.
Buktinya, bermula dengan produk kopi kesihatan, Syarikat AMS JUTAWAN Sdn Bhd yang dinaungi Pengarahnya, Nurul Fatehah Abd Manan meluaskan produk kopinya.
Suntikan modal RM10,000 sumbangan ayahnya Abd Manan Sulaiman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, membolehkan Nurul Fatehah pergi jauh.
Produk KopieSatu yang dihasilkan FAMA menjadi sumber rezeki kepada anak muda itu, sekali gus mengeluarkan produk jenamanya sendiri, Kopi Manan Memang ‘Holiao’.
Kemahiran FAMA menghasilkan pelbagai jenis kopi membolehkan Nurul Fatehah mengukuhkan pasarannya.
Malah, sejak sebulan lalu, dia baru mewujudkan perniagaan karavan dengan fokus perniagaan di sekitar Bandar Baru Bangi dan Putrajaya.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berkata, dia bertuah kerana hasil didikan FAMA membolehkan dirinya terbabit dalam industri minuman ringan menguntungkan.
Dia juga sudah memiliki 20 resipi minuman seperti ais kisar (ice blended) pelbagai perisa seperti karamel, coklat, mocha, vanila, latte dan madu latte.
“Antara minuman paling mendapat jualan tertinggi adalah coklat dan ice blended karamel,” katanya.
Mengenai idea mewujudkan perniagaan kopi karavan katanya, ia bertitik tolak dengan budaya masyarakat kini yang gemarkan minuman kopi.
“Ketika ini perniagaan kopi karavan sangat popular di sekitar Damansara dan kebanyakan usahawan datang dengan produk berjenama sendiri.
“Konsep ‘walk-in’ dan ‘bawa pulang’ minuman di karavan menjadi budaya masyarakat bandar,” katanya.
Katanya, bahan mentah kopi Arabika diperoleh FAMA daripada Indonesia.
“Kopi ini sangat istimewa pertamanya daripada aspek pemprosesan biji itu sendiri, kualiti, rasanya enak dan wangi.
“Malah, rasanya yang pahit membolehkan usahawan seperti kami meletakkan bahan mentah itu mengikut cita rasa pengguna,” katanya.
Perancangan masa depan katanya, syarikat itu bercadang mewujudkan rangkaian francaisi.
“Saya tidak tahu ia adalah satu kelebihan atau tidak kepada syarikat kerana berhasrat mempunyai jenama yang ‘eco-friendly’.
“Kalau boleh saya mahu menggunakan bahan hijau dan kitar semula untuk mengurangkan penggunaan plastik.
“Jika projek itu menjadi, saya akan memberikan diskaun kepada pelanggan yang menggunakan bekas air mesra alam sekitar,” katanya.
Selain FAMA, MARA juga menyediakan peluang pameran, manakala SME Bank menyediakan peluang pembiayaan perniagaan.
Katanya, industri minuman kopi karavan sangat menguntungkan, malah mampu menjana pendapatan berlipat kali ganda.
Sumber: myMetro