Fotografi Hidupan Liar

Perkembangan teknologi dalam bidang fotografi kini mendorong ramai orang berlumba-lumba untuk menghasilkan imej yang berkualiti tinggi dan bermakna untuk dikongsi di laman sosial atau simpanan koleksi peribadi.

Namun, lain pula kisahnya dengan YY Chin. Beliau berjaya membukukan gambar-gambar hidupan liar yang diperoleh hasil pengembaraannya ke beberapa buah negara dengan kerjasama Kumpulan AmBank bagi tujuan membantu badan-badan amal di Malaysia.

Buku yang mengandungi 188 imej fotografi ini diperoleh hasil pengembaraannya ke Afrika Selatan, Namibia, Uganda, Zambia, Kenya, Ethiopia, Madagascar, India, Sri Lanka dan Pulau Kuril di Rusia.

Buku bertajuk Wild: Reflection On Business And Life ini turut selitkan petikan yang boleh dikaitkan antara hidupan liar dengan aktiviti seharian sebagai pemimpin, ahli perniagaan dan kehidupan.

"Petikan dalam buku ini adalah hasil pengalaman saya selama 35 tahun dalam industri perbankan, saya bermula dari bawah sebagai seorang pekerja bank dan sekarang saya bergelar seorang Ahli Lembaga Pengarah Ambank (M) Berhad," katanya ketika ditemui.

Chin telah lama merancang untuk mendapatkan gambar-gambar hidupan liar jika berpeluang, namun kesibukan dalam dunia perniagaan membataskan masanya.

Minat fotografi

"Idea untuk menerbitkan buku ini datang daripada rakan-rakan, mereka beranggapan saya mempunyai minat dalam bidang fotografi dan perniagaan," katanya.

Namun, selepas dua tahun menjelajah dunia termasuk terpaksa menempuh kepayahan dan kesusahan di hutan Afrika, beliau akhirnya berjaya mendapatkan gambar-gambar terbaik hidupan liar dari seluruh dunia untuk dimuatkan dalam buku terbaharunya.

Tambah Chin, sifatnya yang teliti memerhati setiap tingkah laku dan pergerakan haiwan membolehkannya untuk menulis mengenai pengajaran yang boleh diambil dan diguna pakai oleh manusia dalam menjalani kehidupan harian.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim berkata, Chin telah menunjukkan bahawa setiap individu boleh melakukan kerja amal melalui fotografi.

"Beliau mempunyai bakat dan keinginan untuk memanfaatkan hobinya dalam hal-hal kebaikan dan perlu dicontohi oleh semua orang," tambah beliau.

Chin berharap koleksi terbaharunya itu dapat menyemarakkan lagi semangat pencinta hidupan liar di seluruh dunia, selain memastikan agar warisan ini dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

Buku yang berharga RM 200 ini merupakan karya kedua Chin. Hasil daripada penjualan buku ini akan disumbangkan kepada tiga badan kebajikan yang telah dikenal pasti iaitu Badan Amal Kanak-kanak Bangsar Village, Pusat Pembelajaran Komuniti Orang Asli dan Pusat Pemulihan Lumpuh Nepal.

Hasil pendapatan buku pertamanya yang bertajuk, Place Less Travelled-A personal Journey sebelum ini telah didermakan untuk membina sebuah sekolah di Zambia.

Pada majlis pelancaran buku terbaharunya di Bangsar Village baru-baru ini, lima keping gambar hidupan liar pilihan Chin dilelong sebagai usaha mengumpul dana bagi tujuan sama.

Sumber: Kosmo!

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::