Pes Ikan Bakar Adeq Sue - Hairuddin Omar - 01 |
Tatkala umurnya mencecah 36 tahun, kudrat Hairuddin Omar masih ditagih pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mewarnai kancah bola sepak tanah air.
Pengalaman dimiliki anak kelahiran Setiu, Terengganu itu yang pernah mewakili negara dan beberapa pasukan negeri ini mendapat kepercayaan pengendali ATM, B. Sathianathan untuk menggalas tugas selaku kapten pasukan.
Bahkan, penyerang prolifik yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali ini merupakan antara atlet bola sepak awal tahun 2000 masih menabur bakti dalam saingan bola sepak tempatan.
Biarpun sentiasa sibuk dengan jadual latihan sebagai pemain profesional, Hairuddin atau dikenali sebagai Hai-O dalam kalangan rakan-rakan tetap ingin menceburi bidang baharu selain sukan bola sepak.
Pemain yang pernah menggegar gawang gol kelab gergasi England, Chelsea pada tahun 2003 ini, telah terjun dalam bidang keusahawanan dengan penubuhan Adeq Sue Resources Sdn. Bhd. (Adeq Sue).
Dia merupakan pemilik syarikat itu dan menggunakan nama Adeq Sue yang tiada kaitan dengan mana-mana individu sebagai jenama komersial.
Syarikat bumiputera yang ditubuhkan pada 19 Mac 2014 ini bergiat aktif menghasilkan pes ikan bakar di Permint Perdana 2, Seberang Takir, Terengganu.
Selain itu, terdapat beberapa produk lain termasuk pes ikan bakar petai, tiga rasa, sambal bilis, tepung serbaguna dan sambal belacan segera diusahakan syarikat berkenaan.
Pencetus idea
Presiden Persatuan Pemain Bola sepak Profesional (PFAM) ini memberitahu, cetusan idea untuk menubuhkan perniagaan tersebut bermula sekitar tiga tahun lalu semasa menjalankan bisnes kedai makan, Adeq Sue Ikan Bakar yang menjadikan ikan bakar sebagai menu utama.
“Perniagaan restoran berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelanggan sehingga memberi idea untuk memperluaskan bidang perniagaan.
“Pertanyaan pelanggan acap kali untuk mendapatkan pes masakan di restoran menjadi pencetus idea kepada saya bergiat aktif dalam bidang pembuatan pes ini,” ujarnya ketika ditemui.
Hairuddin mula dikenali selepas membuat penampilan pertama bersama pasukan bola sepak Terengganu pada tahun 2000.
Pada tahun 2003, beliau mengambil keputusan untuk menyertai Pahang selepas menghadapi masalah dengan pihak pengurusan Terengganu.
Selepas lima tahun bersama Pahang, Hairuddin kembali ke Terengganu untuk menyertai pasukan berstatus kelab T-Team. Beliau berjaya membantu pasukan itu menjadi naib juara Liga Perdana pada musim 2009. Sebaik kempen liga tamat, beliau dipinjamkan ke Negeri Sembilan dan berjaya membantu pasukan itu menjadi juara Piala Malaysia.
Pada akhir tahun 2009, dia mengambil keputusan untuk menyertai Kelantan selama semusim dan sentuhan magisnya membantu skuad The Red Warriors menjulang trofi Piala Malaysia 2010.
Beliau kembali menyarung jersi Negeri Sembilan pada musim 2011 dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik serta pemenang Kasut Emas pada perlawanan akhir Piala Malaysia. Hairuddin meneruskan karier sebagai pemain dengan menerima tawaran ATM pada edisi 2012 dan kekal bersama pasukan itu sehingga musim ini.
Menurut Hairuddin, ramai pelanggan bertanyakan mengenai pes masakan makanan diusahakan restoran Adeq Sue Ikan Bajar.
Katanya, dia telah membuat keputusan untuk mengembangkan sayap perniagaan dengan memberi tumpuan dalam pembuatan pes dan sos bagi memenuhi permintaan para pelanggan.
“Walaupun mengambil masa hampir tiga tahun tetapi ia menjadi kenyataan apabila mempunyai kilang pembuatan pes dan sos sendiri.
“Perkara ini dipermudahkan melalui bantuan agensi-agensi kerajaan termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), SME Corp. Malaysia (SME Corp.), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.
“Kilang berkenaan dapat beroperasi sepenuhnya untuk memenuhi permintaan pelanggan,” ujarnya.
Sumber: Kosmo! Online