Baju Melayu Omar Ali

Berbaju kurung dengan potongan moden, diserikan lagi dengan padanan selendang berona senada, siapa sangka wanita bertubuh langsing itu sudah mencapai usia 50-an.

Melihatkan pada perwatakannya yang lemah lembut dengan tutur kata yang sopan, usahawan wanita yang meneruskan empayar perniagaan bapanya di bawah jenama Omar Ali tidak lokek dengan senyuman semasa ditemui di butiknya yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, baru-baru ini.

Mengimbas ke­nangan semasa di alam persekolahan, Azizah Omar, 51, menga­kui dia bu­kan­lah seorang murid yang aktif bersukan mahupun berpersatuan.

“Saya hanya murid biasa sahaja dan tidak ada apa yang boleh dibanggakan semasa bersekolah,” tuturnya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Muda sehingga tamat darjah enam.

Meneruskan zaman persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru, atau kini dikenali sebagai SMK Puteri Wilayah, Azizah sejak dari kecil sudah didedahkan dengan dunia perniagaan oleh arwah bapanya.

Turun-temurun

Sejak dari zaman kanak-kanak, Azizah yang merupakan anak bongsu daripada 11 orang adik-beradik sering mengikut bapanya yang mengusahakan kedai menjual baju tradisional di bazar yang kini menjadi tapak Wisma Yakin di Jalan Masjid India.

Dari situ, Azizah telah didedahkan kepada dunia perniagaan sehingga menarik minatnya untuk menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi di Universiti Northern Illinois, Amerika Syarikat pada tahun 1987.

“Selepas menamatkan pe­nga­jian di luar negara, saya terus bekerja di bawah perniagaan ayah sekitar tahun 1990 sehingga hari ini,” jelasnya yang kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Urusan di Omar Ali Holdings Sdn. Bhd.

Meneruskan legasi perniagaan yang diusahakan oleh bapanya sejak jenama itu diperkenalkan pada tahun 1935, Azizah tidak berhadapan banyak masalah terutama untuk menarik minat pe­langgan kerana produk keluaran syarikatnya itu sememangnya sudah cukup dikenali.

Tidak mahu mendabik dada, Azizah memberitahu, ada dalam kalangan pelanggannya merupakan individu tetap sejak empayar itu diusahakan oleh arwah bapa­nya sekitar 80 tahun lalu.

“Sama seperti perniagaan ini yang diwariskan secara turun-temurun, pelanggan kami juga begitu apabila mereka memper­kenalkan jenama Omar Ali kepada anak, cucu atau mungkin kepada cicit mereka,” seloroh Azizah sambil ketawa.

Sewaktu ditebak dengan soalan tentang adik-beradiknya yang lain, Azizah memberitahu, dia mempunyai empat orang abang dan tujuh orang kakak.

Mengambil alih tugas menguruskan perusahaan bapanya berbanding 10 lagi adik-beradiknya yang lain, Azizah menerangkan bahawa abang serta kakaknya kini memegang jawatan dalam bidang pilihan mereka.

“Tiga orang abang saya masih berada dalam bidang perniagaan yang sama dengan menguruskan syarikat mereka sendiri,” jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Berdisiplin

Bersama suami tercinta, Idris Mokhtar, 51, yang meme­gang jawatan sebagai Pengurus Pemasaran di Omar Ali, Azizah kini mampu tersenyum bangga apabila label Omar Ali kini sudah mempunyai tujuh buah cawa­ngan termasuk di Plaza Angsana, Johor Bahru dengan kekuatan kakitangan berjumlah 60 orang.

Masih mengekalkan konsep perniagaan yang sama, Omar Ali yang turut dikenali dalam kalangan ahli politik dan kerabat diraja menawarkan koleksi-koleksi baju Melayu berkolar cekak musang dan teluk belanga, baju kurung serta kebaya yang siap dijahit.

Turut menjual kain potong daripada pelbagai jenis dan warna yang diimport dari Jepun, Korea dan Pakistan, pelanggan boleh datang terus ke butik untuk mengambil ukuran dan untuk menempah pakaian.

Berpegang pada prinsip ber­disiplin dan bersungguh-sungguh, Azizah tidak melihat kebanjiran jenama-jenama baharu di pasaran akan menjejaskan label perusahaan pakaian tradisionalnya, malah dia sendiri menganggap setiap jenama punya keistimewaan dan kelebihan masing-masing.

“Bezanya kami dengan syarikat lain, Omar Ali masih mengekalkan konsep reka bentuk baju Melayu yang asli bersesuaian dengan status pelanggan kami yang terdiri daripada golongan korporat,” terang Azizah yang tidak menolak jika ada pelanggan yang ingin menempah pakaian mengikut peredaran fesyen pada masa kini.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::