Cipela Shoes - Kasut Buatan Tangan

Jenama lokal kasut buatan tangan, Cipela Shoes menampilkan koleksi terbaharu di bawah rekaan signaturnya A Contemporary Twist on Heritage by Hidayah Hassan.

Adaptasi idea dengan material warisan itu dihasilkan menerusi pertukangan tangan menggunakan fabrik batik, songket asli Kelantan dan Terengganu.

Rekaan eksklusif itu merupakan rekaan signatur Cipela Shoes untuk tempahan khas sejak tiga tahun lalu.

Menjadikan media sosial sebagai platform promosi awal, rekaan tersebut menerima tempahan awal sebanyak 400 pasang.

Permintaan yang terus meningkat mendorong label itu melancarkan rekaan sedia pakai istimewa untuk pada peminat dan pengikut Cipela Shoes.

Menurut Pengarah Urusan Nurhidas, Hidayah Hassan, rekaan tersebut diinspirasikan daripada kasut classy court dengan penambahan tekstil warisan untuk tambah nilai eksklusif. Rekaan penuh teliti itu disesuaikan untuk wanita yang berani mencuba stail adunan moden dan klasik.

“Koleksi ini dihasilkan sebagai promosi terhadap tekstil warisan Malaysia seperti batik dan songket dalam kalangan masyarakat setempat serta antarabangsa.

“Selain itu, saya turut memilih batik Kelantan kerana ia sememangnya telah terkenal sebagai peneraju utama fabrik tersebut sejak sekian lama.

“Saya berharap dapat bersama-sama memelihara kelangsungan budaya yang semakin terancam dengan transisi permodenan pada hari ini,” katanya yang melancarkan koleksi tersebut di Festival Kasut Antarabangsa 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mewah

Terkenal dengan kualiti premium dan sentuhan kemewahannya, koleksi itu diperbuat daripada kulit asli mewah seperti kulit kambing nappa yang digandingkan bersama songket dan batik.

Rekaan-rekaan ditawarkan menepati cita rasa terkini untuk disarungkan pada waktu malam atau kegunaan harian.

Tambah Hidayah, rekaan akan datang juga bakal memperlihatkan penggunaan fabrik warisan lain termasuklah material tenun Pahang dan pua kumbu yang diasimilasi ke dalam setiap kasut untuk kegunaan harian penuh bergaya.

“Populariti dan pasaran Cipela Shoes akan dikembangkan dengan perancangan pembukaan butik utama memandangkan jenama ini telahpun menawarkan kasut sedia pakai.

“Kami juga berharap dapat memperkenalkan rekaan-rekaan kontemporari ini dan menjalankan kolaborasi pada peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Terdapat lima rekaan klasik yang pastinya menepati kegunaan harian atau acara malam iaitu potongan bertapak rata, kasut bertumit tebal dan clog wood.

Memberikan lebih pesona pada bahagian kaki, rekaan itu didatangkan dalam varian warna kulit dan rona-rona terang. Koleksi terbaharu itu ditawarkan dari saiz 35 sehingga 40 pada harga bermula RM400.

Sehingga kini, Cipela Shoes menyediakan puluhan rekaan di bawah koleksi kasut harian, kasut pengantin, kasut acara petang dan kasut santai Espadrilles.

Kasut-kasut ini direka dengan teliti secara manual dan terkenal dengan rekaan untuk keselesaan serta kualiti material.

Untuk kasut harian, ia telah direka dengan keselesaan tinggi bagi memastikan kelancaran setiap langkah tanpa kompromi.

Rekaan sepatu bagi pengantin pula menyediakan sentuhan istimewa dengan elemen mewah menerusi perincian sepatutnya bagi seorang puteri manakala rekaan kasut untuk acara petang lebih menitikberatkan nilai keanggunan dan glamor.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::