Belajar Ternak Lebah Kelulut

Potensi pasaran yang begitu baik menyuntik minat ramai pihak untuk terbabit dalam industri penternakan lebah kelulut.

Ini kerana madu yang dihasilkan serangga berkenaan mampu menjana pendapatan berganda jika diusahakan dengan cara betul.

Penyelidikan dilakukan mendapati setiap koloni mampu mengeluarkan sehingga dua kilogram madu kelulut.

Kemampuannya me­ngeluarkan madu juga bergantung kepada jumlah debunga diperoleh.

Dalam usaha membantu orang ramai mendapat­kan teknologi berkaitan penternakan lebah kelulut, Pusat Perkhidmatan Teknikal, Kompleks Latihan Ibu Pejabat MARDI Serdang menawarkan kursus penternakan madu kelulut.

Seramai 18 pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) termasuk yang bakal bersara me­nyertai kursus dua hari bermula 11 hingga 12 Mac lalu.

Tiga sesi ceramah disediakan penganjur merangkumi pengenalan industri dan teknologi kelulut, pendebungaan, habitat dan perilaku serta khasiat kelulut.

Bagi mempraktikkan teori dalam kelas, peserta didedahkan kepada pengajaran amali di lapangan.

Pegawai Penyelidik MARDI Mohd Fahimee Jaapar berkata, kursus dianjurkan itu bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan lebah kelulut dalam industri penternakan.

“MARDI melihat kepentingan lebah kelulut lebih kepada pendebungaan, manakala madu adalah hasil kedua.

“Dengan kepakaran yang ada, MARDI memindahkan teknologi berkenaan kepada pihak berminat,” katanya.

Kursus ditawarkan katanya, merangkumi 30 peratus teori, manakala bakinya adalah aspek amali.

“Secara keseluruhan kursus dianjurkan banyak menumpukan kepada proses mengenal anak dan ratu kelulut.

“Peserta juga ditunjukkan kaedah mudah memindahkan sarang kelulut ke kotak khas,” katanya.

Mohd Fahimee berkata, penternakan lebah kelulut secara organik disarankan berbanding penggunaan bahan plastik.

Katanya, sehingga kini sambutan orang ramai terhadap kursus ditawarkan amat memberangsangkan.

“Tahun ini saja sudah tiga kali kursus disediakan MARDI untuk teknologi penternakan lebah kelulut dan dijangka beberapa siri lagi akan diadakan,” katanya, sambil menjelaskan bayaran kursus RM600 termasuk penyediaan penginapan dan makan minum.

Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat) LKIM, Sa’dom Abdul Wahab berkata, kursus yang disertai itu dalam usaha memberi nilai tambah dan kemahiran baru kepada kakitangannya selepas bersara.

“Kami (LKIM) sudah lama merancang untuk menyertai penternakan lebah kelulut.

“Selama itu kita dengar madu kelulut lebih baik ­daripada lebah, malah penternakan serangga ini juga sangat mudah dipraktikkan,” katanya.

Berbanding dengan lebah biasa, kelulut tidak mengancam manusia dan boleh diternak di persekitaran rumah.

“Jika kemahiran seperti ini diperoleh, pesara LKIM boleh menternak lebah kelulut di kampung masing-masing
.

“Maknanya akan ada aktiviti bernilai selepas bersara kerana madu kelulut mempunyai permintaan tinggi di pasaran, selain harganya jauh lebih tinggi,” katanya.

LKIM juga katanya bercadang untuk menghantar kumpulan kedua bagi kursus sama jika ada keperluan.

“Mungkin kami akan memberikan kursus kepada kumpulan sasaran terutama nelayan.

“Jika tidak dapat turun ke laut sekurang-kurangnya nelayan ini boleh mendapatkan hasil ­­dari pada sumber madu kelulut ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Khidmat Pengurusan LKIM, Mohd Saffe Mohd menyifatkan program berkenaan di luar kebiasaan fokus agensi.

“LKIM biasanya dikaitkan dengan ikan, tetapi pendekatan kerajaan ketika ini mahukan agensi ini meningkatkan pendapatan nelayan, selain tidak terikat kepada ikan saja.

“Bidang ini adalah bidang baru yang diberi tumpuan dan LKIM melihat ia sebagai satu ruang untuk asuh nelayan terbabit dengannya,” katanya.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::