Jelajah Gegar Saham Syariah 2014

Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM) akan menganjurkan Jelajah Gegar Saham Syariah 2014 di seluruh negara bermula Januari ini, bertujuan memberi pendedahan saham syarikat berlandaskan hukum syarak dan tersenarai di Bursa Malaysia.

Pengerusinya Norizam Tukiman berkata, selama ini umat Islam di negara ini bimbang untuk membeli saham kerana berpendapat ia adalah satu perjudian atau syarikat itu tidak menjalankan perniagaan berlandaskan syariah Islam.

Bagaimanapun, katanya, pada 29 November lalu Majlis Syariah Suruhanjaya Sekuriti mengeluarkan satu senarai lengkap iaitu sebanyak 71 peratus daripada 653 syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah lulus syariah.

“Ini bermakna, syarikat itu menjalankan perniagaan mengikut hukum syarak daripada permulaan perniagaan, barang yang dijual, akaun syarikat, perjalanan perniagaan dan hasil syarikat itu.

“Keadaan itu membolehkan orang awam membeli saham dan berurus niaga tanpa ragu-ragu kerana ia terbukti halal.

Antara 10 sektor pelaburan mengikut syariah termasuk hartanah, perlombongan serta perladangan dan saya yakin ia memberikan pulangan lumayan kepada pelabur mereka,” katanya pada sidang media di pejabat PPSMM di Taman Setia Tropika di sini.

Menurutnya, adalah merugikan sekiranya umat Islam negara ini tidak mengambil peluang membuat pelaburan di dalam sektor itu sedangkan ia mendatangkan pulangan lumayan.

INFO:

Antara tujuan dan matlamat penubuhan Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM) termasuklah:

* mendidik dan memberi kesedaran mengenai kepentingan bidang-bidang pelaburan yang strategik.

* menjalankan aktiviti ceramah, seminar dan bengkel mengenai jenis-jenis pelaburan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.

* menggalakkan penyertaan orang-orang Melayu dalam bidang pelaburan di Bursa Malaysia.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::