Bedtime Stories Sentap (BSS)

Aktif dalam menyampaikan ceramah dan motivasi berkaitan isu-isu remaja merupakan medium dakwah Ahmad Shukery Azizan, 24, kepada golongan mahasiswa.

Anak jati kelahiran Kluang, Johor itu menceburi bidang dakwah sejak menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kimia.

Selain ceramah, Ahmad Shukery bersama enam rakannya menubuhkan kumpulan penceramah muda dengan nama Tarbiah Sentap sejak Ogos tahun lalu untuk menyebarkan dakwah menerusi laman Facebook kepada remaja.

Terbaharu, Ahmad Shukery melebarkan sayap dakwahnya apabila berpeluang menulis buku bersama sebuah syarikat penerbitan tempatan, Humaira Publications.

Tampil dengan judul Bedtime Stories Sentap (BSS), naskhah tersebut berupaya menjadi contoh terbaik kepada golongan remaja dalam menjalani kehidupan seharian berpandukan syariat Islam.

Buku BSS menyampaikan mesej dakwah menerusi huraian dan perkara berkaitan isu semasa yang berlaku dalam masyarakat di negara ini.

“BSS pada asalnya merupakan sebuah kempen Tarbiah Sentap di laman Facebook. Setiap malam, saya mewakili Tarbiah Sentap akan mengepos sepotong ayat al-Quran daripada setiap juzuk bersama maksud dan huraiannya yang bersesuaian untuk remaja.

“Oleh itu, saya menamakan judul buku ini Bedtime Stories Sentap kerana setiap entri diterbitkan pada waktu malam.

“Dalam siri pertama buku BSS ini, saya mengambil 15 ayat al-Quran daripada 15 juzuk dengan rujukan tafsir Ibnu Kathir dan ulasan penceramah terkenal di Amerika Syarikat iaitu Nouman Ali Khan.

“Daripada tafsir itu, saya mengambil contoh-contoh terbaik yang dekat dengan jiwa remaja untuk dijadikan contoh kepada mereka.

“BSS antara koleksi entri terbaik di Facebook Tarbiah Sentap sejak November lalu yang dibukukan,” ujar Ahmad Shukery yang juga merupakan penulis nukilan berbentuk dakwah di BiskutMayat.blogspot.com.

Bab yang dimuatkan dalam buku BSS antaranya ialah Bulan Ramadan, Gelombang, Positif VS Negatif, Ikan Yang Menguji, Couple dan Ikhtilat, Godaan Syaitan dan Janji.

Peringatan

Mengambil contoh bab satu dalam buku BSS, Ahmad Shukery memulakan penulisan dengan juzuk satu al-Quran iaitu surah al-Baqarah.

Dalam juzuk itu, penulis memilih ayat 67 dengan memberi penekanan kepada pembaca agar tidak mengambil ringan perintah Allah SWT melalui kisah perintah Nabi Musa a.s. untuk melakukan penyembelihan lembu betina kepada kaumnya.

Dalam juzuk ke-12, Ahmad Shukery mengambil tafsir ayat ke-23 iaitu surah Yusuf sebagai sandaran utama untuk memberi peringatan kepada remaja agar menghindari perbuatan maksiat yang melibatkan perhubungan antara lelaki dan perempuan.

Ketika ditanya mengenai pemilihan tajuk buku BSS, Ahmad Shukery memberitahu, ia merupakan satu kaedah dakwah yang dipilih oleh kumpulan Tarbiah Sentap untuk menyedarkan remaja mengenai kepentingan melakukan kebaikan dalam kehidupan.

“Saya mahu setiap tulisan atau ucapan mampu menyentap hati remaja. Walaupun ayat dan ucapan yang lembut, ia mampu memberi kesan yang mendalam kepada mereka.

“BSS menggunakan cara hikmah dan bijaksana dalam menyampaikan dakwah. Ada ketika perlu berlembut dan ada kalanya saya menggunakan gaya bahasa yang agak kasar.

“Melalui BSS, saya mahu menyampaikan dakwah kepada remaja yang jarang membaca al-Quran untuk kembali mendalami kitab suci itu.

“Buku ini diterbitkan untuk dijadikan rujukan dan panduan asas kepada remaja. Mereka seharusnya mempunyai inisiatif sendiri dengan mencari guru dan tafsir yang muktabar selepas membaca buku ini,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Jelas Ahmad Shukery, siri kedua BSS yang menghimpunkan baki 15 juzuk ayat al-Quran merupakan kesinambungan buku pertama yang bakal diterbitkan tidak lama lagi bersama Humaira Publications.

Maklumat lanjut dan pembelian buku BSS, layari laman web BukuBSS.com atau HumairaBookStore.com.

Sumber: Kosmo! Online

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::