Dunia Model Usia Emas |
Lelaki berusia 79 tahun itu membuktikan bahawa seorang model masih lagi tampak kacak walaupun sudah melangkaui garisan usia warga emas.
Semasa persembahan tersebut, beliau memperoleh 100,000 orang pengikut di laman sosial Sina Weibo sepanjang malam selepas aksi mendedahkan bahagian badan dalam persembahan koleksi baharu musim luruh dan musim sejuk 2015/2016 Hu Sheguang.
Kegemilangan itu disebabkan oleh kontras penampilan yang dibawanya.
Sementara model lain memakai penutup kepala bunga ala perca yang melambangkan kucing dan geisha, dia hanya memakai kulitnya sendiri.
Penampilannya pada malam tersebut bukanlah kali pertama dalam industri fesyen.
Dilatih menjadi seorang mime, dia pernah dijemput untuk membimbing barisan model fesyen sebelum persembahan pada tahun 1986.
Beberapa model anak didiknya turut menjadi tenaga pengajar dalam industri fesyen. Salah seorang daripada mereka yang turut terlibat dalam koleksi terbaru Hu Sheguang mengundang Wang Deshun untuk membantu memperkenalkan rekaan-rekaan tersebut.
Dalam satu temu bual bersama akhbar tempatan Oriental Morning Post, Wang Deshun yang meraih populariti baharu dalam hidupnya mengaitkan perbezaan penampilan bentuk tubuh badan model-model muda iaitu lebih kurus berbanding dirinya yang tampil dengan imej maskulin meskipun sudah berusia.
Dunia teater
Dilahirkan pada tahun 1936 di Shenyang, wilayah Liaoning, Wang Deshun memulakan kariernya sebagai pelakon di pentas Teater Changchun pada usia 24 tahun.
Bagaimanapun, industri hiburan semakin membangun dan bidang teater bertambah tenggelam popularitinya di Changchun.
Pada usia 49 tahun, Wang Deshun dan keluarganya mengambil keputusan untuk berpindah ke Beijing bagi meneruskan kecintaannya dalam dunia teater.
Namun, kehidupan di Beijing lebih sukar daripada yang disangkakan.
Selepas tidak berjaya mencari peluang pekerjaan sebagai pelakon, Wang Deshun membentuk seni pentasnya sendiri dengan memperkenalkan persembahan pantomim.
Pada lewat tahun 1980-an, dia berjaya membina namanya di Beijing dan membuat persembahan di luar negara termasuk di German, Perancis dan Korea Selatan.
Pada masa yang sama, dia turut mengembangkan perjalanan kariernya dalam media elektronik televisyen dan layar perak.
Projek filem terbaharunya adalah filem popular tahun ini iaitu Miss Granny. Wang Deshun memainkan watak sebagai sahabat baik kepada wanita berkenaan.
Persembahan yang sering melibatkan aktiviti melukis diri sendiri dan berdiri selama berjam-jam pada satu-satu masa mendorong Wang Deshun pergi ke gimnasium pada usia 50 tahun.
“Saya bekerja selama empat jam setiap hari dan ia mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk menjadikan bentuk badan saya kelihatan seperti patung,” katanya dalam temubual bersama akhbar Yangtze Evening Post.
Menurutnya, dia masih bersenam sekurang-kurangnya dua jam setiap hari.
Tampil dengan rambut berwarna putih, rakaman persembahan profesional Wang Deshun menjadi viral dalam laman sosial baru-baru ini. Rata-rata penonton memberikan pujian mengenai tubuh badannya yang masih gagah.
“Dia seorang datuk dengan karakter yang sangat kuat. Wow! dia kelihatan sangat kacak!” kata salah seorang pengikutnya.
Kemunculan Wang Deshun secara tidak langsung menunjukkan kepercayaan profesionalisme model-model senior tidak pernah lolos dari pandangan pemilik label-label terkemuka dunia termasuk Zara, Marimekko dan Dolce & Gabbana.
Begitu juga dengan peragawati Dell’Orefice yang berusia 83 tahun dan masih aktif dalam dunia peragaan. Baru-baru ini, dia menjadi penghias muka hadapan untuk isu majalah New You’s, sekali gus membuktikan kejelitaannya tidak pernah ditelan usia.
Dilahirkan di New York, Dell’Orefice pertama kali menjadi gadis penghias majalah Vogue pada usianya 15 tahun dan sejak itu, dia dilambung populariti.
Berbicara mengenai rahsia menjaga figura seorang model selama tujuh dekad dalam industri tersebut, dia memberitahu bahawa ia adalah persediaan untuk mati namun, pada masa sama ingin menikmati setiap saat kehidupannya.
“Saya makan mengikut selera dan tidak pernah mengira kalori. Saya mahu menikmati setiap sajian. Saya mungkin berisiko untuk mendapat masalah kesihatan disebabkan makanan tetapi tahap metabolisme saya sangat baik.
“Begitupun, saya pernah mempunyai isu dengan aiskrim ketika masih kanak-kanak. Kawan-kawan akan buka peti ais saya dan bertanya siapa yang akan menghabiskan semua aiskrim tersebut.
“Bagi saya aiskrim memberikan perasaan lega dan selamat. Mungkin ada beranggapan baju akan menggembirakan saya tetapi mereka salah,” katanya.
Dell’Orefice sebelum ini pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan bertunang lebih dari sekali tetapi dia tidak mendedahkan nama lelaki yang kini berjaya mencuri hatinya.
Mengulas lanjut mengenai pandangannya mengenai model hari ini, Dell’Orefice berkata, kebanyakan mereka seperti badan untuk disewa.
“Mereka tidak mempunyai masa untuk diri sendiri. Ia adalah pekerjaan yang susah. Mereka yang bijak dengan sokongan moral daripada ahli keluarga, mentor dan berpendidikan tidak akan mudah jatuh ke dalam perangkap samar.
“Mereka akan simpan duit dan menggunakannya secara berhemah manakala pengalaman di atas pentas dijadikan batu loncatan untuk mendapatkan kerjaya yang lebih kukuh. Saya hanyalah pemerhati luar dan ini adalah pandangan saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, sementara dunia sedang sibuk mencipta formula untuk kecantikan fizikal dan anti penuaan, model Daphne Selfe, 87, membuktikan dia tidak pernah tua untuk mengecapi kejayaan dalam bidang pemodelan. Nenek kepada empat orang cucu itu telah bergelumang dalam industri fesyen selama 60 tahun.
Empayarnya dibina dengan postur sempurna tubuh badan dan tulang pipi yang terletak manakala rambut panjangnya pada hari ini melonjakkan popularitinya lebih dari sebelumnya.
Model tertua di dunia itu muncul dalam iklan-iklan untuk syarikat terkenal seperti Nivea dan Olay serta memperagakan rekaan untuk label Dolce & Gabbana.
Pembedahan kosmetik
Dia juga menjadi wajah penghias untuk majalah Vogue dan Marie Claire. Selfe tidak pernah menjalani sebarang pembedahan kosmetik dan meraih pendapatan sebanyak AS$1,600 (RM5,863) sehari sebagai peragawati.
Selfe memulakan kariernya pada tahun 1950. Pada ketika itu, dia berusia 20 tahun dan rakan-rakannya di bahagian stor Reading, England telah meyakinkan untuk menceburi pertandingan model tempatan yang kemudian dimenanginya. Selfe kemudian menjadi model dalaman untuk pembuatan dan furriers baju serta muncul dalam beberapa iklan kempen.
Walaupun dia meneruskan kerjaya sebagai model, Selfe kemudian mengambil tempoh berehat pada 1998 iaitu selepas kematian suaminya. Dia kemudian dihubungi oleh ejennya yang meminta untuk muncul pada persembahan Red or Dead di Minggu Fesyen London.
Pada mulanya, Selfe menyangkakan ia hanyalah gurauan tetapi panggilan itu adalah dari salah satu agensi model terkemuka dunia iaitu Model 1.
Ia adalah permulaan perjalanan karier baharu yang lebih glamor daripada yang pernah diketahuinya. Kemunculan semula dibuat untuk majalah Vogue selepas mendapati banyak syarikat gergasi yang teruja untuk bekerja dengan penampilan demografi lebih tua.
Selfe mengakui amat bertuah kerana memiliki darah campuran Ireland yang mengurniakan struktur tulang dan tubuh badan yang ramping manakala rambut beruban adalah rahsia di sebalik kejayaan kariernya.
Dia melakukan yoga untuk kekal cantik dan makan lebih banyak buah, sayur dan ikan selain mengambil kuantiti air yang tinggi. Selfe bercadang untuk meneruskan profesion tersebut sehingga perkhidmatannya tidak diperlukan lagi.
Mengulas lanjut mengenai persaingan dengan barisan model muda, Selfe berkata, kebanyakan mereka memuja dirinya tetapi tidak cemburu atau menganggapnya sebagai ancaman.
Sumber: Kosmo! Online