Celebrity Katz Boutique |
Memasang cita-cita untuk memiliki perniagaan sendiri membuatkan Mohamad Alfian Nordin, 28, berusaha tanpa mengenal berputus asa.
Dia sanggup melakukan beberapa pekerjaan sampingan dalam satu masa untuk mendapatkan modal bagi membina kedai sendiri.
Berkat doa, kesabaran, sokongan isteri dan ahli keluarga impian tersebut berjaya direalisasikan dengan tertubuhnya kedai, Celebrity Katz Boutique.
“Saya mula menjinakkan diri dalam perniagaan kucing import ketika membantu ibu saudara, dua tahun lepas. Selepas beberapa kali terlibat dalam urusan perniagaan kucing telah mencetuskan keinginan untuk menjalankan perniagaan ini secara serius.
“Pada peringkat awal, saya hanya menjual kucing import secara kecil-kecilan dan duit hasil jualan saya kumpul bersama duit simpanan yang lain untuk mendapatkan modal membuka kedai ini,” katanya yang telah mendirikan rumah tangga selama satu tahun.
Katanya, sebelum membuka kedai tersebut, dia dan isteri membuat tinjauan di beberapa kedai haiwan bagi mendapat inspirasi serta mencipta keunikan tersendiri.
Maka, mereka memilih konsep santai yang mengutamakan keselesaan kepada pelanggan.
“Kedai ini berlainan daripada tempat lain kerana pelanggan boleh duduk bersantai sambil bermain dengan kucing-kucing import bagi merasai sendiri pengalaman bermain dengan si comel itu serta berkongsi pandangan mereka mengenai jenis kucing yang ingin dibeli.
“Ia seolah-olah mini zoo dan ramai pelanggan teruja dengan konsep yang diketengahkan kerana di kedai haiwan lain mereka hanya pergi membeli dan terus balik malah haiwan itu turut dikurung di dalam sangkar kecil sehingga membataskan pergerakannya,” jelas anak sulung daripada lima beradik.
Celebrity Katz Boutique menawarkan kucing import premium terbaik dari seluruh negara seperti Rusia, Ukraine, Republik Czech dan Belarus. Demi mendapatkan baka kucing yang bermutu tinggi, dia sanggup pergi ke luar negara.
Antara jenis kucing yang dijual di Celebrity Katz Boutique ialah seperti British Short Hair, Scottish Fold, Maine Coon dan Exotic.
Ceritanya, pada peringkat awal banyak rintangan yang perlu dihadapi seperti ditipu oleh kontraktor sehinggakan kedainya terbengkalai selama enam bulan sedangkan bayaran penuh sudah dijelaskan.
Disebabkan itu, dia menggantikan kontraktor lain dan terpaksa mengeluarkan wang tambahan.
Selain itu, dia juga mengalami kesukaran komunikasi di negara-negara yang tidak mahir bertutur dalam bahasa Inggeris.
Ekoran itu, dia terpaksa menggunakan orang tengah untuk memudahkan urusan tersebut selain menggunakan e-mel dan Facebook sebagai medium komunikasi.
Begitupun, ia tidak menghalang minatnya untuk menjalankan perniagaan malah menganggapnya sebagai perkara yang perlu dilalui sebagai pendatang baharu dalam dunia keusahawanan.
Sijil
Akuinya, pengalaman selama dua tahun dalam perniagaan menjual kucing import sangat membantunya dalam urusan pembelian kucing dari luar negara malah meluaskan jaringan perhubungan dengan peminat-peminat kucing sehingga menjadi pelanggan tetapnya kini.
Bagi mengelakkan sebarang penipuan ketika berurusan di luar negara, Mohamad Alfian akan menyemak maklumat kucing yang ingin dibeli di laman web badan pendaftaran kucing antarabangsa seperti The International Cat Association dan World Cat Faderation bagi memastikan maklumat yang diberikan oleh penjual adalah betul.
“Kucing yang dibeli di luar negara dilengkapi dengan sijil yang merekodkan secara terperinci mengenai haiwan itu seperti keturunannya dan nama pemilik asal. Selain itu, haiwan tersebut juga turut memiliki passport yang merekod kesihatannya.
“Sehubungan itu, kucing yang mempunyai sijil lebih mahal berbanding yang tidak mempunyai dokumen itu kerana ia sebagai bukti dan memberikan kepuasan kepada pelanggan yang telah membelanjakan ribuan ringgit untuk memilikinya,” kata pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Johor Bahru, Johor.
Menurut Mohamad Alfian, harga kucing yang dijual di kedainya bermula dari RM3,000 sehingga belasan ribu.
Kucing-kucing tersebut dilengkapi sijil dan pasport malah haiwan itu juga dimasukkan sekeping cip pengenalan diri bagi memudahkan ia dikenal pasti sekiranya berlaku kehilangan.
Tambah pemuda yang berasal dari Johor Bahru itu, untuk mengimport kucing perlu mematuhi beberapa peraturan seperti memiliki permit.
Jelasnya, kucing tersebut juga akan dikuarantin selama seminggu untuk dipantau oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia bagi memastikan haiwan itu bebas daripada wabak penyakit.
Hotel kucing
Antara perkhidmatan yang disediakan di kedainya ialah menjual kucing import, hotel kucing, menghias kucing, menjual makanan, mainan dan pelbagai kelengkapan kucing.
Bagi memasukkan kucing di hotel itu, Mohamad Alfian telah menetapkan beberapa syarat seperti kucing perlu disuntik vaksin dan bebas kutu.
Ia bagi memastikan kucing-kucing lain tidak dijangkiti sebarang penyakit ketika menginap di situ.
Harga yang ditawarkan ialah RM20 dan 30 pada hari cuti umum. Manakala, RM16 dan RM20 hari biasa bergantung pada jenis bilik
Sementara itu, Nurul Azmira Kamarudin, 26, berkata, pada mulanya dia tidak bersetuju dengan cadangan suaminya untuk menjalankan perniagaan kucing.
Ini kerana, katanya, dia sangat takut dengan haiwan itu.
“Sejak kecil lagi saya sangat takut dengan kucing tetapi dek kerana suami amat menyukai kucing saya cuba membiasakan diri sehingga timbul rasa sayang terhadap haiwan itu.
“Begitupun, pada peringkat awal, saya alah dengan kucing hingga dimasukkan ke dalam wad selama empat hari kerana badan gatal-gatal, kulit lebam dan kemerahan,” kata Pegawai Eksekutif Syarikat Prasarana Malaysia Berhad.
Walaupun pelbagai halangan yang perlu ditempuhi, Nurul Azmira tetap teguh memberi sokongan kepada suaminya dan turut membantu menguruskan perniagaan kucing itu walaupun terpaksa mengambil ubat setiap hari.
Menurutnya, dia bersyukur kerana penyakit alahannya telah hilang dan kini boleh menyentuh kucing tanpa rasa bimbang.
Dalam pada itu, seorang pelanggan Celebrity Katz Boutique, Dewi Murni Zainal, 28, berkata, dia sangat suka dengan konsep kedai tersebut kerana ia memberi keselesaan kepada dirinya.
Menurutnya, dia juga boleh duduk bersantai sambil membelai kucing-kucing import yang ada di situ.
“Pada awalnya, saya datang ke kedai itu untuk membeli makanan kucing tetapi tertarik dengan kucing-kucing yang dipamerkan serta perkhidmatan yang sangat baik lalu membuat keputusan membeli dua ekor iaitu British Short Hair dengan harga RM4,000 dan Scottish Fold RM4,500.
“Walaupun harga kucing-kucing import tersebut agak mahal tetapi saya sebagai pencinta kucing sangat berpuas hati memilikinya kerana haiwan itu sangat comel malah turut dilengkapi sijil dan pasport,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Sumber: Kosmo! Online