Ternakan Udang Putih Sungai Miang |
Jati diri nelayan yang menebal menjadi penguat kepada Mazri Mohd Ali, 43, melangkah ke hadapan dengan menceburi projek ternakan udang putih di tanah seluas kira-kira 20 hektar di Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sungai Miang, Pekan, Pahang.
Selepas lebih 10 tahun terbabit dengan projek itu, Mazri kini berbangga mampu menjana pendapatan lumayan sepanjang tahun
Perkongsian modal bersama rakannya, All Fisha Abdul Ghafar, 46, kini mereka menuai hasil daripada lapan kolam udang putih.
Mazri berkata, menternak udang putih lebih mudah berbanding ikan siakap, tilapia dan patin.
“Ini kerana dalam tempoh 70 hingga 120 hari dan bergantung kepada saiz permintaan, ternakan boleh dijual kepada pemborong,” katanya.
Katanya, jenis makanan, kandungan oksigen dan peratusan masin air dalam kolam menjadi penentu utama kejayaan projek itu.
“Sebelum ini saya menternak udang harimau, tetapi hanya mampu bertahan beberapa pusingan saja berikutan ancaman penyakit selain peratus pembesaran yang lebih panjang menyebabkan kos bertambah dua hingga tiga kali ganda berbanding udang putih.
“Selepas berfikir panjang saya memutuskan untuk memberi sepenuh tumpuan kepada ternakan udang putih yang lebih mudah dan selamat selain memberi pulangan menguntungkan,” katanya.
Dia juga tidak perlu memikirkan soal pasaran kerana permintaan udang putih di negara ini sepanjang tahun selain dihantar ke Singapura.
Dia yang pernah menjadi nelayan di Kampung Nenasi, Pekan berkata, saiz kolam antara 0.4 hingga 0.7 hektar boleh memuatkan sehingga sejuta udang putih.
Katanya, setiap kolam dapat menghasilkan antara tiga hingga empat tan metrik udang putih dan dijual pada harga antara RM22 hingga RM40 sekilogram.
“Udang putih yang diternak dalam kolam air masin sepenuhnya sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada penggemar makanan laut,” katanya.
Menurutnya, untuk menguruskan kolam terbabit, dia mengupah lima pekerja.
“Mereka ditugaskan untuk memberi makan kepada udang putih sebanyak dua kali sehari selain mengambil ukuran kadar kemasinan, oksigen dan nilai keasidan air (pH).
Katanya, sokongan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Jabatan Perikanan Negeri Pahang melancarkan lagi projek itu dan menjadikan daerah ini pengeluar utama produk akuakultur.
Mazri berkata, setiap projek pasti ada risiko, malah ternakan udang putih juga tidak terlepas daripada ancaman penyakit.
“Sejarah hitam wabak penyakit berlaku selama tiga tahun iaitu 2011 hingga 2013 menyebabkan banyak udang yang sedia dijual mati.
“Saya kerugian lebih RM200,000 apabila tiga kolam diserang penyakit terbabit.
“Untuk memastikan wabak penyakit tidak terus berulang, beberapa langkah pencegahan diambil seperti membiarkan kolam kering dalam tempoh tiga hingga lima minggu selain menabur kapur sebelum air dimasukkan benih.
“Untuk mendapatkan air bersih dan kadar masin yang tinggi, proses menakung air laut ke kolam simpanan dilakukan ketika air pasang besar,” katanya.
Setiap tiga hingga empat tahun sekali kolam perlu diperbaiki dengan mendalamkannya selain membina tebing bagi memastikan tidak berlaku tanah runtuh terutama setiap kali musim tengkujuh.
Mazri berkata, perasaan puas dan bangga hanya akan hadir apabila udang putih dalam kolam dituai, malah penat lelah selama ini seolah-olah hilang.
“Keuntungan diraih dapat menampung keluarga selain menyelesaikan bayaran bank.
“Walaupun terpaksa mengeluarkan modal besar sebelum memulakan projek, keuntungan diperoleh membantu menyelesaikan semua masalah dihadapi,” katanya.
Sumber: myMetro