Pemilikan Rumah Inovasi Evohome |
Persatuan Pemaju Hartanah Bumiputera Selangor melihat isu pemilikan rumah mampu milik boleh diselesaikan dengan melaksanakan inovasi di dalam pembangunan kediaman itu sendiri.
Menerusi kerjasama pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), satu kajian bersama persatuan itu menghasilkan satu konsep pembinaan perumahan yang dinamakan sebagai rumah berkembang atau Evohome iaitu kediaman yang dibangunkan secara asas pada permulaan projek dan boleh dibangunkan oleh pembeli apabila mereka bersedia daripada segi kewangan untuk membesarkan kediaman.
Presidennya Mohammad Sahar Mad Din berkata, kajian itu yang dihasilkan pada awal tahun ini dimuktamadkan dan menunggu beberapa pihak yang berminat untuk membangunkan konsep kediaman itu terutama oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata, Evohome disasarkan kepada pembeli muda yang berpendapatan pertengahan berusia antara 25 dan 35 tahun atau pasangan baru berkahwin kerana golongan itu sering menghadapi masalah untuk membeli kediaman mengikut pendapatan bulanan.
“Untuk membangunkan Evohome, kami sedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak berminat untuk melaksanakannya kerana ini usaha yang boleh membantu golongan pertengahan berpendapatan antara RM4,000 hingga RM8,000 sebulan untuk memiliki rumah.
“Ini kerana untuk golongan berpendapatan rendah serta sederhana rendah, harga jualan kediaman mereka dikawal kerajaan mengikut syarat pendapatan ditetapkan dan ditawarkan pada harga antara RM40,000 hingga RM75,000 seunit sekali gus tidak melayakkan kediaman ini dibeli golongan berpendapatan pertengahan,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, harga seunit Evohome yang memiliki dua bilik tidur ditawarkan bermula dari RM150,000 hingga RM250,000 mengikut saiz dan memiliki ciri untuk dibesarkan pada masa depan.
“Kami cadangkan kediaman ini dibangunkan di kawasan pinggiran bandar kerana boleh mengurangkan kos pembelian tanah oleh pemaju kerana harga tanah memberi pengaruh besar dalam penjualan sesebuah kediaman kepada orang ramai,” katanya.
Sumber: myMetro
Foto: SPNB