Program Perkongsian Kereta Elektrik Pertama Malaysia

Demi menjimatkan bahan api kenderaan dan menjaga persekitaran daripada pencemaran udara, sebilangan masyarakat di seluruh dunia termasuk di negara ini memilih untuk menggunakan kereta cekap tenaga, hibrid dan kurang pembebasan karbon.

Kecenderungan Zuhril Azhar Ibrahim, 39, menggunakan kenderaan berteknologi masa hadapan seperti itu menjadi pendorong kepadanya untuk mencuba perkhidmatan perkongsian kereta elektrik yang disediakan oleh CMS Consortium Ecotour Sdn. Bhd. (CMS) sejak ia mula diperkenalkan kepada umum.

Jurutera Sistem Telekomunikasi di sebuah syarikat swasta tersebut mengakui begitu teruja apabila mendapat tahu kewujudan perkhidmatan seumpama itu di Malaysia.

Ia merupakan perkhidmatan perkongsian atau sewaan kereta elektrik yang pertama di negara ini.

"Pada pandangan saya, perkhidmatan perkongsian kereta elektrik ini sangat unik kerana selain memberi peluang orang awam memandu sendiri kenderaan tersebut, malah mampu membantu mengurangkan kadar pembebasan karbon daripada asap kenderaan.

"Saya mula menggunakan perkhidmatan ini sejak diperkenalkan dua bulan lalu. Saya dapati ia sangat berguna kepada orang awam yang ingin menjimatkan penggunaan petrol di samping menjaga persekitaran daripada pencemaran udara," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Perkongsian Kereta Elektrik Pertama Malaysia.

Kepuasan memandu

Walaupun mempunyai kenderaan sendiri, Zuhril Azhar tetap menggunakan perkhidmatan tersebut atau dikenali juga sebagai Cohesive Mobility Solution (Comos) kerana ingin merasai sendiri kepuasan memandu kereta elektrik.

Di samping itu, ia tanda sokongannya terhadap usaha CMS untuk mewujudkan ekosistem pemanduan yang mesra alam.

Tutur Zuhril Azhar, dia yang bekerja di Shah Alam, Selangor kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur bagi menghadiri mesyuarat dan mengambil kesempatan itu untuk menggunakan perkhidmatan tersebut dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, Selangor ke ibu negara.

"Kebiasaannya, sekali atau dua kali seminggu saya akan menghadiri mesyuarat di Kuala Lumpur. Saya akan memandu kereta sendiri dari pejabat di Shah Alam untuk ke Stesen LRT Kelana Jaya dan kemudian mengambil kereta Comos di situ untuk ke Kuala Lumpur.

"Saya suka menggunakan perkhidmatan ini kerana tidak perlu risau mengenai tempat letak kereta kerana ia sudah disediakan khas untuk kereta Comos. Dalam masa sama, kita tidak perlu membayar kos meletak kenderaan serta minyak petrol berbanding dengan menggunakan khidmat kereta sewa biasa yang perlu mengeluarkan duit sendiri untuk kedua-dua perkara tersebut.

"Selain itu, jika kenderaan elektrik itu perlu dicas semula, kita pergi sahaja ke mana-mana stesen Comos yang dilengkapi pengecas tanpa dikenakan sebarang bayaran," jelasnya.

Dalam pada itu, Zuhril Azhar memberitahu, penempahan kereta ini begitu mudah iaitu pengguna hanya perlu mendaftar masuk di laman web Comos dan mengambil kenderaan di mana-mana stesen yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif CMS, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, objektif utama perkhidmatan alternatif kepada pengangkutan awam itu adalah mewujudkan perhubungan pintar dan penyelesaian mobiliti antara masyarakat di samping menggalakkan persekitaran hijau.

Jelas beliau, ia adalah selaras dengan agenda semasa kerajaan untuk menggalakkan orang ramai mengurangkan penggunaan bahan bakar yang berlebihan serta menurunkan kadar pembebasan gas karbon dioksida di udara bagi mewujudkan persekitaran lestari.

Inisiatif

Menurut Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, kadar pembebasan karbon dioksida pada tahun 2011 yang disumbangkan oleh pengangkutan darat adalah sebanyak 38 juta tan.

Inisiatif seperti Hala Tuju Infrastruktur Kenderaan Elektrik dibuat dengan sasaran untuk mengurangkan jumlah tersebut sehingga 40 peratus menjelang 2020.

"Comos menawarkan perkhidmatan e-mobiliti yang komprehensif merangkumi pelbagai aspek dalam ekosistem dan rangkaian nilai seperti pengguna kereta elektrik, perkhidmatan pengecas, pengendali kenderaan elektrik, pengurusan tempat letak kereta dan pengendali rangkaian telekomunikasi.

"Comos juga menyokong inisiatif kerajaan dalam mewujudkan khalayak am yang menggunakan kenderaan elektrik seperti yang terkandung dalam Polisi Automotif Kebangsaan (NAP) yang dikelola oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"NAP 2014 menyasarkan Malaysia sebagai hab automotif serantau dalam penggunaan kenderaan cekap tenaga (EEV) sekali gus meningkatkan aktiviti nilai tambah dan sentiasa membangunkan kemampuan domestik," katanya.

Di samping itu, Syed Zainal Abidin memberitahu, Comos akan terus mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang awam yang menjurus kepada penerimaan dan penghargaan lebih baik terhadap kenderaan elektrik.

Justeru, perkara itu secara tidak langsung akan membantu mewujudkan ekosistem yang boleh menggalakkan pembekal atau pengeluar kenderaan elektrik untuk membawa teknologi tersebut ke dalam negara ini sekali gus membantu memacu pembangunan industri kenderaan elektrik tempatan.

"Inisiatif ini adalah satu permulaan kepada langkah yang lebih besar dalam pembangunan teknologi kereta elektrik atau cekap tenaga di negara ini," ujarnya.

Setakat ini, bilangan kereta elektrik untuk kegunaan program perkongsian kereta elektrik yang bermula di Lembah Klang itu ialah 10 buah. Ia akan ditambah dari semasa ke semasa sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan tersebut.

Model kereta yang digunakan dalam program perkongsian kereta tersebut untuk peringkat awal ialah Renault Zoe.

Pihak CMS amat mengalu-alukan penglibatan pengeluar atau pengedar kereta elektrik untuk turut serta dalam inisiatif hijau itu.

Keahlian

Jumlah stesen pengambilan dan pemulangan kereta Comos sehingga kini terdapat di 10 lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang meliputi kawasan seperti Stesen LRT Bangsar, Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Sultan Yahya Petra, Lorong P. Ramlee, Stesen Monorail Medan Tuanku dan Stesen Petronas Solaris Serdang.

Stesen pengambilan dan pemulangan tersebut akan terus dikembangkan ke beberapa negeri lain seluruh Malaysia seperti Melaka, Johor dan Pulau Pinang dalam masa terdekat.

Orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan tersebut perlu mendaftar sebagai ahli Comos bagi mendapatkan kad keahlian dengan tiga jenis yuran iaitu RM300 untuk setahun, RM50 (bulanan) dan RM25 (mingguan).

Bagaimanapun, orang ramai boleh menikmati promosi pengenalan sempena pelancaran perkhidmatan tersebut iaitu sebanyak RM50 bagi yuran kategori tahunan.

Penggunaan kereta elektrik tersebut pula akan dikenakan bayaran RM32 sejam. Sehingga penghujung Ogos depan, pengguna boleh menikmati promosi pada kadar RM24 sejam.

Selain program perkongsian kereta elektrik, CMS turut membekalkan beberapa buah kenderaan elektrik kepada beberapa entiti seperti Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar, Perbadanan Putrajaya dan Agensi Kerajaan Melaka di bawah Pakej Penjenamaan dan Penyewaan Korporat Comos.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::