Mi Rojak Joe Serendah Selangor

Kuah kacangnya yang halus, mi yang kenyal dan kuih rojak­nya yang rangup nyata membuatkan hidangan mi rojak yang disajikan kepada penulis te­ngah hari itu cukup lazat.


Penulis yang bukan peng­gemar mi rojak bagaikan tidak percaya sepinggan rojak yang dihidangkan habis di makan.

Bukan mahu memuji te­tapi mi rojak yang diusaha­kan Mohd Zofid Mohd Zin, 41, ini berbeza dengan yang lain.

Ia lebih ringan dan yang penting bercita rasa Melayu berbanding yang lain ke­banyakan adalah cita rasa mamak.

Mohd Zofid yang lebih dikenali de­ngan panggilan Joe adalah generasi ke­tiga yang me­neruskan per­niagaan keluarga itu di Serendah, Se­langor.

Lebih 20 tahun lalu, per­niagaan mi rojak ini di­asaskan arwah datuk, Abdul Rahman kemudian turun kepada arwah bapa saudara iaitu Abdul Aziz Abdul Rahman.

“Kini, sudah lebih kurang 10 tahun saya meng­usahakannya dan mempu­nyai pelanggan tetap,” katanya.

Ditanya keistimewaan mi rojak itu, katanya kuah yang menggunakan seratus peratus resipi arwah datuk adalah senjata utamanya.

“Walaupun lebih 20 tahun, kami tetap mengekalkan resipi arwah datuk dan kacangnya dikisar halus.

“Mi rojak ini hanya meng­gunakan satu jenis kuih, justeru proses membuatnya harus betul supaya ia sedap dan menepati cita rasa se­benar,” katanya.

Menurutnya, mi yang digunakan dalam sajian rojak itu amat berbeza dengan mi rojak lain.

Kita tidak memakai mi kuning biasa tetapi mi seakan-akan mee spaghetti yang berbentuk empat segi.

“Mi ini perlu direbus dulu sebelum menggunakannya dan rasanya lebih ringan serta kenyal,” kata­nya.

Menggalas beban sebagai penerus legasi mi rojak yang diusahakan sejak 20 tahun lalu, bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi mem­punyai pelanggan tetap.

Justeru, sebelum meng­ambil alih perniagaan rojak ini, Joe belajar membuat kuah kacang serta kuih dari ibunya.

“Walaupun mengguna­kan tepung, kucai dan tauge, cara mengadun kuih itu perlu betul supaya rangup,” kata­nya.

Tidak banyak yang berubah dalam menghasil­kan kuah kacang selain cara masaknya menggunakan dapur gas, bukannya dapur kayu.

Menu lain di gerainya di Kampung Melaka, Serendah itu, ialah mi rebus dan nasi lemak.

“Kami juga menyediakan hidangan mi sup, bihun sup, sup kaki ayam, mi rebus, dan nasi ayam.

“Dengan itu, pengunjung yang datang menjamu selera di sini tidak bosan dan mempunyai pilihan,” katanya.

Sementara itu, pelanggan tetap, Mohd Moidin, 62, berkata mi rojak yang di­hidangkan itu memenuhi cita rasa Melayu.

“Rasanya memang sedap dan berbeza dengan mi rojak lain.

“Nasi lemak juga sedap dan lauknya yang pelbagai memberi banyak pilihan,” katanya yang berkunjung ke gerai itu tiga atau empat kali seminggu.

Gerai yang dibuka setiap hari kecuali hari jumaat bermula dari 11.30 pagi hing­ga 6 petang turut me­nerima tempahan.

Justeru, jika mahu datang ke gerai mi rojak Joe, ia ter­letak berhadapan Masjid Nurul Iman Serendah.

Sumber: myMetro

Friends of SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2015 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::