Baucar Inovasi Untuk PKS

SME Corp Malaysia (SME Corp) memperuntukkan sehingga RM36 juta bagi Baucar Inovasi untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang berhasrat untuk meningkatkan keperluan inovasi dan teknologi dalam operasi mereka.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim berkata, baucar berkenaan diperkenalkan untuk menggalakkan syarikat PKS melaksanakan inovasi dan mengguna pakai teknologi bagi memperbaiki keberkesanan operasi dan produktiviti melalui Program 1-InnoCERT.

“Baucar Inovasi ini diperkenalkan untuk menggalakkan syarikat tempatan khususnya dikategorikan sebagai PKS untuk meningkatkan keperluan teknologi mereka khususnya dalam menjalankan kajian dan penyelidikan (R&D) dengan lebih menyeluruh,” katanya.
 
Menurutnya, syarikat yang layak memohon baucar ini berpeluang mendapat jumlah maksimum sehingga RM400,000 dalam bentuk geran.

Baucar ini antara lain meliputi pembiayaan kos bagi pensijilan QMS, pembungkusan produk, inovasi dan R&D, penjenamaan, pengiklanan dan promosi serta pembelian mesin dan peralatan.

“Syarikat yang mendapat pengiktirafan 1-InnoCERT mempunyai peluang lebih tinggi untuk mendapatkan baucar ditawarkan memandangkan proses penilaian ketat dilaksanakan sebelum melayakkan syarikat menerima pengiktirafan 1-InnoCERT,” katanya selepas pra-pelancaran SME Innovation Award 2014 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi SME Corp, Datuk Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Pengarah Urusan Sirim QAS International Sdn Bhd Khalidah Mustafa.

Anugerah berkenaan diadakan Jun nanti menawarkan hadiah bernilai RM2 juta dengan pemenang setiap kategori akan membawa pulang wang tunai RM200,000.

Pemenang bagi kategori Top Most Innovative SME akan membawa pulang RM1 juta.

Enam kategori dipertandingkan adalah pembuatan, perkhidmatan termasuk sektor pembinaan, teknologi maklumat (ICT) dan elektrik dan elektronik, kejuruteraan dan reka bentuk industri, teknologi hijau dan bioteknologi dan agro teknologi.

Dalam pada itu, menurutnya pihak SME Corp dijangka melancarkan Baucar Produktiviti bertujuan membantu usahawan mikro untuk meningkatkan produktiviti syarikat.

Baucar ini dijangka diperkenalkan menjelang tahun depan dan memberi peluang kepada usahawan mikro mengikuti latihan atau kursus yang dapat membantu meningkatkan produktiviti syarikat. Nilai ditawarkan antara RM1,000 dan RM10,000,” katanya.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::