Chocolate Muzium by Fidani

Sebagai penggemar makanan yang cukup lazat ini, tahukah kita me­ngenai sejarah dan asal usulnya? Bagaimana ia dihasil­kan dan sekali gus menjadi kegemaran di seluruh dunia?

Semua itu pastinya terjawab saat berkunjung ke Chocolate Muzium by Fidani di Jalan Teknologi 3/4,Taman Sains Selangor 1, Kota Damansara, Selangor
.

Diilhamkan sendiri pengasas Dr Group Holdings Sdn Bhd, Datuk Dahalan Rashid, Chocolate Museum by Fidani ini beroperasi sejak November 2012 namun dibuka secara rasminya Januari lalu.

Ia dirasmikan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Dibuka seawal jam 9 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Sabtu secara percuma, muzium coklat yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara itu mengetengahkan konsep 3E yang merangkumi tiga aspek kehidupan utama manusia iaitu Education (pembelajaran), Experience (pengalaman) dan Enjoyable (keseronokan).

Pengarah Muzium, Mohd Azuan Arshad berkata, pembukaan muzium itu bagi memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai coklat yang sememangnya di gemari ramai.

“Muzium ini juga membolehkan pengunjung mempelajari maklumat mengenai coklat termasuk sejarah awal, manfaat kepada tubuh, proses biji koko sehing­ga menjadi coklat dan info kepada mereka yang gemar menikmati coklat.

“Dengan maklumat ini, coklat tidak lagi dikaitkan sebagai makanan yang tidak sihat,” katanya.

Menurutnya, dengan menggunakan konsep 3E, setiap lapisan masyarakat dan peringkat umur dapat merasai keseronokan berganda sambil mempelajari sesuatu yang baru.

Melangkah ke muzium ini, anda pasti teruja melihat replika pokok koko atau nama saintifiknya, Theobroma Cacaomen, sekali gus memperkenalkan pokok koko kepada pengunjung terutama kanak-kanak.

“Baru memasuki ruangan pengenalan ini, kebanyakan pengunjung terutama kanak-kanak sudah teruja melihat replika pokok koko dan biji koko,” katanya.

Lebih menarik, selain rakaman video yang menceritakan mengenai koko, anda pasti teruja merakam gambar kenangan bersama patung seekor lembu putih bertompok coklat memakai rantai leher, tertera jenama coklat gergasi dunia berasal dari utara Amerika, Hershey.

Galeri Education (pembelajaran) pula memberi peluang kepada pengunjung meneliti sendiri sejarah coklat yang dipercayai mula diperkenalkan pada era Olmec iaitu antara 1,200 Sebelum Masihi (SM) hingga 300 SM oleh suku kaum purba Mesoamerika di Teluk Mexico.

Puak purba ini adalah golongan pertama menggunakan pokok koko bagi tujuan domestik kerana benih pahit koko memiliki manfaat kesihatan dan kuasa dipanggil kakawa atau koko.

Kakawa menjadi sebahagian daripada diet, budaya dan tamadun purba sejak 600 SM.
Perkembangan koko ditingkatkan puak Maya, kumpulan yang memperakui kalendar dunia berakhir pada abad ke-21. Mereka meng­iktiraf keistimewaan koko yang memiliki sifat pemulihan dan mampu mengembalikan mood si pemakannya.

Berdasarkan artifak ditemui berusia 300 Tahun Masihi hingga 900 Tahun Masihi, puak Maya menggunakan koko sebagai elemen penting dalam kehidupan.

Ini terbukti dengan penemuan tembikar kuno dalam makam yang menggambarkan kepentingan tumbuhan itu.

Selepas era itu, puak Aztec mempelbagaikan cara pemakanan coklat sama ada berbentuk cecair, sejuk atau berbuih-buih.

Menariknya, buih yang terhasil daripada coklat cair dianggap karya seni kaum itu, malah wujud upacara mengenainya.

Perkembangan koko di seluruh dunia bermula dengan pelayaran terakhir Christopher Columbus di Caribbean menuju ke Sepanyol.

Pada awalnya, koko ha­nya dinikmati oleh orang Sepanyol dan menyimpan rahsia kegunaan koko daripada pengetahuan masyarakat Eropah yang lainnya selama 100 tahun.

Kemudian, industri koko kian berkembang ke merata benua Eropah termasuk Sepanyol, Belanda, Itali, Perancis dan Switzerland bermula sebagai minuman sebelum ia menjadi makanan sejuk beku.

Galeri dengan susun atur maklumat yang menarik itu juga mendedahkan pengunjung kepada fakta kesihatan yang terkandung dalam coklat.

“Coklat bukanlah makanan yang menggemukkan jika diambil mengikut jumlah yang perlu,” katanya.

Lakaran tubuh manusia yang memfokuskan organ penting seperti otak, paru-paru, hati, perut, lutut dan beberapa lagi sedikit mengujakan.

Ketika menekan butang merah di organ penting seperti otak, fakta mengenai kebaikan coklat kepada otak akan dipaparkan.

Justeru, pengunjung dapat mengetahui pengambilan coklat dan manfaat kepada organ dalaman tubuh.

Di tengah ruangan galeri, diletak mesin coklat yang pertama direka bentuk pada 1879 oleh pengeluar syarikat gergasi Switzerland, Rodolphe Lindt.

Di galeri Experience (pengalaman), kita dapat melihat chef berpengalaman menghasilkan coklat menggunakan teknologi tinggi,” katanya.

Pengunjung bukan saja dapat menikmati keenakan coklat yang baru dihasilkan tetapi membelinya untuk dibawa pulang.

Di galeri Enjoyable (keseronokan), pengunjung boleh berbelanja sakan di kedai coklat.

Puas memborong coklat, menikmati minuman coklat panas di Muzeum Cafe melengkapkan kunjungan anda ke Chocolate Museum by Fidani ini.

Di kafe, pengunjung berpeluang melihat replika menara berkembar Petronas daripada coklat selain produk lain sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.


INFO MUZIUM COKLAT

• Beroperasi sejak November 2012 dan dibuka secara rasmi pada Januari 2014.
• Beroperasi dari jam 10 pagi - 5 petang, Isnin - Sabtu.
• Masuk adalah percuma.
• 45 minit pemanduan dari KLIA.
• 30 minit memandu dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::