Lamb Shoulder Steak di Proxy’s Kitchen Project

Cabaran dalam penyediaan hidangan biri-biri ialah menghilangkan bau hamis daging, terutama buat mereka yang bukan penggemar masakan daging itu.

Mulanya bimbang tekak loya namun tanggapan mula berubah apabila merasa hidangan Lambretta atau Lamb Shoulder Steak di Proxy’s Kitchen Project, Plaza Damas milik Chef Ibnu Firqhud Azizan.

Bukan saja dagingnya lembut, malah sos perang dihidangkan bersama kentang lecek diperisakan bersama mentega bawang putih dihidang kemas dalam saiz memuaskan.

Selain itu, hidangan laut iaitu salmon with garlic sauce mengujakan apabila kulitnya digelar garing selain kemanisan ikan kekal terasa di hujung sajian.

Melengkapkan lagi senarai hidangan mesti dicuba, pasta kari bersama sotong berempah cili menggoda deria penggemar hidangan Itali yang pedas.

Sering mendapat perhatian pengunjung kafe terbabit ialah hidangan ‘Chicken Chop’ mempunyai suntikan resipi tersendiri membuat mereka gemar menikmati kerangupan saduran tepung di luar ayam bersama sos cendawan.

Ibnu yang mempunyai pengalaman berkhidmat dengan hotel terkemuka sekitar Kuala Lumpur berkata, keistimewaan menu Barat disajikan di kafenya ialah rasanya yang tersendiri.

“Resipi ini adalah sentuhan saya sendiri dalam menggabungkan cita rasa tempatan dalam seleksi hidangan Barat. Saya tidak mahu hidangan di sini serupa dengan restoran makanan Barat yang lain, jadi saya datang dalam resipi berbeza mengandungi elemen ‘fusion’ iaitu suntikan elemen rasa tradisi dalam hidangan Barat.

“Contohnya, pasta kari disuai padan dengan sotong berempah cili antara eksperimen menu saya yang unik dan boleh diterima pelanggan. Mereka menyukainya kerana kualiti bahan segar selain rasa dan persembahannya kemas setaraf hidangan hotel,” katanya.

Turut mengusahakan perniagaan katering kepada korporat, Ibnu berkata, perancangan terdekat adalah membuka restoran bercitarasakan tempatan serta hidangan Asian yang memberi seleksi cita rasa berlainan kepada penggemar makanan.

Ruang dekorasi Proxy’s Kitchen Projek santai dan sesuai untuk mereka yang mahu menganjurkan majlis peribadi seperti sambutan hari lahir dan majlis meraikan bakal ibu.

Aisya terpikat hidangan, konsep restoran Syarat hidangan dinikmati artis serba boleh, Aisya Hasnaa Umaruddin mudah saja - masakan perlu lazat.

Dia yang pernah dicalonkan untuk kategori Artis Baru Wanita Terbaik di Anugerah Planet Muzik (APM) yang menghimpunkan penggiat muzik serantau menerusi single pertama, Lagu Mahu Kamu, ceria apabila berkongsi mengenai makanan kesukaannya.

Katanya, dia bukan memilih, cuma menghargai hidangan enak kerana sebahagian besar saudaranya gemar memasak.

Malah, dia sendiri mampu menyajikan hidangan tempatan mahupun Barat.

“Tidak dinafikan dalam keluarga saya, semua tahu memasak serta tidak kekok di dapur. Tambah pula kakak saya, Anis Nabilah Umaruddin atau Chef Anis mempunyai ilmu berkaitan makanan, jadi kami berkongsi idea sama mengenai makanan.

“Justeru apabila diundang untuk merasa hidangan Proxy’s Kitchen Project, saya teruja kerana ia menyajikan hidangan Barat iaitu antara masakan kegemaran saya.

“Dalam empat seleksi menu yang dirasa, saya tertarik dengan hidangan Chicken Chop kerana salutan luar masih rangup biarpun terendam dalam sosnya.

Saya juga gembira dengan pasta kari kerana tidak cepat mual meskipun makan dalam beberapa suapan.

“Saya turut menggemari konsep restoran yang sangat selesa serta ada ruang privasi. Malah, suasana­nya sesuai untuk bersantai bersama keluarga dan rakan,” katanya.

Berkongsi dengan perkembangan terkini, aktres yang mula dikenali selepas membintangi Drama Romi Cinta Julia tahun lalu itu berkata, dia komited dengan program candawara, Lari yang ditayangkan di saluran TV9.

“Projek saya terkini adalah ­dengan program Candawara tayangan TV9, Lari. Banyak perkara saya belajar apabila menyertai program berkenaan.

“Saya yang sebelum ini tidak sukakan kejutan, mula berubah apabila menyertai rancangan berkenaan. Krew Lari paling sempoi kerana mereka bukan saja membei tugasan berbeza, malah menguji kemampuan fizikal dan mental sepanjang program.

“Tidak lama lagi saya bakal menjalankan program sama di satu lokasi rahsia di luar negara untuk keluaran edisi khas raya nanti. ­Memang setiap kali penggambaran pengalaman mengujakan,” kata­nya yang turut ­berentap bersama sembilan ­peserta lain iaitu Azwan Ali, Arja Lee, Achok dari Bintang Bersama Bintang, Harris Alif dan Afieq Shaz­wan.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::