Tudung Sugarscarf dan Shawlbyvsnow |
Walaupun mereka bersaudara, kedua-duanya memiliki perwatakan berbeza. Kakak, Nur Atiqah Sulaiman, 29, nampak sedikit pemalu berbanding adik Nur Amirah Sulaiman, 23, yang kelihatan lebih lincah dan bersahaja.
Jika direnung, wajah dua beradik ini seakan-akan langsung tiada persamaan begitu juga bentuk tubuh dan penampilan. Apa yang membuatkan mereka sama adalah pada kelembutan ketika berbicara serta ketaasuban kepada fesyen dan gaya.
“Kami memang memiliki wajah berbeza. Bentuk wajah kakak sedikit bulat manakala saya bujur. Sebab itu jika jalan bersama, ramai tidak menyangka kami dua beradik,” ujar Nur Atiqah memulakan bicara.
Berdarah kacukan Melayu dan Arab daripada datuk yang menetap di sana, mereka memiliki pesona aura tersendiri. Tidak hairan ketika mula membuka butik alam maya, Nur Atiqah yang mesra disapa Eyqa menjadi model keluaran tudungnya sendiri begitu juga Nur Amirah apabila turut berpeluang memperagakan helaian terbaru kakaknya.
Jika dilihat mereka bukan saja cantik bergaya dan bijak malah memiliki kesungguhan yang tinggi dalam perniagaan. Memiliki ijazah dalam bidang berlainan, Eyqa dengan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat daripada Universiti Multimedia manakala Nur Amirah masih menuntut dalam jurusan perubatan di Kolej Universiti Taylor, namun haluan dan matlamat mereka tetap sama - ingin memperluaskan empayar tudung di Malaysia dan luar negara.
Melihat kesungguhan dua beradik dalam membina jenama sendiri sememangnya menuntut banyak pengorbanan. Eyqa pemilik jenama SugarScarf yang mula menjalankan perniagaan menerusi dalam talian kini mampu tersenyum bangga kerana memiliki tiga butik sendiri yang terletak di Shah Alam, Wangsa Melawati dan Johor Bahru. Nur Amirah pula sedang mengorak langkah dalam bidang sama apabila memperkenalkan jenama tudung Shawlbyvsnow sejak 2010 lalu.
Eyqa perkenalkan Sugarscarf
Sebagai pelajar jurusan teknologi maklumat sudah tentu komputer dan Internet menjadi teman setia Eyqa ketika itu. Walaupun perniagaan alam maya masih belum berkembang, dia mempunyai komuniti yang menjalankan perniagaan menerusi dalam talian.
Oleh kerana sudah biasa berdikari sejak kecil, dia terfikir apa yang boleh dilakukan untuk mencari wang tambahan. Tidak sangka idea menjual tudung di alam maya membuahkan hasil yang sangat hebat. Manakan tidak, setiap hari tudung yang dibeli di Jalan Tunku Abdul Rahman habis dijual sehinggakan dia terpaksa menambah stok.
Seronok dengan apa yang dilalui kerana mampu memperoleh pulangan lumayan menyebabkan anak sulung dua beradik ini memilih menjual tudung dari bilik ke bilik.
“Saya tidak sangka setiap kali membawa puluhan tudung dalam masa beberapa jam, tudung saya habis dijual. Begitu juga kedai alam maya yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan. Ini menyebabkan saya bersemangat mencari rekaan terbaru setiap hari.
“Malangnya ketika itu tudung rekaan masih belum banyak di pasaran, yang ada kebanyakan diambil dari Indonesia. Ini menyebabkan saya terfikir mengapa tidak hasilkan rekaan sendiri yang lebih versatil dan sesuai untuk wanita Malaysia,” ujarnya.
Sebaik saja menamatkan pengajian, Eyqa terus menetapkan matlamat ingin meneruskan perniagaan dalam talian dan bukan makan gaji. Walaupun ibu kurang bersetuju dengan keputusannya kerana bimbang pendapatan yang tidak menentu, sifat degil dan ‘keras kepala’ membuatkan Eyqa terus memasarkan tudung Sugarscarf.
Tidak mahu berada di takuk lama, usahawan muda ini terus merealisasikan impian dengan membuka butik pertama di Shah Alam.
Jelasnya, berubah daripada online kepada offline bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak aspek perlu diberi perhatian dan perancangan teliti. Berbekalkan modal sendiri hasil keuntungan perniagaan dalam talian, akhirnya dia dan suami berjaya membeli sebuah premis di Shah Alam yang pada mulanya hanya untuk dijadikan bilik pameran dan pejabat.
“Mengikut perancangan asal, motif utama pembelian premis ini hanya untuk bilik pameran dan pejabat tetapi ramai pula pelanggan yang datang untuk membeli tudung,” katanya yang menjalankan perniagaan bersama rakan kongsi, Muhammad Zulkarnaen Mohd Ali yang kini secara rasmi menjadi teman hidupnya.
Nur Amirah belajar guna duit sendiri
Jika diikutkan, dia bakal menamatkan pengajian dan bergelar doktor dua tahun lagi. Dengan tugasan sebagai pelajar perubatan, kelas setiap hari selain latihan amali, Nur Amirah sempat mencuri masa menghasilkan rekaan tudung Shawlbyvsnow sejak 2010.
Bermula sebagai model untuk Sugarscarf, sedikit demi sedikit dia mula mempelajari selok-belok berniaga.
“Sejak usia 19 tahun saya menjadi model tetap Sugarscarf. Melihat kakak yang asyik berniaga menyebabkan saya tertarik mencuba.
“Lama-kelamaan saya belajar menjahit tudung dengan kakak. Ia tidaklah semudah disangka namun saya sukakannya kerana ia menuntut kesabaran dan cabaran,” katanya.
Bermula dari situ, minat berniaga mula bercambah. Dengan menjadikan kakak sebagai bahan rujukan, Nur Amirah cuba menjual tudung yang dibeli di Jalan Tunku Abdul Rahman kepada kawan-kawan sekolah. Sambutan sangat menggalakkan, tudung habis dijual sehinggakan dia terpaksa berulang-alik ke jalan TAR hampir setiap bulan untuk mendapatkan stok jualan.
Memperoleh pendapatan lumayan bagi seorang pelajar memang sesuatu yang sangat mengujakan. Lebih penting ia hasil titik peluh sendiri.
“Bermula dari situ, saya belajar berdikari. Apa saja yang saya inginkan saya beli menggunakan duit sendiri termasuk perbelanjaan harian persekolah,” katanya yang ketika itu menuntut di Sekolah Menengah Sains Muar, Johor.
Teruja menghasilkan rekaan sendiri berbekalkan modal yang dikumpul, Nur Amirah mula membuat lakaran tudung dan mencari fabrik sesuai di Vietnam dan Indonesia. Ketika itu dia sudah mendaftar sebagai pelajar di Kolej Taylor namun disebabkan jadual yang tidak terlalu padat, dia mempunyai masa menjalankan perniagaan dalam talian.
Nur Amirah mendapatkan khidmat keluarga untuk menjahit tudung manakala kakak membantu dari segi rekaan, pemasaran dan pengiklanan.
“Dalam tempoh itu, saya hampir patah semangat dan tidak lagi mahu berniaga kerana tudung tidak terjual sedangkan saya memerlukan modal pusingan untuk meneruskan perniagaan. Dalam keadaan tertekan dan hampir menyerah kalah, ayah dan ibu sentiasa di sisi memberikan semangat.
“Ayah berkata, dalam hidup perlu banyak bersabar dan tidak semua diperoleh dalam masa yang singkat. Ini menyebabkan saya bersemangat kembali dan meneruskan perniagaan,” katanya.
Dididik sejak remaja untuk lebih berdikari, jelas Nur Amirah walaupun berasal daripada keluarga sederhana dan mampu memiliki apa yang diinginkan, ibu tidak memanjakan mereka tiga beradik. Sejak mula sekolah apa saja diinginkan harus ada sebabnya.
Ini menyebabkan dia terbiasa mencari duit untuk mendapatkan barang diidamkan termasuk juga perbelanjaan di sekolah. Malah semua keperluan termasuk bayaran kolej dan pendidikan untuk kursus yang menelan belanja puluhan ribu dibiayai wanita ini sepenuhnya.
Mengambil masa setahun untuk mendapat kepercayaan pelanggan, kini jenama Shawlbyvsnow mula bertapak di hati peminat selendang dan tudung sedia dipakai.
Mengakui harinya semakin sibuk dengan kelas dan ulang kaji pelajaran, dia terpaksa menangguhkan pelajaran selama setahun demi memberi perhatian kepada perniagaan. Tambahan pula butik pertamanya akan dibuka di Shah Alam sedikit masa lagi.
“Bukan saya tamak ingin mengejar kedua-duanya dalam satu masa. Semuanya kerana keyakinan dan semangat memastikan apa yang saya rancang menjadi kenyataan. Doktor sememangnya cita-cita sejak kecil dan saya tidak sesekali membiarkan hanya separuh jalan saja.
“Saya inginkan segulung ijazah dan pada masa sama, mahu merealisasikan impian dan angan-angan bergelar pemilik butik. Saya yakin mampu menjalankan kedua-duanya asalkan bijak membahagikan masa selain fokus terhadap sesuatu perkara,” katanya yang kini menjual hampir 50 helai tudung sehari bukan saja untuk peminat di Malaysia tetapi Jepun, Singapura, United Kingdom dan Brunei.
Setiap hari untuk ibu
Bercerita mengenai Hari Ibu yang dirai pada setiap minggu kedua Mei, kedua-dua wanita ini cukup teruja membicarakannya. Kelihatan mata mereka bercahaya, manakala bibir menguntum senyum tanda ada sesuatu yang ingin disampaikan.
Baik Eyqa mahupun Nur Amirah, mereka sangat rapat dengan ibu. Malah mereka tiga beradik akan berkongsi duit bagi membeli hadiah sesuai untuk ibu, Masilah Abu Bakar.
“Dua tahun lalu kami berikan ibu iPad dan perhiasan emas manakala tahun sebelumnya seutas jam tangan. Kali ini kami ingin beri kejutan buat ibu yang sibuk menjaga anak kedua yang sedang dalam tempoh berpantang. Saya merancang ingin bawa ibu bercuti ke Bali atau Bandung, Indonesia. Dengan harapan percutian ini mampu menggembirakannya,” kata Nur Amirah.
Ibu yang bekerja sebagai pembantu tadbir, seorang yang sangat tegas terutama dalam hal ehwal agama. Dia sentiasa mengingatkan mengenai solat kerana tidak mahu anak-anaknya mengabaikan perkara wajib itu.
Namun di sebalik disiplin, tersimpan kelembutan dan ciri kasih sayang yang tiada tandingannya. Sejak kecil ibu mendidik anak-anak supaya berdikari dan tidak mengharapkan bantuan ibu bapa.
“Alhamdulillah, didikan ibu menjadikan kami hari ini sangat kuat dalam menempuh cabaran. Ibu mengajar supaya tidak patah semangat dan terus berusaha kerana akan ada kejayaan di pengakhirannya. Saya percaya doa ibu paling mustajab. Jika tidak sudah tentu saya dan Nur Amirah tidak berada seperti sekarang,” tambah Eyqa.
Sebak mengenangkan pengorbanan ibu, bagi Nur Amirah peranan ibu tiada tandingannya. Menyifatkan Eyqa lebih manja dan mewarisi semua ciri-ciri ibu berbanding dirinya yang agak garang, mereka berdua berharap ibu diberi kesihatan yang baik dan memperoleh kesejahteraan dalam hidup. Paling penting doa dan nasihatnya sentiasa kekal di sanubari.
“Walau di mana berada, kata-kata ibu sentiasa saya sematkan dalam dada. Katanya, jangan pernah tinggal solat dan utamakan solat kerana apa juga diperoleh hari ini datangnya daripada Allah. Ingati diri-Nya dan Dia akan sentiasa melindungi kita,” kata Eyqa dan Nur Amirah mengakhiri perbualan.
Sumber: myMetro