Alat Pemadam Api Power Punch 911 |
Real Safety Gear (RAG) yakin mampu mencapai jualan 100,000 unit produk Power Punch 911 bagi tahun depan dibantu peluasan pasaran baru dan kerjasama yang dijalankan dengan agensi kerajaan.
Pemilik bersamanya, Syahnas Rahman berkata, ketika ini saiz pasaran produk terbabit masih kecil memandangkan ia hanya boleh dibeli melalui 20 pengedar, termasuk dua syarikat dan secara atas talian saja.
“Kami sedang berusaha meluaskan pasaran di negara ini dengan perancangan memasuki rangkaian pasar raya besar seperti Tesco, Giant, AEON dan Mydin pada tahun hadapan,” katanya pada Bisnes Metro.
Power Punch 911 adalah produk pemadam api bersaiz kecil yang menggunakan teknologi Potassium Bikarbonat dari Korea di mana RAG adalah pengedar tunggal bagi produk itu di Malaysia, Singapura dan Brunei.
Beliau berkata, produk itu menerima sambutan menggalakkan sejak ia mula dipasarkan setahun lalu dengan mencatatkan jualan kira-kira RM800,000 namun masih kurang mendapat perhatian daripada kalangan orang ramai.
“Kami berhadapan masalah untuk memasarkan Power Punch 911 dalam skala besar kerana pengguna yang sedar mengenai kepentingan keselamatan saja membeli produk ini.
“Sekarang jualan kami banyak tertumpu dalam kalangan agensi kerajaan seperti jabatan kerajaan, polis dan bomba saja di samping penyertaan melalui pameran perniagaan,” katanya.
Mengenai pasaran Singapura dan Brunei, beliau berkata, syarikat masih bergerak secara perlahan dan berhasrat untuk aktif di sana selepas berjaya mengukuhkan kedudukan di Malaysia.
Sumber: myMetro