Pusat Tenaga Solar Amcorp Power

Syarikat peneraju teknologi tenaga boleh diperbaharui, Amcorp Power Sdn Bhd. (Amcorp) melakar sejarah menerusi pelancaran Pusat Tenaga Solar berkapasiti 10.25 MegaWatt (MW) Amcorp Gemas bernilai RM87 juta di Gemas.

Pengerusi Kumpulan Amcorp, Tan Sri Azman Hashim berkata, pusat berkenaan merupakan tapak penjanaan tenaga solar terbesar pernah dibina dalam sebuah kawasan di negara ini yang berupaya menghasilkan sehingga 41,000 kilowatt (kW) setiap hari yang bersamaan 1.2 juta kW dalam tempoh sebulan untuk kegunaan pengguna terutamanya pada waktu puncak.

"Projek yang dibangunkan oleh anak syarikat, Amcorp Properties Sdn. Bhd. ini telah berjaya dibina dalam tempoh empat bulan dan telah memulakan operasinya pada Disember 2013," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pusat tenaga solar itu.

Pada majlis tersebut, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan mencemar duli untuk merasmikan pusat berkenaan.

Mengulas lanjut berhubung pusat berkenaan, Azman memberitahu, sebanyak 41,076 panel solar telah dipasang di tapak berkenaan menggunakan panel solar terkini keluaran syarikat dari China, Yingli Green Eenergy Holding Ltd.

"Kami menggunakan produk panel solar Yingli Polycrystalline 250 Watt yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar panel solar kedua terbesar di dunia.

"Inisiatif ini secara tidak langsung adalah bagi menjayakan seruan kerajaan bagi pembangunan tenaga hijau dan pewujudan tapak ini juga menjadikan jumlah keseluruhan pusat solar yang beroperasi di negeri ini mencecah 35 MW," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Amcorp Properties, Azmi Hashim berkata, tenaga elektrik yang dijana itu disalurkan ke sub stesen Tenaga Nasional Berhad di Gemas dan mampu menampung kegunaan elektrik bagi 75 peratus daripada 90,000 penduduk termasuk sebahagian di Tampin.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::