GST - Skim Pembayaran Balik Pelancong

Pelaksa­naan Skim Pembayaran Balik Pelancong (Tourist Refund Scheme) bagi cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa esok dijang­ka membantu menarik lebih ramai pelancong asing sekali gus me­rancakkan sektor pelancongan di negara ini.

Pengarah Iris Global Blue TRS Malaysia Sdn. Bhd., Datuk Hamdan Mohd. Hassan berkata, skim pengecualian GST itu ditawarkan kepada pelancong asing yang berbelanja sekurang-kurangnya RM300 dalam satu resit di lebih 700 kedai yang berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Katanya, skim itu ditawarkan di lapan lapangan terbang antarabangsa seluruh negara seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu, Subang, Senai dan Kuantan.

“Tidak seperti dahulu, skim yang baharu dilancarkan ini memberi peluang kepada mana-mana pelancong yang berbelanja lebih RM300 di sesebuah kedai atau pasar raya yang berdaftar dengan JKDM untuk menuntut se­mula cukai yang dikenakan terhadap mereka.

“Menerusi langkah ini, kami percaya dapat membantu mengembangkan ekonomi negara melalui sektor pelancongan. Pelancong juga dapat melakukan penebusan semula bayaran cukai secara mudah di pejabat kami di lapan lapangan terbang seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Skim Pembayaran Balik Pelancong, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ke­tua Pengarah (Pengurusan) JKDM, Datuk Abdul Rahman Othman dan Ahli Lembaga Pengarah Iris Global Blue TRS Malaysia Sdn. Bhd., Nigel Dasler.

Menurut Hamdan, pengusaha kedai atau pasar raya yang berminat menawarkan skim itu kepada pelancong asing perlu mendapatkan kebenaran daripada JKDM terlebih dahulu.

“Selepas mendapat kelulusan, pengusaha boleh berhubung terus dengan syarikat kami untuk langkah seterusnya dan mereka akan diberikan penerangan mengenai pelaksanaan skim tersebut sekali gus dapat menawarkannya kepada pelancong asing,” katanya.

Sumber: Utusan Online

Skim Bayar Balik Pelancong (TRS)

Skim ini membolehkan pelancong untuk menuntut CBP yang dibayar ke atas barang-barang yang dibeli dan dibawa balik ke negara masing-masing. Kemudahan hanya diberi untuk pelancong yang menggunakan penangkutan udara.

Siapa yang berhak untuk menuntut bayar balik di bawah TRS?

- Pelancong asing (bukan warganegara atau pemastautin tetap Malaysia).

- Bukan ahli kabin atau krew penerbangan bagi pesawat yang meninggalkan Malaysia.

- Pelajar yang memasuki atau tinggal di Malaysia menggunakan pas pelajar tertakluk kepada syarat bahawa barang-barang yang dibawa keluar dari Malaysia dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh pembelian.

- Seorang diplomat asing yang telah menamatkan tempoh perkhidmatannya di Malaysia dan akan meninggalkan Malaysia tertakluk kepada syarat bahawa barang tersebut dibawa keluar dari Malaysia dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh pembelian atau tamat perkhidmatan.

Barang yang layak untuk menuntut bayar balik di bawah TRS?

Tuntutan untuk pembayaran balik boleh dibuat ke atas semua barang yang telah dibayar CBP kecuali berikut:

- Wain, spirit, bir dan minuman keras malt.

- Tembakau dan produk tembakau.

- Barang kemas, logam berharga dan batu permata.

- Barang yang digunakan di Malaysia keseluruhannya atau sebahagiannya.

Dimana boleh menuntut bayar balik CBP?

Semua tuntutan boleh dibuat daripada ejen bayaran balik yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Malaysia.

Bila boleh menuntut?

Ketika meninggalkan Malaysia oleh pengangkutan udara sahaja.

Bagaimana menuntut bayar balik CBP?

Kriteria

- Barang-barang yang dibeli di kedai TRS yang diluluskan.

- Mesti memegang invois cukai yang sah yang disokong oleh pengusaha kedai TRS.

- Berbelanja sekurang-kurangnya RM300.00 di mana-mana kedai diluluskan.

- Meninggalkan Malaysia dengan membawa barang-barang tersebut melalui mana-mana lapangan terbang antarabangsa dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh pembelian.

Verifikasi oleh kastam

- Barang mesti dikemukakan untuk pengesahan Kastam di ruang berlepas lapangan terbang selepas pemeriksaan imigresen.

- Untuk barang besar yang perlu dibungkus dan didaftar masuk sebagai bagasi, barang mesti dikemukakan untuk pengesahan oleh Kastam di Kaunter Pemeriksaan Bayaran Balik CBP terletak di ruang berlepas sebelum daftar masuk.

Membuat tuntutan

- Borang permohonan boleh diperolehi dari Kaunter Pemeriksaan Kastam yang terletak di ruang berlepas sebelum daftar masuk atau di ejen pembayaran balik TRS di lapangan terbang atau di mana-mana cawangan TRS diluluskan.

- Borang permohonan yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada ejen bayaran balik TRS yang terletak di ruang berlepas selepas pemeriksaan imigresen.

- Tuntutan boleh dibuat selepas keluar dari Malaysia dengan mengirimkan borang bayaran balik yang disahkan dalam tempoh dua (2) bulan dari tarikh pengesahan.

Bentuk bayar balik

- Tunai bagi tuntutan di bawah RM300.00.

- Untuk tuntutan melebihi RM300.00, pembayaran balik boleh dibuat melalui pilihan berikut: Cek bank ATAU Akaun kad kredit ATAU Akaun bank

Sumber: Customs - GST - Skim Khas

Info: Panduan Skim Bayaran Semula Pelancong

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::