Mi Kuning Kering Jenama Duha

Kurangnya bila­ngan usahawan Bumiputera di Pulau Pinang terbabit dalam pembuatan mi kuning menyuntik minat Mohd Rodzi Zakaria menceburi bidang perniagaan itu.

Kakitangan kerajaan berasal dari Alor Setar, Kedah itu sanggup berhenti kerja bagi memenuhi keinginannya mengeluarkan produk Muslim.

Dengan modal permulaan RM500, dia membuka syarikat SNT Duha Industry pada 2007.

Baginya jatuh bangun memperkenalkan mi kuning itu adalah lumrah dalam perniagaan.


“Banjir besar yang melanda negara pada 2010, antara cabaran besar saya menyebabkan operasi syarikat tergendala.

Keputusannya enggan menggunakan bahan pengawet dalam produk mi kuning basah memberi tamparan hebat kepada syarikat itu,” katanya.

Katanya, ramai pelang­gan menghantar semula mi basah keluarannya sehingga beliau kerugian.

Pengurus Besar SNT Duha Industry itu berkata, mujur dia tidak patah semangat untuk bangun semula.

“Saya memohon kepada pihak berwajib untuk membangunkan semula syarikat di Kawasan Perindustrian (IKS), Keda Napo, di Jalan Lebuhraya Utara-Selatan, Jitra, Kedah.

“Saya turut mendapatkan khidmat MARDI untuk menginovasi mi basah itu,” katanya.

MARDI membantu memindahkan teknologi untuk menghasilkan produk mi kuning kering yang mampu tahan untuk tempoh setahun.

“MARDI Alor Setar memberi tunjuk ajar bagaimana menghasilkan mi yang tahan lama.

“Mereka juga membantu memastikan kualiti yang dikeluarkan terjamin, malah saya diletakkan sebagai usahawan bimbingan MARDI,” katanya.

Produk Mi Kuning Kering Duha keluaran SNT Duha berbeza dengan produk terdapat di pasaran.

Kami tidak menggunakan bahan pengawet dan ‘wax’. Wax atau dikenali lilin supaya kenyal dan tidak serap air,” kata­nya.

Sehingga kini, syarikat itu mengeluarkan tiga jenis mi iaitu mi kuning kering biasa tanpa perencah dan mi segera perencah tomyam dan kari.

“Biarpun pada peringkat awal kurang dikenali de­ngan pasaran hanya di kedai runcit di kawasan sekitar, kini ia sudah memasuki pasaran di seluruh negara,” katanya.

Cara penggunaan mi kering sangat mudah dengan kaedah masakan dalam bentuk sup dan goreng.

“Mi kering sesuai digunakan untuk membuat mi goreng dan sup.

“Jika nak buat mi goreng, kita buat kuah lebih sedikit dan didihkan kuah, kita masukkan mi berkenaan dan tidak perlu direbus,” katanya.

Produk mi itu juga sangat digemari untuk pembuatan mi kuah dan claypot.

Ditanya mengenai jenama Duha digunakan syarikat, katanya ia bermakna pembawa rezeki.

Berdasarkan permintaan yang semakin mening­kat, syarikat itu mengeluarkan tiga tan produk mi kering sebulan.

“Malah sempena Aidilfitri, pengeluaran syarikat pernah ditingkatkan kepada lima ke tujuh tan sebulan,” katanya.

Syarikat itu juga bercadang untuk mengeluarkan 10 kontena produk untuk dua bulan sekali.

“Perancangan masa depan kami untuk menaik taraf syarikat dengan Amalan Pengilangan Baik (GMP), selain memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::