Karnival Gagasan Transformasi Anak Seni |
Usaha gigih Anne Abdullah serta beberapa pelakon lain menubuhkan Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) bagi membuka peluang kepada artis untuk bergelar usahawan pada 15 September tahun lalu mendapat sokongan banyak pihak.
Terbaru, GTAS yang dianggotai 60 artis bekerjasama dengan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) bagi menganjurkan karnival yang menyediakan peluang perniagaan kepada artis serta usahawan lain.
Anne selaku Presiden GTAS berkata, kerjasama itu memberi keuntungan dan manfaat buat semua pihak kerana dapat menarik ramai pengunjung untuk hadir ke sesuatu karnival yang dilangsungkan nanti.
“Matlamat kami sama iaitu memajukan peniaga Melayu. PERDASAMA ada usahawan yang bernaung di bawah mereka, manakala GTAS ada barisan artis yang aktif berniaga dan ada produk sendiri,” katanya.
Karnival yang dikenali sebagai Superstar Fiesta akan berlangsung pada 27 hingga 28 Mac ini di pusat beli-belah Space U8, Shah Alam sebelum menjelajah ke beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.
“Kehadiran artis GTAS pasti mampu menarik kehadiran ramai pengunjung untuk hadir ke karnival ini dan boleh membantu semua usahawan yang mengambil bahagian.
“Inilah kelebihan kami sebagai artis kerana dengan mudah dapat menarik peminat datang ke karnival itu, sekali gus mempromosikan tapak karnival,” katanya.
Menurut Anne, GTAS juga memperkenalkan motosikal Single Rider Kiosk yang berada di bawah seliaan Timbalan Presiden GTAS, Riezman Khuzaimi. Ia satu peluang yang baik untuk usahawan menjual terus produk mereka kepada pelanggan dan dibenarkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ini ialah produk pertama GTAS dan kami juga membantu usahawan lain. Barisan selebriti yang bernaung di bawah kami pula adalah mereka yang benar-benar nak jadi usahawan.
“Kami nak mereka makin lama makin maju dalam perniagaan. Saya tengok banyak produk keluaran Industri Kecil Sederhana (IKS) yang bagus dan kenapa tak diketengahkan kepada pengguna,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PERDASAMA, Feruddin Emir Izat Emir berkata, dia teruja menjalinkan kerjasama dengan GTAS kerana matlamatnya mahu memperjuangkan ekonomi orang Melayu.
“Saya harap menerusi kerjasama ini kita boleh lahirkan ramai usahawan Melayu. Kalau boleh saya nak lihat ramai anak Melayu menceburi bidang perniagaan.
“Pada karnival Superstar Fiesta nanti, PERDASAMA juga akan buka kaunter berkaitan pendidikan, informasi perniagaan dan banyak lagi. Selain berbelanja membeli barangan, pengunjung boleh mendapatkan segala info yang dikehendaki disini,” katanya.
Sumber: myMetro Online