Eko-Pelancongan di Kelantan Selatan

Kelantan Selatan yang merangkumi jajahan Gua Musang dan Kuala Krai kaya dengan khazanah alam semula jadi yang mampu menjanjikan keseronokan dan cabaran terutama kepada penggemar aktiviti lasak dan santai khususnya pelancongan eko.

Gua batu kapur di Kompleks Gua Ikan, Dabong, Kuala Krai mampu menggamit kehadiran pelancong memilih destinasi itu sebagai lokasi percutian mereka ke negeri ini.

Kesempatan penulis mengikuti program Kembara Media dan Fotografi anjuran Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan ke kawasan itu, baru-baru ini memberi peluang meneroka secara dekat Kompleks Gua Ikan.

Ia merangkumi gua batu kapur antaranya Gua Pagar dan Gua Keris.

Kami memulakan perjalanan dari Tangga Krai atau Bradley yang dibina pada tahun 1927 menggunakan bot penambang menyusuri Sungai Kelantan. Ia mengambil masa dua jam ke Kompleks Gua Ikan.

Sepanjang perjalanan, kami dapat melihat suasana perkampungan penduduk setempat termasuk penghuni rumah rakit, antara destinasi pelancongan unik untuk dikunjungi.

Malah, perkampungan terpencil di Sungai Kelantan itu menjadi tumpuan pelancong bagi mendapatkan tembikar keluaran Kampung Mambong, Kuala Krai yang diperbuat daripada tanah liat asli.

Perusahaan membuat tembikar diwarisi secara turun-temurun sejak 300 tahun lalu daripada Tuk Bara kepada keluarganya antaranya Ramli Mat Isa dan isterinya, Siti Azah Mat Yaacob.

Kampung Mambong masih mempertahankan warisan itu dengan menghasil­kan produk kraf antaranya belanga, kukusan, bunga telur, cerek dan tabung syiling
.

Peluang meneroka Kompleks Gua Ikan di Dabong kira-kira tiga jam dengan menjelajah Gua Pagar dan Gua Keris amat berbaloi kerana kami dapat melihat secara dekat khazanah alam di gua batu kapur itu yang dikatakan berusia lebih 150 juta tahun.

Pembentukannya daripada cengkerang hidupan laut atau ‘calcium carbonate’ yang terkumpul di perairan laut cetek serta aliran air sungai yang mengambil masa jutaan tahun menjadikannya amat unik dan menarik.

Malah, rahsia hidupan terawal mikro organisma seperti fungus dan suasana pelantaian yang kering berdebu serta kelihatan kulit cengkerang amat menakjubkan.

Gabungan stalaktit dan stalagmit yang membentuk keris terpacak di tanah menyebabkan ia dikenali dengan nama Gua Keris.

Cahaya matahari yang memasuki gua yang gelap itu menjadikan suasana amat menarik untuk dirakam melalui lensa kamera.

Di sini anda boleh melihat ‘karst line’ yang menyumbang kepada pembentukan ‘straw’ iaitu peringkat awal kejadian stalaktit.

Ia hasil titisan aliran air yang membawa bersama hablur garam seperti kristal yang kelihatan seperti langsir yang dipanggil ‘flow stone’. Ia berkilau dan membentuk rupa, antaranya gajah.

Pelbagai jenis hidupan boleh dilihat di gua ini antaranya spesies labah-labah unik yang jarang ditemui di dunia iaitu ‘Trapdoor Spider’.

Kewujudan fosil ‘seaweed’ di tengah-tengah gua sehingga kepada sejenis flora istimewa iaitu ‘Vaughan’s Balsam’ di pintu gua menambah keunikan­nya kerana flora itu dikatakan hanya terdapat di Perlis dan Selatan Thailand selain ‘monkey head rock’ di dinding luar gua.

Penerokaan ke Gua Gelap memerlukan pengunjung melalui Gua Pagar dan Gua Keris, malah suasana gua batu kapur itu agak gelap dan sukar dilalui.

Untuk memasukinya, anda perlu berjalan mengiring dan merebahkan badan secara telentang sejauh kira-kira 20 meter untuk melepasi pintu gua yang rendah serta sempit.

Kepenatan meneroka Kompleks Gua Ikan tidak terasa sebaik saja kaki melangkah keluar dan melihat keindahan air Terjun Gunung Stong setinggi 1,422 meter.

Ia juga dipanggil Air Terjun Jelawang dan ia dikatakan yang tertinggi di Asia Tenggara
.

Difahamkan, Gunung Stong mendapat namanya daripada bongkah batu besar ini. Stong berasal daripada perkataan Inggeris yang bermaksud ‘stone’ dan bertukar menjadi stong mengikut slanga penduduk setempat.

Selain keunikan gua batu kapur dan keindahan air terjun Gunung Stong, Kelantan Selatan juga mempunyai tarikan di Tanah Tinggi Lojing yang terkenal dengan pengeluaran pertanian.

Mereka yang mahu melihat secara lebih dekat kawasan pertanian itu boleh menginap di rumah pemilik ladang sayur-sayuran, Terra Organic Farm, Ng Tien Khuan.

Rumah itu diperbuat menggunakan tanah dan dicampur beras selain tahi lembu yang diproses serta beberapa campuran lain.

Suasana di dalamnya nyaman sesuai dengan cuaca sejuk Tanah Tinggi Lojing.

Perjalanan ke Tanah Ting­gi Lojing tidak lengkap tanpa melihat bunga Rafflesia jenis Kerrii iaitu spesies kedua terbesar di dunia selepas Rafflesia Arlnoldi.

Namun, pengunjung perlu mendapatkan khidmat pemandu pelancong kerana perjalanan ke lokasi terawal bunga Rafflesia itu memerlukan mereka meredah hutan, sungai dan mendaki bukit sejauh 20 kilometer.

Hubungi pejabat TIC Kelantan di Jalan Sultan Ibrahim, Kota Bharu untuk maklumat lanjut.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::