Santan Sejuk Beku

Dulu penyediaan santan diperoleh terus daripada perahan kelapa parut. Ia perlu digunakan segera untuk mengelak menjadi masam, berlendir dan basi.

Kecanggihan teknologi membuatkan orang semakin kreatif mencipta inovasi pengeluaran santan segera yang boleh disimpan lama, sekali gus memudahkan penggunaannya pada bila-bila masa.

Justeru, bertitik tolak daripada aduan pelanggan perniagaan santan segar diusahakan Mohd Aidid Mohd Salleh yang mahukan santan kekal lama dan tidak mudah rosak, mendorong beliau melakukan sesuatu.


Tidak mensia-siakan pengalaman selama 25 tahun menjual santan segar, Mohd Aidid melalui Syarikat Qristal Food Resources Sdn Bhd (QFR) tekad melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama setahun demi mencari penyelesaian.

Hasil kesungguhan, akhirnya tercipta mesin khas yang mampu menghasilkan produk inovasi santan sejuk beku dinamakan Santan Qristal.

Berbentuk bar mirip aiskrim dan dibungkus dalam pek polisterin mengandungi enam ketul santan, tentunya Santan Qristal dikeluarkan itu menjawab keluhan wanita yang tercari-cari kaedah mudah untuk memasak.

Setiap bar santan mempunyai kepadatan 110 gram, bersamaan dengan separuh biji kelapa.
    
Pengarah urusannya, Emma Idris, berkata Santan Qristal mudah digunakan, tidak perlu dicairkan, malahan ia tahan disimpan selama enam bulan dalam peti sejuk beku.

Menariknya, santan segar yang diproses melalui teknologi pembekuan kristal ini adalah yang pertama di Malaysia dan mungkin dunia.

“Pelanggan juga tidak perlu risau kerana santan kami ini tidak dicampur sebarang bahan tambahan, pengawet atau pewarna tiruan kerana melalui proses pembekuan kristal, santan dibekukan pada suhu -18 darjah celcius dijamin bersih dan selamat digunakan kerana segala bakteria dibekukan,” katanya ketika ditemui di pejabat operasi QFR di Dataran Dwi Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jamin rasa masakan

Paling merisaukan apabila menggunakan bahan masakan proses, tentunya keaslian rasa masakan terjejas dan itu jugalah persoalan sering diajukan pelanggan yang ingin mencuba Santan Qristal.

“Kami mendapat maklum balas baik daripada pengguna dan rata-rata mereka mengakui santan itu lebih lemak, sedap, rasanya manis, malahan masakan lebih tahan lama.

Tidak seperti santan asli, memasak menggunakan santan ini juga tidak perlu risau untuk mengacau kerana ia tidak pecah minyak,” katanya.

Kata Emma, ia juga sesuai digunakan untuk masakan berkuah, bubur, nasi lemak, ketupat dan kuih-muih.

Inovasi mesin pengeluaran santan beku itu sudah dipamerkan Sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA), tahun lalu.

Ia turut memenangi Anugerah Inovasi Jabatan Pertanian Pejabat Negeri Johor 2013.

Potensi besar

Kata Emma, beliau sendiri tidak sangka kehadiran Mohd Aidid yang juga abang iparnya yang mahukan beliau memasarkan santan beku membuka ruang perniagaan baru baginya.

“Jujur saya akui, santan ini mempunyai potensi besar dalam pasaran dan kami juga bangga kerana turut mendapat geran daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

“Pastinya FAMA banyak membantu dari segi pemasaran, malahan memperkenalkan syarikat dalam dan luar negara yang berminat dengan Santan Qristal.

“Cuma kami saja belum yakin dengan kapasiti pengeluaran sekarang berjumlah sekitar 400 kilogram bersamaan 1.5 tan sehari. Kami dalam perancangan untuk berpindah ke kilang baru awal tahun ini dalam usaha memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat,” katanya.

Jual melalui ejen

Sehingga kini, produk berkenaan boleh didapati secara terus dengan QFR atau 12 ejen berdaftar di Ampang, Bukit Antarabangsa, Gombak, Shah Alam, Putrajaya dan Pantai Dalam.

“Kami dalam proses untuk menambah bilangan ejen, selain berhasrat memasuki pasar raya besar bagi memudahkan pelanggan mendapatkan produk itu,” katanya.

Kata Emma, sesiapa yang berminat menjadi ejen, khususnya peniaga kedai runcit boleh menghubungi QFR atau layari facebook Santan Qristal untuk maklumat lanjut.

Dua pakej ditawarkan pada harga RM1,399 dan RM1,999 dan ejen akan diberikan gerai, peti sejuk beku, bunting bersama stok.


Info

* Harga 1 pek RM9.90 (enam ketul).

* Turut mengeluarkan aiskrim perisa buah-buahan tanpa pengawet dalam tujuh perisa.

- Mempelam
- Cempedak
- Jagung
- Durian
- Kacang merah
- Pisang
- Jambu batu

* Mesin pembekuan Santan Qristal sudah dipatenkan QFR.

Sumber: Berita Harian Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::